SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


Dedikasi Buat Tersayang



Kelmarin si suami ceritakan kepada isterinya bahawa seorang sahabat telah meminta kepadanya buatkan bait-bait 'berbunga' sempana ulang tahun perkahwinan sahabat tersebut, lalu si suami mengarang beberapa baris kata-kata indah buat sahabatnya itu. Lalu sang isteri bertanya kenapa si suami rela buatkan kata-kata puitis buat orang lain sedangkan tidak pernah pun si suami buatkan seumpama itu kepadanya. Si suami hanya mampu tersenyum.

Sesungguhnya bukan si suami tidak sudi karangkan bait-bait puitis buat sang isteri, tetapi tiada ungkapan indah yang mampu menyaingi pengorbanan sang isteri.

Lagu puisi di atas setulusnya si suami dedikasikan buat sang isteri sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 22. Terimalah. Hanya untukmu duhai isteriku. Hayati dan mengerti :)

Reunion & Pemilihan AJK Ex-Yaman Negeri T’ganu

- Dipetik dari www.permaya.org


Oleh:
Ahmad Yamani

Alhamdulillah. Hanya itu lafaz termulia yang layak saya ungkapkan setelah program yang dirancang sekian lama dapat dilangsungkan dengan jayanya. Nampak ringkas, namun ia tidak akan terlaksana tanpa sokongan serta kerjasama daripada sahabat-sahabat yang sedia meluangkan masa dan tenaga tanpa pinta dibalasi.

Majlis Berbuka Puasa & Ukhuwah lepasan pelajar Malaysia Yaman yang diadakan pada 09 Zulhijjah 1431H baru-baru ini dihadiri seramai 35 orang x-Yaman dari pelbagai latar belakang kerjaya - disebabkan tarikh bertukar pada saat-saat akhir, maka ramai yang tidak dapat menghadirkan diri. Saya mewakili Adhoc program memohon kemaafan di atas kesilapan teknikal yang berlaku - Majlis tersebut dilangsungkan di negeri Terengganu Darul Iman.

Program reunion yang diadakan pada kali ini sedikit berlainan jika dibanding dengan perjumpaan-perjumpaan yang lepas. Pertamanya dari sudut pengisian, ia dipenuhi dengan slot-slot ilmiah seperti tazkirah, iftor, dan ucapan daripada pimpinan. Kedua, pada pertengahan majlis diadakan pula pemilihan Jawatankuasa Pelaksana Alumni x-Yaman Peringkat Negeri Terengganu. Sebetulnya, ini merupakan program reunion x-Yaman yang sulung dan julungkalinya diadakan di Terengganu secara rasmi.

Saya mendengar dari bawaan angin bahawa ada yang berdesas-desus bertanya mengapa kerap benar reunion diadakan di negeri Terengganu. Di kesempatan ini ingin saya menjelaskan kepada sahabat-sahabat semua bahawa kebanyakkan program yang telah terlaksana sebelum ini dicetus dan diusahakan oleh mereka yang berada di Terengganu. Justeru itu, lokasi yang dipilih semestinyalah di tempat sendiri iaitu negeri Terengganu. Kerana ianya lebih mudah untuk dikendalikan. Itu sahaja. Tiada sebarang agenda lain yang tersembunyi.

Andai ada keluangan, kami juga teringin untuk mengadakan ataupun menyertai reunion di negeri-negeri lain. Jadi, diharap kepada sahabat-sahabat agar usah berwasangka yang bukan-bukan.

Semoga ukhuwah yang dibina sewaktu di bumi Yaman dahulu akan tetap tersemai subur sesama kita dalam mengatur langkah memperjuangan kalimatulLah. Insya-Allah.

Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat-sahabat yang hadir dan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Moga Tuhan membalasi kalian dengan seribu kebaikkan dunia akhirat.

Di bawah ini saya senaraikan 5 orang jawatankuasa x-Yaman peringkat negeri Terengganu yang terpilih (secara undian) di dalam majlis tersebut:

1) Syed Mohd Azwan b. Syed Yahya
2) Zulkifli b. Nara
3) Ahmad Buniyamin b. Razimi
4) Abdullah Basri b. Abu Bakar
5) Syed Ahmad b. Syed Mohamad



"Bersama Membentuk Hawariyyun"

Siri Seru 1Kaabah: Dua Sahabat

Debuan dihembus,
Bagai terpukau,
Mata dan hati,
Jasad dan nafsi.

Mereka melangkah..
berdua,
Menggalas segunung amanah..
berdua,
Getir diburu pedang dan tombak..
berdua,
Jangan gentar usah takut..
Walau berdua, Tuhan bersama.

