SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


Duhai Insan

Insan...
Suatu jisim jadian Tuhan,
Suatu makhluk seelok ciptaan,
Lahir dari lelaki dan perempuan,
Mendiami jua menakluki alam,
Dengan satu amar tentuan;
Maqam khalifah yang diamanahkan.

Lelaki...
Digelar ‘rijal’ oleh kaum Arab,
Begitu gah bila didengari,
Amat perkasa jika didasari,
Inilah benteng anak jati,
Pembela nusa umat dizalimi.

Lelaki...
Segak berpencak bak langkah panglima,
Bermula fajar sebuas raja rimba,
Berakhirnya malam bagai rahib hina,
Mendamba mufrad cinta Sang Esa,
Juga sesuci..kasih Hawa.

Perempuan...
Sekilas pandang tersangat asyik,
Ayunan langkah begitu tertarik,
Menikam lamunan dek jeling melirik,

Perempuan...
Perhiasan maya anugerah Ilahi,
Kehebatan terlindung di celah jiwa,
Jiwa srikandi warisan Nabi,
Lembut jemari gegari dunia,
Juga sebagai pembaja hati,
Dambaan perwira menongkah samudera.

Insan...
Selamilah madah bait yang daku karangi,
Kalian ciptaan persis sebuah sumpahan,
Yang termeterai di waktu lampau,
Tika Tok Adam mula mengerti,
Saat si Hawa menguntum senyum berseri.

Ingatlah...
Gandingan kalian teramat misteri,
Mampu mengubah pusingan alam,
Kiranya menjalari kalam Pencipta,
Juga menekuni sabda Utusan langit.



anTusufi..
9.45 malam..
26 Februari ‘07..
Teratak aL-Watary Geng’z.

Inikah Uslub Dakwah Kita?!

Oleh: anTusufi


Muhammad SAW merupakan seorang nabi dan rasul yang diutuskan Allah kepada seluruh umat manusia di akhir zaman ini. (“Katakanlah (wahai Muhammad), Hai umat manusia! Aku diutuskan Allah kepada kamu seluruhnya”) – al-A’raaf; 158. Tugas Baginda adalah untuk menyampaikan risalah kebenaran Islam bagi diguna-pakai serta diamalkan secara syumul dalam segenap aspek dan gerak kerja kehidupan manusia.

Inilah yang dikhabarkan kepada kita oleh Tuhan di dalam kitab suci-Nya, yakni Al-Quranul Karim. Di samping itu, Allah SWT juga telah mengingatkan kepada Rasul-Nya dan juga kepada kita secara amnya bahawa untuk memikul tugas membawa risalah Islam yang sinonim dengan istilah dakwah ini memerlukan satu pendekatan, langkah, cara, ataupun uslub yang baik dan penuh berhikmah.

Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:

(“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik...”) – an-Nahl; 125.

Begitulah pesanan Tuhan yang maha Bijaksana sebagai ingatan dan panduan kepada kita dalam menunaikan ibadah dakwah. Uslub yang baik akan dapat memikat hati para mad’u (orang yang didakwahi) untuk menerima kebenaran serta keindahan ajaran Islam.

Adapun sekiranya kita berdakwah dengan cara yang bertentangan dengan kehendak Islam seperti mengamalkan sikap asobiyyah (berpuak), kata-mengata, egois & takbur – merasakan dirinya saja yang betul. Maka ia akan menjadi pendinding spiritual di antara para pendakwah dan mad’u.

Saluran dakwah

Tidak syak lagi bahawa usaha penyampaian dakwah ini perlu, malahan wajib disalurkan dari segenap arah dan sudut bagi memastikan semua golongan mad’u akan mendapat ilmu Islam serta input sebenar daripada pendakwah. Saluran melalui pusat pengajian, kuliah, ceramah, tulisan & risalah, majalah, akhbar, media elektronik, dan yang sewaktu dengannya.

Kesemua bentuk saluran dakwah yang bertunjangkan ketaatan kepada Allah ini juga adalah sangat dihajati oleh para pendakwah sebagai senjata bagi menyangkal segala lemparan fitnah dan niat busuk daripada puak-puak yang menentang Islam. Di samping berterusan mendekatkan diri dan berdoa kepada yang Esa.

Namun, kita haruslah sentiasa berwaspada dalam menggunakan setiap saluran tersebut. Kerana kadang-kadang para pendakwah mungkin akan tergelincir daripada toriq (jalan) sebenar dakwah Islamiah, lalu terikut-ikut dengan rentak musuh.

Dakwah kita

Sebagai contoh terhadap apa yang dinyatakan ini, suka penulis kongsi bersama para pembaca sekalian satu kisah benar yang mungkin tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.

