SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


Dari Catatan Ex-Editor: Gathering

- Dirembat dari laman PERMAYA Online


Pekan Dairy. Tengah hari tadi, selepas menunaikan solat Jumaat aku menyertai rakan-rakan dari Unit IT PERMAYA Sesi 2006/2007 untuk bersama-sama mereka menghadiri ‘kenduri’ di rumah PERMAYA. Kenduri ini julung-julung kalinya diadakan bagi sesi 2006/2007. Pantas juga disebut sebagai ‘jamuan perpisahan’, fikirku.

“Kita buat majlis makan-makan pada hari ni adalah sebagai tanda penghargaan kepada para petugas PERMAYA Online tahun ini”, ujar Mat Amin dengan tutur pelat Kelantan pabila aku bertanya objektif utama majlis ini diadakan.

Sahabatku Mat Amin, atau nama sebenarnya Muhamad Amin Ismail itu merupakan Timbalan Presiden PERMAYA Sesi 2006/2007. Juga merangkap Pengarah bagi sidang PERMAYA Online pada sesi ini.

Tahun ini aku tidak tersenarai di carta sidang Unit IT. Kerna serasa sudah tak kuasa lagi menguruskan amanah lainnya yang menggunung. Di PERMAYA Online, aku hanya bergerak ‘di bawah meja’. Hulurkan bantuan sekadar termampu di sebalik tabir. Berkongsi secangkir pengalaman yang ada.

Walaupun aku tidak lagi memikul apa-apa jawatan dalam jawatankuasa PERMAYA Online pada sesi ini, tapi mereka turut menjemputku. JazakumulLah khair aku ucapkan buat kalian.

Tadi hanyalah majlis makan-makan. Tiada agenda selain makan-makan. Sambil berbual kosong, kami yang seramai 14 orang jumlahnya hanya makan-makan. Dengan nasi putih berhidangkan lauk-pauk ala selera kampung menjadi juadah untuk kami makan-makan. Pelbagai aneka lauk berulam air Teh-O ais yang memenuhi ruang meja itulah sebagai mangsa pelepasan ‘nafsu liar’ makan-makan kami. Abang Lah yang tersohor dengan jolokan ‘chef power’ oleh sebilangan ahli PERMAYA itu pula menjadi tukang masak bagi majlis makan-makan kami siang tadi.

Di penghujung majlis tersebut, kami dikejutkan dengan satu tragedi mencuit hati. Prraaakk. Seorang rakan yang juga tetamu jemputan seperti aku gedebuk jatuh terjelupuk ke dada bumi. Rupanya satu dari empat batang kaki kerusi yang dia landing tu terpatah. Langsung menyembam ke tanah.

Apa lagi, aksi stunt daripada rakanku itu terus kami sambut dengan hilai tawa. Si ‘mangsa’ pula hanya tersengih selamba. Mungkin tak berapa malu kerana kami dah teramat biasa antara satu sama lain. Roh ukhuwwah sudah meresap sedaging dengan liang naluri dalam persahabatan kami di perantauan ini. Jangan marah yer. Aku bercerita sekadar untuk melahirkan humor kita dalam berukhuwwah.

Walaupun masing-masing terbuai dengan keasyikan penangan menu kampung itu, kami masih lagi berkesempatan untuk bergambar. Hanya sebagai kenangan bersama. Gambar-gambar tersebut ada disemadikan kat bawah entri ini (
klik sini untuk lihat gambar).

Di sini aku mencuri sedikit peluang untuk minta ampunan kemaafan daripada rakan-rakan seperjuangan terhadap salah-silap dan apa jua kekuranganku dalam gerak kerja PERMAYA Online. Selama kurang-lebih tiga tahun aku mengikat ‘kontrak’ bersama Unit IT itu. Juga buat sahabatku al-akh Ayub dan Bob yang melangkah seiringan denganku di persada PERMAYA dot org. Syukran atas kerjasama serta bantuan berharga kalian.