Itu amar suruhan wahyu,
Kisah Hijrah peristiwa agung,
Dari Makkah ke Kota Madinah,
Hadapi peritan pelbagai mehnah,
Demi Islam, demi umat.

Ya, untuk kita,
Mereka berjuang,
Terus berjuang,
Berdua, juga bersama sahabat setia,
Hingga Islam kini bak pancaran mentari,
Menyinari zulumat dunia.

Nah, apakah pula tugas kita?!



- Ahmad Yamani
12 Ramadhan 1431H
Madinah al-Munawwarah

Siri Seru 1Kaabah: Merpati Fatimah

Riang berterbangan,
Di celahan sergam bangunan,
Di pundak ubun, ribuan insan.

Bebas,
tiada halangan,
Bebas,
tanpa sekatan,
Bebas,
semahu tak terkatakan.

Itu merpati pendamping Kaabah,
Peluru hidup simpanan Ilah,
Terbang berzikir,
mengagungkan Allah,
Pesaka jagaan,
puteri Rasulullah.

Pastikan keriangan,
Sepanjang zaman.



-Ahmad Yamani
10 Ramadhan 1431H
Makkah al-Mukarramah

Siri Seru 1Kaabah: Tetamu Tuhan II

Langkah tergamam,
Terpacak bagai tertanam,
Tangan melambai,
Tanda ucap salam tahiyyat,
Hati menggumam,
Gembira hamba berbaur sendu,
Bibir bergetar,
Menzikir tahmid melaung takbir,
Mata terpukau,
Pandangan sulung melihat kagum,
Antar realiti ataupun fantasi.

Syiar berpadu indah tersergam,
Umat bersatu kiblat nan satu,
Dialah Kaabah berselimut hitam.



- Ahmad Yamani
10 Ramadhan 1431H
Makkah al-Mukarramah

Siri Seru 1Kaabah: Tetamu Tuhan I

Hati terasakkan,

Debar bergetaran,

Minda berlamunan.


Kaki ku hayun,

Batu-batu jalan ku langkah,

Melalui lorong-lorong,

Melintasi kedai-kedai,

Membahui manusia-manusia.


Untuk apa aku di sini?

Beberapa minggu lalu,

tidak pun ku terfikir untuk ke sini.

Kerana aku lemah,

dan sememangnya sifat ku lemah,

maka aku tercampak di sini.

Ya, dengan susun-atur-Mu jua.


Tuhan, terima kasih.

Syukur ku panjat.

Dengan iradah-Mu,

Ku tiba di sini sebagai tetamu,

Bersama isteri dan ibu,

Menjadi tetamu-Mu Tuhan,

Di gersang berdebu Tanah Haram.



- Ahmad Yamani,

06 Ramadhan 1431H

Hotel Sofwah,

Makkah al-Mukarramah

Mantera Sufi


Ya Allah!

Aku hamba-Mu
Aku makhluk-Mu
Aku lemah..Aku gundah...
Aku dagang..Aku faqir...

Tuhan...
Kau Tuan
Kaulah Penguasa
Maha Agung..Maha segala

Ya Rahman..Ya Rahim
Ya Alim..Ya Hakim
Ya Ghaffar..Ya Mannan
Ya Jabbar..Ya Azim

Nama-Mu ku seru
Nama-Mu ku zikir
Nama-Mu ku tasbih

Marilah...
Datanglah...
Hadirlah...
Jelmalah Engkau
Ke dalam hatiku
Ke rongga sarafku

Aku dambakan Cinta-Mu
Aku tagihkan Kasih-Mu
Aku gilakan Rindu-Mu

Ya,
Aku perlukan-Mu
Pada setiap hembusan nafasku

Ku pejamkan mata
Ku bawa makrifat jiwa
Mengadap ke hadrat-Mu Penguasa

Datanglah!


-anTusufi, 16 Syaaban 1431H

Sempadan Sementara

"Mad, leh tak kau tolong aku watkan satu lirik...tak lirik pun kira puisi la..."

"Kau buat tajuk SEMPADAN SEMENTARA..."

"Bantai la nak buat camne pun..."

Kat atas tu dialog sahabatku Apits...dia mintak tolong aku buatkan puisi dengan tajuk tu...so, puisi kat bawah ni, khas aku dedikasikan untuknya.


Mengintai-intai
Masih ada lagikah ruang
Masih ternantikah peluang
Untuk kembali
Di hujung dataran terbentang.

Pandangan kian samar
Fikiran makin kabur
Kelam berbalam...

Tentang asal keujudan
Tentang amal kehadiran
Perihal arah kebangkitan.

Sempadan hayah tiada bernoktah
Sempadan alam penuh tipuan
Sempadan iman sarat kemurkaan
Sempadan barzakh hujung likuan.