Pernah datang seorang teman, lalu melahirkan rasa kecewanya kepada penulis terhadap satu paparan bergambar berbentuk ‘sindiran’ yang disiarkan dalam sebuah laman web rasmi salah satu daripada kumpulan yang menganggap diri mereka sebagai ‘pendukung kebenaran’.

Pihak pentadbiran website tersebut telah menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan gelagat seorang pimpinan yang tak ‘sebulu’ dengan mereka sedang mengayuh beca. Di bawah gambar itu pula tertera sepatah-dua sindiran yang mengejek raut wajahnya ketika mengayuh beca.

Itulah di antara uslub yang ditonjolkan oleh sesetengah ‘orang kita’ secara sedar ataupun tidak di dalam menyampaikan mesej dakwah mereka. Terdapat juga segelintir daripada penceramah yang mungkin dek kerana hammaasah (semangat) yang tak dapat dikawal, menggunakan uslub yang sama.

Kutuk-mengutuk, ejekan, dan hinaan yang tidak berpatutan ataupun sindiran yang mungkin agak keterlaluan semacam sudah sebati di dalam ‘dunia’ dakwah kita. Malahan, tanpa disedari kata-kata berbaur fitnah juga turut ‘dipraktikkan’.

Wajarkah uslub sedemikian untuk para pendakwah amalkan? Adakah ini cara pendekatan dakwah yang kita warisi daripada junjungan mulia SAW? Atau sudah tiada ‘modal’ sangatkah untuk kita menyatakan yang haq itu benar dan yang batil itu salah?

Mengapa mimik muka yang harus kita persalahkan? Kenapa sifat anugerah Tuhan yang perlu kita pertikaikan untuk menyatakan kebenaran?

Itu hanyalah salah satu di antara bermacam-macam ‘karenah’ lagi yang diamalkan oleh sebahagian para pendakwah dan tak perlulah penulis nyatakan dalam tulisan yang ringkas ini.

Dakwah dan hikmah

Nabi Muhammad SAW menggunakan uslub yang penuh berhikmah di dalam menjalankan tugas dakwah. Sehinggakan pernah satu ketika Baginda menolak pelawaan Jibril a.s untuk menghempaskan bukit kepada masyarakat Tooif, bahkan Baginda mendoakan pula kepada mereka mudahan mendapat hidayah-Nya. Sedangkan pada masa itu Baginda bersama para sahabat r.a teruk diejek, dihina, serta dilempari dengan batu-batu hingga mengalir darah dari badan Baginda.

Dalam menunaikan mesej dakwah Islamiah, para nabi, sahabat-sahabat, dan juga salafu soleh menyampaikannya dengan seruan Islam dan iman kepada Allah SWT serta mengamalkan apa yang diajar oleh Islam. Jauh dari pra-sangka buruk dan hina-menghina kerana itu semua datangnya daripada hasutan syaitan, musuh umat manusia.

Untuk mencapai maqam ‘hikmah’ itu pula, para pendakwah perlulah menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang benar. Bahana yang besar akan menimpa mereka apabila dakwah yang diuar-uarkan itu berjalan tanpa panduan ilmu.

Agaknya apakah reaksi para mad’u (mereka yang didakwah) apabila kita menggunakan uslub sedemikian (ejek-mengejek) untuk berdakwah kepada mereka? Dapatkah mereka menerima apa yang kita dakwahkan? Berkesankah dakwah tersebut?

Bagi penulis, konsep pendekatan uslub sedemikian akan menjadikan gerakan dakwah sebagai low class, kosong, dan tidak berisi. Malah, berkemungkinan besar akan menjauhkan lagi mereka daripada kebenaran Islam. Kerana setiap individu mempunyai perasaan, pendapat, dan ego masing-masing.

Mungkin hati kecil mereka dapat menerima kebenaran dakwah kita. Tetapi disebabkan kemarahan serta kebencian mereka dengan sikap dan pendekatan para pendakwah, mereka akan terus dengan dunia ‘jahiliyah’ mereka. Apabila fenomena ini terjadi, kepada siapakah harus dipersalahkan?

Ingatlah, sesungguhnya ‘role model’ yang perlu para pendakwah contohi ialah hanya pada diri Rasulullah SAW.

(“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik; (iaitu) bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat...”) – al-Ahzab; 21.

Mudahan artikel yang ringkas ini dapat diambil manfaat bersama demi untuk menggerakkan jentera dakwah dalam meng‘ESA’kan peradaban ‘tauhid samawi’ di muka bumi ini. Sekian.

Sahabat

Sahabat . . .
Kalian kawan
Kalianlah teman.