Kepada generasi mendatang yang akan merentak perjalanan PERMAYA Online, berhikmah dan bijaksanalah dalam usaha antum meneruskan nawaitu utama tertubuhnya laman rasmi PERMAYA ini. Dakwah Islamiah di ruangan maya bukanlah semudah sangkaan minda. Tidak juga segampang yang terjangka. Justeru, setiap tapak yang dilangkahi itu haruslah sentiasa berjaga-jaga.

Salam perjuangan daripadaku buat semua...



- anTusufi,
11.30 pm,
Jumaat, 22 Jun ‘07,

Republik Yaman.

Kalungan Takziah

Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun...

Takziah daripada kami buat keluarga mangsa dalam kes pembunuhan tragis mahasiswa Malaysia di Al-Azhar cawangan Mansurah, Muhammad bin Ishak. Mudahan waris keluarga terus kejabkan kesabaran atas ujian besar ini. Semoga beliau si mangsa dicucuri rahmat Ilahi dan ditempatkannya bersama pejuang Islam di Jannatul Firdaus.


Segugus kalam doa buat mereka...


-> Untuk baca laporan mengenai kejadian ini, sila klik di sini
-> Untuk lihat gambar di tempat kejadian, sila klik di sini
-> Untuk lihat gambar mangsa, sila klik di sini

- Sidang aL-Watary

Lagi Cerita Tentang Kita . . .

- Dipetik dari laman PERMAYA Online



Salam bersua kembali kita mungkin buat terakhir kalinya di dada risalah Al-Bayan ini. Selautan terima kasih diucapkan kepada teman-teman yang masih lagi sudi melayan celoteh daripadaku yang terkadang terasa boring pula untuk menatapnya. Bukan kata nak tunjuk pandai, tak juga mahu membenarkan segala patah ucap kataku, tapi dengan qasad (niat) agar kita semua dapat belajar melapang-luaskan kotak fikir masing-masing, aku berusaha juga untuk cuba menyudahkan tulisan ini sebelum ku ‘kembali’.

Seperti mana yang telah aku sebutkan dalam
keluaran pertama artikel ini pada bulan Mac lalu (bertajuk
‘Cerita Kita’), “yang baik dijadikan teladan dan apa yang tak kena tu sama-sama kita lontarkannya jauh-jauh”. Serasa itu satu tugas yang tak begitu sukar kan?

Ajakkan ku kepada korang hanyalah untuk sesama berfikir. Kerana Tuhan pun menyukai hamba-hamba-Nya yang selalu berfikir. Setelah itu barulah kita pakat menilai betul-salahnya, buruk-baiknya. Seterusnya bersama kita menuruti jalan kebenaran yang insya-Allah akan bertemu sejuta rahmat bersama keredhaan Allah SWT. Teringat pula kata-kata sahabatku, Saifullah Hussin: “Kita, terutamanya student agama perlu menjadi ‘mufakkir’ ummah...”, tuturnya dalam dialek Terengganu yang sedikit di-fusahah-kan.

Hampir tujuh tahun aku di sini. Jauh daripada orang tersayang. Jauh dari kampung halaman. Bonda, keluarga, sanak saudara, dan semuanya. Yang setia berdamping denganku hanyalah taulan, sahabat yang sudi berkongsi suka duka kehidupan. Mereka ku anggap keluarga. Bagai adik-beradikku. Malah mungkin lebih dari itu.

Persahabatan. Ya, itulah barangkali yang ingin ku kongsikan dengan kalian, adik-adik yang baru memulai kehidupan di bumi tua Yaman ini.

Pada keluaran lepas dah aku bercerita mengenai ukhuwwah. Dengan ukhuwwah lahirnya perpaduan. Dengan perpaduan akan terbinanya kekuatan. Dengan semua itu akan timbullah keharmonian, kedamaian yang diimpikan oleh setiap jiwa insani.