Sebuah penantian
Suatu kepastian.



-Ahmad Yamani, Jun 2010

Jom Bantah Judi HALAL


Judi HARAM
Bagi Semua Agama & Bangsa


Jangan HARAMKAN
Piala Dunia 'return to Africa'
dengan
JUDI

Jangan CEMARKAN sukan bola
dengan
JUDI

AYUH, Sama-sama kita membantah!!!

Himpunan 100,000 Rakyat
Membantah Judi Sukan


Sabtu, 03 Julai 2010
Jam 2 petang
Istana Negara


ANDA PERIHATIN?!!


Rehlah Ukhuwah X-Yaman 2010

Salam sua.

Syukur kepada Tuhan semesta. Setelah beberapa kali tarikh ditunda, dan SMS iklan dipinda, akhirnya terlaksana juga hasrat untuk mengadakan rehlah ini. Terima kasih Tuhan.

Awalnya, rehlah candat sotong ini dirancanakan untuk mengumpul paling kurang 20 orang x-Yaman. Tetapi dek kerana beberapa masalah teknikal seperti keluangan masa para peserta dan juga kekangan pihak berkuasa perikanan yang menghadkan jumlah peserta yang boleh dimuatkan dalam sesebuah bot, akhirnya kami berjaya mengumpulkan 10 orang x-Yaman. Terima kasih Tuhan.

Pabila pulang dari Yaman beberapa waktu dahulu, dan meneruskan misi kehidupan di tanah air ini, 10 orang yang menyertai rehlah ini terjun ke dalam pelbagai bidang. Namun visinya masih boleh dianggap satu, mengesakan Tuhan di dalam semua lapangan kehidupan. Tauhidikkan pemikiran ummah dalam setiap gerak kerja. Untuk itu, rehlah ini dianjurkan. Terima kasih Tuhan.

Kami bertolak dari jeti Seberang Marang pada jam 6 petang, 5/6/2010. Perjalanan menuju ke destinasi mengambil masa kira-kira satu jam. Kami bertolak pulang pada jam 9 pagi keesokannya. Biarpun agak sedikit penyertaan, namun sudah cukup untuk menafaskan kembali ruh ukhuwah antara kami dan menyuburkan semula semangat juang kami. Terima kasih Tuhan.
- Sebenarnya masih ramai yang ingin menyertai, tapi keadaan begitu mengekang.


Terima kasih dirakamkan kepada saudara kami, Abdul Rahman yang berusaha dengan begitu komited dan bersungguh-sungguh meluangkan kesibukannya demi menjayakan rehlah ini. Terima kasih diucapkan buat mereka yang turut meruangkan waktu untuk menyertai rehlah ini. Terima kasih Tuhan.

Kepada mereka yang tidak berkesempatan pula, insya-Allah pada masa akan datang akan kita adakan lagi rehlah yang seumpama. Dijadikan acara tahunan barangkali. Rehlah ini diaktifkan oleh Alwatary Geng. Ya, terima kasih Tuhan.


Sebelum berpisah, aku sempat membisikkan sesuatu kepada Saudara Juzlan, "Lepas ni kita buat di Tasik Kenyir la pulak ye". Dia 'orang kuat' Hulu Terengganu. Dia tersenyum mendengar usikan itu.

Di bawah ini aku kongsikan beberapa keping gambar yang sempat aku rakamkan (selepas ditapis).



Ehem...Bujang Lapok merenung nasib :)

Selamat Hari Guru 2010


KATA ORANG...

Guru ibarat unggun,
sanggup membakar diri demi menerangi dunia dengan cahaya keselamatan...

Guru bagaikan seorang hamba,
berbuat apa sahaja demi kejayaan seorang pelajar...

Guru tak ubah seperti ayah-ibu,
mendidik anak-anak mengenal jati diri...

Guru pembawa pusaka para anbia,
mengajak insan tauhidkan yang Esa,
mengenal empunya alam semesta...

YANG PASTINYA...

Guru bukan persis sebiji bola,
yang pantas ditendang ke sini sana,
yang bisa diperjudikan untung nasibnya...

JUSTERU...

Hargailah guru...
maqam mereka tersangat mulia,
semulya ilmu langit yang diwahyukan-Nya.


"Terima Kasih, cikgu"

'Saya Disihir' (Gadis Pak Tua)


Sebagaimana yang dilaporkan oleh Harian Metro:

YANI YUHANA & ayahnya hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur


Oleh: Murni Wan Omar
27/04/2010

KUALA LUMPUR: Seorang wanita mendakwa terkena sihir ilmu hitam warga Pakistan sehingga dia menurut bagaikan ‘lembu dicucuk hidung’ apabila diculik dan dibawa berkahwin mengikut mazhab Hanafi di negara asal lelaki itu.