Kata orang...
Kawan beria mudah dicari
Kawan di tika duka sukar ditemui.

Namun...
Kalianlah sahabatku
Di dua saat itu.

Di sini...
Kita bagai sebuah keluarga
Persis rantaian yang tak mungkin terlerai.

Durian tajam saling dilusuri
Halwa bermadu sama dikecapi
Meski terkadang badai menyaingi
Namun kita tetap di sisi
Ikatan ukhuwwah kian bersemi.

Kawan...
Memori bersama kalian
Terus bersemadi di ingatan
Takkan mungkin daku lupakan.


- anTusufi,
20 Februari 2007,
08.50 pm,
Pondok aL-Watary Geng’z.

Celoteh Kami -1

Assalamualaikum 'N' salam sejahtera buat sume rakan-rakan, sahabat-sahabat, teman-teman, dan juga kepada member-member pembaca sekalian. Aku mewakili sidang aL-Watary Geng'z mengucapkan berbanyak tima kasih la coz sudi jugak meluangkan masa berharga korang untuk menjenguk-jenguk laman cyber aL-Watary Geng'z dot Blogspot yang ntah hape-hape nih.

Paling utama, penting, dan mustahaknya...aku amat bersyukur kepada Tuan pemilik alam semesta kerna telah merealisasikan hasrat kami untuk melahirkan blog nie. Kami panjatkan setulus doa kepada-Nya agar memberi kekuatan dan semangat yang tinggi seterusnya mengistiqamahkan kami dalam usaha-usaha menyampaikan risalah nubuwwah yang agung di ruangan maya siber ini.

Tak perlulah disingkapi secara terperinci identiti ataupun profile kami yang tak menarik mana pun...takut nanti terserlah pulak 'kepoyoan' kami yang semakin membusuk nie.

Sebagai info, cukuplah kiranya korang tahu bahawa kami sekarang bermastautin di kota Sana'a, ibu negara Republic Of Yemen yang bersempadan dengan negara Saudi Arabia.

aL-Watary Street, di situlah area pondok usang yang kami diami dan sewa daripada seorang pak Arab kat sini. Baik orangnya. 'Badwi' perwatakannya. Kalau fasal fulus, 'dok berapa kire mane' kata orang Pantai Timur. Anak dara dia pun boleh tahan...eheheh. Kiranya, dalam geng kitaorang nie akulah paling sulung, 'orang lama' kata orang. Dah bertahun-tahun asyik repeat kelas jer, tulah yang sampai berjanggut dah tu kat sini. Ilmu lak tak bertambah-tambah pun. Erm...abaikan saja.

Memula tu, aku N de geng tak bernafsu mana untuk bikinkan blog nie. Tapi setelah terpengaruh dek 'hasutan' atau lebih beradab dengan sebutan cadangan daripada saudara kami Mr. Ayub, maka kami telah bersetuju dengan idea tersebut.

Tujuan kami dalam planning mewujudkan blog ini hanya satu, iaitulah untuk menjadikannya sebagai satu toriq serta gelanggang bagi kami salurkan dakwah Islamiah di dunia langit terbuka. Mengikut gerak langkah tarian kami yang tersendiri. Mengikut secangkir ilmu yang diwarisi. Bersandarkan ilmu wahyu dan sabda Utusan langit yang didalami. Berpaksikan segenggam kemampuan yang direstui.

Kalam penyudah daripada kami, mudahan Allah SWT membuka kotak ilham kami dalam menapak mencapai cita serta impian besar ini. Semoga usaha kami yang kecil ini tersenarai sebagai salah satu gerak kerja intizar dan dikira sebagai satu saham bernilai di sisi-Nya.

Kepada kalian para pembaca pula, janganlah malu-malu kucing untuk sama-sama memberi respons, komentar, kutukan, pandangan, nasihat, dan apa-apa pun juga kepada kami yang sememangnya cetek pengalaman di dalam pentas cyber ini. Salam ukhuwwah perjuangan daripada kami buat semua. Sekian, wassalam. – PieKunto

Tentang Bulan

Bulan & bintang bersinar berkerlipan
Dan menerangi keindahan malam
Tanpa mu bulan..malam kegelapan
Tanpa mu bintang..hilanglah keindahan.

Ini kisah tentang bulan
Bulan bintang jadi kawan
Begitulah persahabatan
Yang cuba kami eratkan
Semoga...berkekalan selamanya.

Begitulah kami..hidup lima sekawan
Sesama berjanji..susah senang dirasa
Di bawah sinaran..cahaya bulan bintang
Menjadi saksi janji kami semua.

- (Petikan daripada soundtrack filem 'Tentang Bulan')