Antara salah satu kaedah ataupun formula untuk membina ukhuwwah ialah dengan persahabatan. Formula yang sendiri ku ciptakan. Ikatan suci tanpa ujud walau sekelumit noda pra-sangka. Semurni persaudaraan Baginda Rasulullah bersama para sahabatnya. Keikhlasan mereka harus kita contohi. Keakraban mereka perlu kita teladani. Pergaulan mereka semestinya kita kaji dan perdalami. Kerna pada kujuran tubuh Baginda sajalah dinyatakan Tuhan sebagai seelok ikutan. Dan tak syak lagi pada kurun merekalah sebaik zaman.

Bagaimana mahu diterjemahkan kehidupan mereka radhialLahuanhum ke alam realiti kita kini yang jauhnya sejarak belasan ratus tahun? Timbul persoalan tersebut dalam benak ku ketika mana sampainya tulisan ini di sini. Mungkin persoalan yang serupa juga muncul bermain di fikiran pabila tibanya pembacaan kalian semua pada perenggan ini. Mungkin, tak dapat pula aku pastikan.

Rasulullah pernah mewasiatkan buat kita umatnya supaya ringankan mulut mengucap salam. Satu perkataan keramat yang mampu membina kesatuan. Ucapan ‘assalamualaikum’ harus kita sembahkan kepada sesiapa sahaja untuk meluaskan lagi jaringan ukhuwwah. Menjitukan lagi ikatan persahabatan. Bunyinya agak simple, namun itulah ajaran Nabi. Begitulah wasiat Baginda dalam mentarbiah kita membina satu kekuatan.

Begitu juga dengan senyuman. Rasulullah SAW tidak pernah lokek dengan senyuman. Keduanya mempunyai rahsia yang tersendiri. Dapat membuat orang yang dipersembahkan dengan keduanya itu merasa diri dihargai. Disayangi. Serasa diri ada yang peduli. Sekurangnya, mereka terasa diri dihormati.

Melalui pengalaman, aku rasakan tak sah sesebuah persahabatan kalau tiada perselisihan atau salah faham antara satu sama lain. Bagaikan sebuah ikatan rumah tangga. Macam kata Allahyarham Tan Sri P. Ramli, “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.

Justeru, perlulah kita faham memahami antara satu sama lain. Sayang menyayangi antara satu sama lain. Bahkan harus sampai timbul perasaan cinta kita kepada sahabat. Cinta tulus kerana Ilahi. Tiada selain-Nya. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tinggal serumah. Kerana di perantauan ini tak ada yang bersendirian. Kita saling memerlukan antara satu sama lain.

Perselisihan kecil jangan terlalu diambil kira. Perkara besar jangan pula segan silu untuk diajak berbincang. Kekadang timbul perasaan malu untuk berbincang apa yang terbuku di dada. Apa yang tak puas di sudut hati. Jangan begitu, kerana yang demikian datang dari bisikan Syaitan, Iblis terlaknat yang sering kali mahukan kepincangan dalam kehidupan anak Adam. Yang tidak gemar melihat kesatuan sihat pada kelompok Muslimin.

Bergurau. Ini pun suatu yang diperlukan dalam hidup bersahabat. Bergurau yang tidak keterlaluan. Biar sepadan dengan mentaliti sahabat yang dibawa bergurau itu. Kita juga perlu mengajar diri untuk mengambil berat kepada sahabat. Andai ternampak wajahnya suram, murung dirundung nestapa, tanyakan apa masalahnya, dan carikan jalan penyelesaian bersama. Tika kewangan mereka terdesak, kita bantu. Jika semua ekonomi merudum, sama-sama kita mengikat perut. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Begitulah juga pada perkara yang lainnya.