Yani Yuhana Mohd Zambri, 24, (responden) berkata demikian ketika memberi keterangan terhadap permohonan Muhammad Kamran Babar Nazir Khan, 46, (pemohon) yang membuat permohonan mendaftarkan perkahwinan mereka didakwa berlaku di Pakistan pada 2 April 2009.



Terdahulu, Yani Yuhana menimbulkan isu berhubung pasport perjalanannya dipegang Muhammad Kamran kerana mahu melihat sendiri dokumen perjalanan kerana dia menaiki penerbangan dari United Kingdom, sebelum bertemu lelaki itu di Abu Dhabi dan ke Islamabad.



“Saya sukar menafikan berada di Pakistan, kerana keadaan tidak waras mempengaruhi. Pemergian ke luar negara seorang diri adalah mustahil. Oleh itu saya mohon barangan peribadi saya termasuk pasport yang sebelum ini disimpan Muhammad Kamran diserahkan semula.



“Saya ingat ada nampak dia (Muhammad Kamran) di lapangan terbang tetapi tidak pasti, sebab itu saya mohon pasport kerana mahu lihat sendiri perjalanan dalam dokumen itu. Saya membantah sekeras-kerasnya permohonan Muhammad Kamran mengatakan saya melakukannya dengan rela,” katanya.



Yani berkata, ibu bapa dan keluarganya lebih mengetahui perubahan dirinya dan mustahil tindakan dilakukan itu serta bersumpah dia dianiaya dengan dikenakan ilmu hitam.



“Penyataan pemohon yang mengatakan saya takut dengan ibu bapa sehingga tidak memaklumkan mereka berkahwin tidak benar. Mereka (ibu bapa) terbaik sehingga menyelamatkan dan membawa saya mendapatkan rawatan, berbanding pemohon yang hanya memuaskan nafsu.



“Keluarga dinasihati polis dan pengamal perubatan supaya saya dipulihkan terlebih dulu. Yang Arif, perkahwinan ini dilakukan secara paksa serta di luar kemahuan. Ia penganiayaan terhadap diri, maruah serta masa depan saya,” katanya.



Sementara itu, Muhammad Kamran diwakili peguam syarie Ainon A Rahman mendakwa perkahwinan berlaku di dalam mahkamah di Pakistan dengan kehadiran kedua-dua pengantin serta dua saksi dan mengikut mazhab Hanafi tidak memerlukan wali.



“Pernikahan kami dijalankan Pendaftar Perkahwinan di dalam mahkamah di Rawalpindi, Pakistan. Saya ada membawa surat pengakuan nikah dan gambar kami melawat saudara-mara di beberapa tempat di sana selepas majlis pernikahan. Yuna tinggal di Pakistan selama 14 hari.



“Yani membantah permohonan saya mendaftarkan perkahwinan kerana dia takut kedua ibu bapanya tahu. Ketika itu dia masih belajar di United Kingdom dan saya mahu meraikan perkahwinan kami di Pakistan,” katanya yang mempunyai perniagaan kain di sini.



Berhubung isu pasport, Muhammad Kamran mendakwa tidak mengetahui di mana pasport Yani berada dan keadaan itu menimbulkan ketegangan kerana sebelum ini mahkamah didakwa mengeluarkan perintah pasport itu diserahkan.



Muhammad Kamran dalam keterangannya berkata, dari awal lagi, dia memaklumkan kepada Yani bahawa dia berkahwin dengan wanita di Rantau Panjang, Kelantan dan mempunyai enam anak dan wanita itu mengatakan dengan rela hati mahu berkahwin dengannya.



“Selepas perkahwinan, Yuna adalah isteri yang baik, selain periang serta taat kepada saya. Selepas 14 hari berada di Pakistan dia pulang ke United Kingdom dan saya yang mempunyai taraf penduduk tetap pulang ke Malaysia. Dia datang menemui saya pada 17 Oktober 2009 sebelum dibawa lari keluarga dan putus hubungan sejak 26 Oktober 2009,” katanya.



Menjawab pertanyaan peguam, Muhammad Kamran mendakwa tidak ada unsur penipuan dalam perkahwinannya dan dia mengenali keluarga Yuna dengan baik.



“Saya seorang Islam, saya tidak akan lakukan sihir terhadap Yuna. Saya tidak menculik dia untuk berkahwin tetapi dia melakukan dengan rela hati. Saya pernah bertanya kepada ibunya tetapi dia mengatakan tidak menjanjikan apa-apa.



