SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


Ma'al Hijrah: Apakah Peranan Kita?

Baru sahaja dunia melangkah ke tahun baru Hijrah (sedikit lagi akan ke tahun baru Masihi pula). Pastinya pelbagai sambutan, aktiviti, dan upacara akan diadakan. Ianya sudah menjadi rutin tahunan masyarakat kita. Tahukah kalian tema Ma'al Hijrah pada kali ini?

Sebelum kalian menjawab soalan tersebut, suka saya bertanyakan satu soalan yang lain. Untuk apakah Ma'al Hijrah diperingati? Untuk membawa kalian ke jalur yang lebih jauh lagi, mari sama-sama kita membelek sejarah dengan satu lagi soalan, apakah itu Ma'al Hijrah?

Ma'al Hijrah disambut adalah untuk memperingati permulaan bermulanya perkiraan tahun Hijrah. Satu detik sejarah yang agung buat penganut agama Islam.

Sememangnya ini merupakan suatu yang berantaian. Maksudnya, tiada Ma'al Hijrah tanpa berlakunya hijrah. Dan tiada hijrah seandainya Rasulullah SAW tidak berhijrah dari Mekah ke Kota Madinah. Persoalan besarnya ialah, kenapa Nabi Muhammad SAW, rasul nan agung itu sanggup bersusah-perit untuk berhijrah? Mengapa?

Ya, jawapannya adalah kerana Rasulullah SAW ingin menyempurnakan ajaran Tauhid yang dibawa oleh Baginda. Pasti sesiapa yang pernah mendengar akan sirahnya akan dapat menjawab persoalan itu dengan baik.

Sempurnakan ajaran? Apa tidak sempurna lagikah ajaran Islam sewaktu di Mekah dahulu? Para pembesar Musyrikin Mekah pernah menghantar rombongan menghadap Rasulullah SAW dengan membawa pelbagai barangan bernilai ditambah pula dengan tawaran jawatan sebagai pembesar Mekah agar Rasulullah SAW dan kaum Muslimin pada ketika itu hanya tinggal diam beribadat di masjid-masjid. Tinggalkan semua ajakan kepada cahaya Islam buat umat.

Namun, sepertimana yang terkisah di lipatan sejarah, Rasulullah SAW dengan tegas dan penuh keyakinan mengungkapkan satu ucapan masyhur:


"Seandainya diletakkan matahari di tangan kananku, dan diletakkan bulan di tangan kiriku, untuk aku meninggalkan urusan ini (dakwah), sesekali tidak akan ku tinggalkan"


Melalui kisah ringkas ini kita sudah dapat mengerti bahawa dengan hanya melakukan ibadat asas dalam ajaran Islam, belum lagi dikira sebagai sempurna. Islam meliputi seluruhnya termasuk amal ibadat, muamalat, munakahat, politik, pemerintahan, kemasyarakatan, sosial, dan segala apa yang ada hubung-kaitnya dengan kehidupan. Dunia dan akhirat. Semuanya perlu berlandaskan ataupun mengikut ketetapan yang telah diwartakan oleh Allah SWT, Pencipta segala yang ada.

Lalu, dapat disimpulkan bahawa perkara yang paling penting dan aula dalam peristiwa hijrah ialah keutamaan menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Bukan setakat menyuruh masyarakat ke arah kebaikan, bahkan juga berusaha dengan apa saja daya yang ada untuk mencegah mereka dari melakukan perkara maksiat dan kemungkaran kepada Allah SWT. Hal ini dipertanggungjawabkan kepada semua pihak.

Daripada yang bergelar individu, ibubapa, para pendidik, penulis, blogger, masyarakat setempat, ketua masyarakat, kerajaan negeri, pemerintah di peringkat pusat dan negara, serta seluruhnya. Ya, serulah dengan konsep 'amar makruf, nahi mungkar' melalui bidang kuasa masing-masing kerana semua pihak akan dihitung pada setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipersoal tentang kepimpinannya"
- Maksud Al-Hadis

Justeru, usah menuding jari kepada sesiapa lagi. Tiada guna salahkan pihak ketiga ketika berlakunya kebobrokan sosial (YA, hari ini ia kian membusuk). Cuma jalankan tugas masing-masing. INGAT! Tugas tersebut adalah AMANAH daripada Tuhan semesta. Tetapi AWAS! Sekiranya kita satu pihak sahaja yang berhempas-pulas mengislahkan umat (anak muda khususnya), manakala satu pihak lagi dengan penuh tawa menjamu nafsu mereka sepuas-puasnya, maka kita harus menentang pihak itu atas kemungkaran yang dilakukan. Tidak kira siapa pun yang mewakili pihak itu.

Kalaulah anak muda yang 'bersosial' itu kita misalkan mendapat 10 dosa atas kelakuan jijik mereka, selayaknyalah kita katakan bahawa pihak yang membentangkan permaidani kepada mereka untuk satu keburukan akan mendapat sejuta dosa.

Mungkinkah begitu? Sama-samalah kita fikirkannya.

Salam Ma'al Hijrah.

1431H


Mulakan Hari Baru di Tahun Baru . . .


Berusahalah dengan seribu kekuatan,
usah berdalih dengan seribu alasan

Tawakkal, sabar, & redha dengan segala ketentuan

Berimanlah!
Sesungguhnya Tuhan maha Berkehendak

Aturan dan segala kesudahan-Nya
adalah terbaik bagi setiap hamba


Salam-selawat buat Junjungan
Nabi Muhammad SAW & keluarganya


"Salam Ma'al Hijrah - 1431 -