Rasulullah terlalu mengambil berat terhadap hal ehwal para sahabat Baginda. Pernah di satu hari Baginda bertanya seorang sahabat apakah beliau mahu berkahwin. Sahabat tersebut seorang yang miskin. Lalu Rasulullah terus membuat perancangan agar beliau dapat berkahwin. Ajukan pandangan serta pendapat Baginda apa yang perlu dilakukan.

Pernah juga di suatu ketika ada keluarga ditimpa kedukaan. Seorang sahabat telah meninggal dunia. Rasulullah walaupun serba kekurangan, dengan senang hati telah membahagi makanan dan apa yang perlu kepada keluarga sahabat tersebut. Berbeza amat dengan kita hari ini, keluarga yang ditimpa musibah itu pula yang menjamukan masyarakat sekampung. Kesal sungguh kepada sesetengah masyarakat kita yang sedemikian rupa kemanusiaannya. Benarlah kata Sayidatina Aisyah r.a bahawa kriteria Rasulullah itu seumpama Al-Quran. Kitab suci dari langit itu.

Ku kira, yang paling penting dalam jalinan sesebuah persahabatan adalah kepercayaan. Dengan tak mengetepikan peranan keikhlasan. Itu memang sudah satu anasir yang tiada dapat kita pisahkan dalam setiap urusan kehidupan.

"Mana mungkin tanpa wujudnya kepercayaan dapat kita bergaul-campur antara satu
sama lain. Rumpunan kepercayaan yang semestinya tumbuh dari akar kesetiaan.
Begitu teguh. Jauh dari noda pengkhianatan. Dengan itu akan bersemilah
kecintaan. Cinta agung yang tiada tergambarkan. Dan akan bersatu-jitulah ummah.
Terasa semacam ‘ayat cinta’ pula, huhuhu. Noktah.


Begitulah ceritanya. Sebenarnya sudah tak tahu apa harus ditaipkan. Otak sudah membeku. Idea dah pun mencair. Mengalir hilang tanpa berjejak. Jam sudah menunjuk pukul satu pagi. Tulisan ini sudah tiba di penghujungnya.

Itulah ceritaku. Kisah kita bersama. Antara pengalamanku yang aku rasa comey untuk dikongsi bersama. Di bumi tandus yang berdebu ini. Mungkin agak panjang. Mungkin membosankan. Tapi ia sesungguhnya satu cetusan dari naluriku bagi mengucapkan jutaan terima kasih yang tiada tara kepada sahabat-sahabat di sini sebelum aku ‘kembali’. Berangkat pulang ke tanah air. Ke pangkuan keluarga dan sanak saudara. Mengecap cinta murni penuh keluhuran daripada seorang yang bergelar ibu. Cinta yang mustahil padanya ujud walau sekelumit pengkhianatan.

Haru. Pilu. Sedih. Tergaul sebati seketika. Sayang rasanya meninggalkan bumi penuh memori ini. Bumi yang penuh lubuk ilmu. Terpahat sejuta kenangan indah. Suka dan duka. Tawa dan hiba. Terima kasih kepada kalian. Teman-teman, kawan-kawan, dan rakan-rakan yang banyak membantuku. Yang tak jemu menasihatiku. Sahabat-sahabat sebumbung yang tiada letih melayan karenahku. Syukran atas pandangan dan juga tunjuk ajar antum semua. Maaf atas kesilapan, kekasaran, dan ke‘poyo’an aku yang mungkin terbit tanpa disedari.

Tidak ada yang dapat aku balasi selain dengan ucapan terima kasih. Terima kasih. Dan terima kasih. Allah jua yang pantas membalasnya kepada kalian. Doaku agar kalian semua yang masih berjuang, dipermudahkan-Nya dalam mendalami lautan ilmu Ilahi, Tuhan yang maha Esa. Korang pun jangan lupa mendoakanku walau dengan sebaris kata. Hingga kita ketemu lagi. Salam perjuangan tulus daripadaku...


By: anTusufi, aLwatary Geng’z