“Pertama kali saya berjumpa dengan Yuna adalah di Giant, Batu Caves, melalui adiknya yang bekerja di gerai milik saya. Saya juga kenal ibu bapa Yuna kerana keluarganya kerap datang ke gerai saya di Mydin, Terengganu. Selain berbual, saya juga ada memberi selendang dan sebagainya,” katanya.



Hakim Kanan Syarie Mahkamah Tinggi Syariah, Mohd Radzi Abdul Latif menetapkan 1 Jun ini untuk sambung perbicaraan.

Gadis Pak Tua (satu kisah benar)


Oleh:
Ahmad Yamani


Mereka datang khabarnya sebagai pelabur, bersama melangkah menjana kekuatan ekonomi negara. Tetapi hakikatnya merekalah selaku pelebur.

Mereka datang kelihatannya mahu menjadi seorang pelajar, mahu menggali khazanah ilmu warisan bangsa. Tetapi tersingkap jua sikap biadap dan kurang hajar.

Mereka datang ke mari kononnya demi membantu pembangunan, penuh bergaya dalam mencetuskan idea. Tetapi mereka jugalah penyumbang umat menjilat nafsu kebinatangan. Penuh kerakusan. Tanpa selahzah pun penimbangan ruh keimanan.

Mereka datang sebagai peniaga, pedagang, pekerja, buruh, dan segala macam. Tetapi merekalah sebenarnya perampas. Perampas peluang hakiki anak bangsa.

Atas restu Pak Tua, hamba lakarkan sesuatu yang bukan lagi rahsia ini. Lantaran sikap biadap dan keterlaluan mereka yang secara licik menjajahi setiap ruang dan peluang di tanah kita, dengan rakus bertapak dan bermaharajalela.

Angkara mereka, bangsa kita seolah terpinggir di bumi sendiri sebagai lebai malang yang ‘menang sorak, kampung tergadai’ tanpa disedari. Seperti ‘berdagang di watan sendiri’ laksana ‘ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’. Begitulah bunyi ungkapan peribahasa.

Apakah ini suratan takdir atau salah tadbir?


Di kamar mahkamah

(Petikan sebahagian dari repot asal. Nana, Gadis Pak Tua)

Selasa. 02 Mac 2010. Mahkamah Tinggi Syariah Malaysia Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Dalam kamar mahkamah, pihak yang menganiayai saya iaitu Muhammad Kamran Babar bin Nazir Khan masih enggan menyerahkan segala dokumen peribadi saya seperti passport antarabangsa, kad pelajar universiti di United Kingdom, hard
disk, serta barang-barang lainnya walaupun setelah diperintah oleh Yang Arif Tuan Hakim.

Beliau bukan sahaja memalukan saya dan keluarga, tetapi juga telah bersikap melampau dengan menghantar kuncu-kuncunya yang tidak saya kenali ke rumah saya di Terengganu. Dan pada hari ini pula beliau telah membawa dua orang yang berpewatakan seperti samseng yang saya yakin adalah warga asing berketurunan Pakistan ke mahkamah yang mulia.

Mereka memandang saya sambil bercakap-cakap dalam bahasa mereka yang langsung tidak saya fahami. Kemuncak kesabaran saya hilang. Akhirnya, saya telah menumbuk muka dia beberapa kali serta menghayunkan beg tangan saya ke mukanya juga. Kejadian ini turut disaksikan oleh beberapa orang yang berada di kawas
an pintu utama mahkamah lebih kurang jam 11 pagi, termasuk beberapa orang anggota polis yang bertugas di situ.

Tindakan saya pada hari ini adalah sebagai bukti saya tidak pernah bersetuju di atas tindakan beliau terhadap saya dan keluarga yang kini mengheret saya ke mahkamah. Ini adalah langkah saya untuk membela diri dan maruah saya sebagai seorang perempuan warganegara Malaysia yang beragama Islam.



Hidup Pak Tua

Sepertimana yang dikhabarkan sendiri kepada hamba. Ingin hamba persembahkan pula kepada kalian tentang ceritanya. Kisah benar hidup seorang Pak Tua. Bukan hanya sekadar penglipurlara. Bukan juga untuk bersuka-ria. Tetapi ia untuk dimengerti, lalu dihalusi bersama.

Pak Tua mempunyai seorang gadis sunti dara. Dijaga dan dididik dengan sepenuh jiwa. Kasih sayang dicurah sepenuh raga. Disulam pula dengan ajaran agama, agar hidup si gadis kelak berjaya di dunia dan berbahagia pula di akhirat sana.

Dipendekkan cerita, hidup si gadis melangkah ke usia remaja. Dimilikinya paras semanis kurma. Lembut bertutur kata, elok pula budi bahasa. Mudah mesra, juga tahu menghormati yang lebih tua. Kulitnya sedikit gelap, namun bisa saja menambat hati para jejaka.

Setelah menamatkan alam persekolahannya, si gadis anak Pak Tua berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara. Ke negeri orang putih di belah barat sana. Hari berganti hari si gadis bertungkus-lumus untuk berjaya. Sehingga beberapa kali mendapat anugerah tertinggi kurniaan universitinya.

Pak Tua pula masih dengan kerja hariannya menyara keluarga. Dia menetap di negeri penyu naik menangis hiba. Di sebuah bandaraya, gelar penguasa. Ya, bukan senang membanting tulang demi menyara si gadis di seberang samudera. Namun demi masa depan, Pak Tua tetap cekal berusaha dengan kudrat yang ada dan menyerahkan seluruh tawakkalnya kepada Pencinta yang Tunggal Esa.

Sedang si gadis menangga ke puncak jaya, mari pula musibah datang menduga. Ujian besar buat Pak Tua sekeluarga. Si gadis ini adalah anak keempat daripada lapan beradik penghibur jiwa hasil perkongsian hidup Pak Tua bersama Mak Tua sejak tahun 1979 adanya.

Zuriatnya yang sulung kini merupakan seorang jurutera yang pernah terlibat dalam pembinaan semula Kompleks Jamrah, tempat melontar di Tanah Haram. Zuriatnya yang kedua sedang bertugas sebagai seorang pendidik di pedalaman Sarawak. Yang ketiga, sedang bertugas sebagai doktor di hospital kerajaan. Anak keempat adalah si gadis pintar yang menuntut di United Kingdom, namun kini semuanya lebur begitu sahaja. Kelima, seorang lepasan diploma yang kini bertugas dengan Kementerian Kebajikan Masyarakat. Yang keenam, masih dalam pengajian di bidang farmasi, nun di negeri utara sana. Ketujuh, kini berusia 16 tahun, adalah antara pelajar terbaik 9A (PMR) 2009, dan sudah pun bergelar huffaz, tersemat kalam Tuhan di dalam dada. Dan zuriat yang kelapan Pak Tua masih kecil, berumur lingkungan tujuh tahun dan belum lagi mengerti suatu apa pun berkaitan dunia.

Pak Tua selalu berkata, "Walau sebesar mana pun ujian menimpa, Allah takkan pernah sekali-kali menduga dengan apa yang tidak tertanggung oleh hamba-Nya."

Ya, memang benar tutur Pak Tua. Tuhan itu maha Tahu, maha Bijaksana. Maha Adil, maha Berkuasa. Maha Pengasih dan maha Penyayang sifat-Nya. Dia pasti mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Itu intipati keimanan, yakin bukan? Bagi Pak Tua, setiap kejadian yang ditempa, tiada yang silap dan berlaku atas kudrat serta iradat-Nya. Dan, Tuhan itu jugalah yang amat mengetahui akan segala asbab musababnya.

“Demi perinsip dan pegangan itulah, saya dedahkan kisah ini berserta harapan menggunung akan bantuan daripada semua saudara seagama, sebangsa, dan senegara.” Tutur Pak Tua dengan api perjuangan yang marak menyala di sinar mata.

Terbongkar sudah rahsia

Setelah beberapa tahun di negeri orang, si gadis pulang bercuti melepas lara. Bukan kepalang Pak Tua gembira. Terlerai sudah rindu tuk bersua, fikirnya. Namun si gadis feelnya berlainan begitu ketara. Sesuatu yang tidak pernah terduga oleh Pak Tua. Si gadis bagai tidak lagi mengenal orang yang lebih tua. Hilang sudah lemah lembut dan tutur sopannya. Amarah bagai bertakhta di hati dan jiwa.

Bukan, sebetulnya bukan amarah, tetapi semacam seekor syaitan yang beraja menakluk dirinya. Sepatah ditanya, menengking saja jawabnya. Duduk di rumah pula, seperti cacing kepanasan lagaknya. Itu tak kena, ini tak kena, semua tiada yang kena. Akhirnya, si gadis bernekad lari dari rumah mengikut pedoman sang Iblis yang sedang bermaharajalela.


Pak Tua menjadi teruja. Manakan tidak, anak yang ditatang berubah sebegitu rupa. Lalu hilang pergi entah ke mana. Selepas diselidik ke sini sana, maka bertemulah Pak Tua dengan punca. Rupanya sedari di perantauan lagi si gadis terkena. Kata orang kita, termakan sudah ubat guna-guna. Terkena sihir, kata rul agama. Lebih tepat lagi, telah diperdaya dan diilmuhitamkan si gadis Pak Tua.

Benar, sihir tetap akan ada selamanya selagi ujud manusia yang hasad hati, busuk jiwa, keparat raga. Hatta hari kiamat tetap kan ada. Pasti kan ada sebagai penguji iman manusia. Kini, barulah Pak Tua mendapat tahu bahawa si gadis anaknya telah lari ke ibu kota. Menjejak seseorang yang digelar Pak Tua sebagai si barua layaknya.

Wahai saudara, perasaan bimbang, keliru, dan kecewa di ketika itu tiada dapat diungkap dengan kata-kata. Pak Tua hanyalah berserah pada ketentuan-Nya, namun tetap dengan usaha dan tawakkal yang tiada penghujungnya.

Alkisahnya, si gadis pernah bekerja sambilan ketika masih belum ke luar negara. Mencari sedikit wang tambahan untuk keluarga. Taukehnya seorang yang baik hati, warga Pakistan yang membuka perniagaan tudung dan textile di Tanah Melayu kita. Si taukeh begitu rapat dan mesra dengan Pak Tua sekeluarga. Namun siapa sangka ada udang di sebalik batu. Ada musuh di dalam selimut. Sebusuk hasrat terlindung di belakang laku. Tentu sekali kalian dapat mengagak kelibat siapakah hamba berbicara. Dia berjasad manusia, tapi sejahat iblis bermukim di hatinya.

Penangan sihir, si taukeh berjaya memukau gadis, anak Pak Tua. Diikutnya segala kata. Diturutnya juga semua perkara. Hatta dalam tiada sedar, tanpa pengetahuan keluarga, anak Pak Tua dibawa lari dan dinikahi oleh si taukeh durjana.

Setelah diketahui punca, Pak Tua berusaha pula mencari penawar buat si gadis yang menjadi mangsa. Sebagai seorang guru silat, Pak Tua juga faham serba sedikit akan langkah pemulihan dan rawatan yang sepatutnya. Tidak cukup dengan diri sendiri, dicarinya alim ulama untuk melawan kuasa hitam yang bermaharajalela. Berkat usaha, tawakkal, dan keazaman yang tinggi, akhirnya si gadis kembali pulih seperti sediakala. Masih ada kasih Tuhan kepada kami. Kepada Pak Tua, Mak Tua, dan keluarga.

Pertarungan di mahkamah dunia

Walaupun sudah pulih, rupanya Tuhan masih lagi ingin menduga. Pak Tua mendapat berita mereka diheret pula ke mahkamah oleh si keparat taukeh durjana. Oh ya, kalian usah sekali-kali lupa bahawa si taukeh itu adalah warga asing yang menumpang ehsan warga kita. Tetapi udah berani membikin onar mencabar kita warganegara.

Sekarang, Pak Tua sengit bertarung di mahkamah dunia. Pertahankan maruah keluarga yang sudah dicela. Tidak mahu dibilang dayus kelak hadapan Tuhan alam semesta. Buktikan bahawa tidak semua Me‘layu’ dapat dipijak dan dihina. Selagi tali Tuhan tersimpul kejab di jiwa, selagi selawat Nabi berselang kata dengan tutur bicara, pasti tiada suatu makhluk pun dapat mengganggu-gugat manusia yang bermakam hamba.

Tanggal 26 April 2010 ini perbicaraan disambung semula. Pertarungan antara hak dan batil semakin menggila. Pihak mereka sambil ketawa permainkan undang-undang negara. Di pihak Pak Tua pula dengan daya yang berbaki, terus berjuang menggunakan rul undang-undang yang masih tersisa. Dapatkah undang-undang yang ada membela nasib dan maruah anak bangsa? Atau hanya sekadar memerhati dengan pandangan bersahaja? Sama-samalah kita tunggu dan lihat bersulam dengan doa penuh kerendahan ke hadrat Tuhan yang maha Perkasa.

Pernah juga Pak Tua gagahkan kaki melangkah ke ibu kota, mencemar aib tunduk menghadap pihak berkuasa. Nawaitu Pak Tua tunggal, memohon supaya dapatlah kiranya mereka membela nasib maruah anak bangsa yang ternoda. Namun, apa yang Pak Tua terima adalah kehinaan dan celaan semata. Duhai betapa malang nasib menimpa, sudah jatuh ditimpa tangga.

Amatlah sedih dan pilu mengenangkannya, keluh Pak Tua. Di luar sana, mungkin ada yang senasib dengan Pak Tua dan pertolongan daripada semua amatlah didambakan untuk menjana satu ledakan bukti ketuanan kita. Buktikan kepada dunia bahawa jangan sesekali diinjaknya maruah kita. Maruah Melayu yang takkan hilang di dunia. Itulah yang tersirat pada lafaz Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melayu yang terbilang lagi perkasa.

Dari itu, hamba menyeru kepada semua pembela agama, nusa, dan bangsa supaya turun bersama pertahankan maruah si gadis serta Pak Tua sekeluarga yang sudah dijaja. Ayuh hulurkan sokongan moral kalian pada hari kes ini dibicara. Bertarikh 26 April 2010, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Berhampiran ia dengan Masjid Negara. Seawal jam 8 pagi seeloknya kita berjumpa. Laungkan kepada dunia bahawa umat Melayu yang beragama Islam ini masih bermaruah, masih berharga.

Sekali lagi, Ayuh! Pertahankan maruah kita, agama, dan anak bangsa. Setakat ini sahaja nukilan hamba.


-Demi masa! Manusia dalam kerugian, kecuali...

-Dan ingatlah...

-Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, tetapi kaum itu sendirilah yang akan mengubah nasib mereka...

-Oleh itu...

-Rebutlah lima masa, sebelum datangnya lima masa...

Amin.

Bernafas Kembali


Salam bersua kembali.

Alangkah. Sudah tiga bulan aku menyepi. Sudah 3 bulan blog ini sunyi. Aku pun tak pasti masih ada lagikah mata-mata yang sudi melilau-lilau di sini. Alangkah rindunya aku untuk kembali malakar semula karya 'picisan' aku di dada blog ini.

Dan sekarang, aku kembali. Walau aku tak tahu berapa lama pula dapat aku bertahan pada kali ini. Walaupun aku pasti tiada lagi mata-mata yang menatap karya picisan ini. Biarlah. Janji ia memuaskan keghairahan aku yang dah lama membungkam.

Permulaannya, baru kelmarin aku karangkan beberapa bait madah hatiku buat PERMAYA, sebuah persatuan pelajar yang tidak terhitung jasanya kepadaku semasa aku berada di perantauan dulu-dulu. Aku dedikasikannya bersempena penganjuran Malam Kesenian & Kebudayaan Islam Malaysia PERMAYA 2010. Sila klik di sini.


UKHUWAH PERJUANGAN

Perjuangan,
Ya, PERMAYA adalah sebuah perjuangan,
Perjuangkan nasib dan maruah,
Perjuangkan hikmah dan juga iman,
Seorang hamba di jalan Tuhan.

Bukan. Bukan seorang,
Bahkan berbilang jiwa,
Ratusan hadaf,
Ribuan rentak,
Yang pasti amat memenatkan,
Begitu menyukarkan.

Namun lihatlah,
Lihat bagaimana tabah dan kuatnya,
Betapa sabar dan gigihnya,
PERMAYA dan para pejuangnya,
Memikul amanah nusa bangsa,
Meneraju ukhuwah ajakkan agama.

Demi satu hadafan yang jauh,
Nun sejauh ufuk sana,
Walau likuan ujud pelbagai mehnah,
Yakin dan pasti hujungnya sinar cahaya,
Cahaya kemanisan ukhuwah Islamiyah.

Ironinya,
Sukar perjuangan terubat dek ukhuwah,
Perit likuan akan terlega,
Oleh kelazatan santapan ukhuwah.

Ayuh kawan,
Dengan sulaman pertalian Ilahi,
Serta zikir selawat Nabi,
Pertahankanlah ikatan ini,
Perkejabkanlah simpulan ini,
Perjuangkanlah kesatuan ini,
Walau jiwa terpaksa kita pertaruhi.

Sekian.

Gerhana di Tengah Kalimah ALLAH

Entri ini dipetik dari laman blog Faisal Tehrani


“...Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan
satu perkara yang besar salahnya!
Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan yang demikian
dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah,
serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap
kerana mereka mendakwa mengatakan:
(Allah) Ar-Rahman mempunyai anak..."

Surah Maryam: ayat 88-91


Pada hari Jumaat, 15hb Jan 2010 nanti, satu lagi kejadian gerhana matahari akan berlaku. Kali ini, ia merupakan Gerhana Matahari Cincin yang akan dapat dilihat di sepanjang laluan sejauh 300km yang merentasi benua Afrika, kemudian melalui Lautan Hindi di mana gerhana akan berada pada fasa paling lama iaitu 11 m 8 saat.

Untuk mengetahui kiraan waktu gerhana dari lokasi bandar-bandar utama di malaysia, sila klik di sini

Ijab & Qabul, Saatnya Syaitan Berhiba

Alfu wa alfu mabruk buat sahabatku, alories (Fifi)
Selamat diijab-kabulkan dengan pasangan pilihan hati

Gembiraku mengatasi hibanya si Syaitan yang menangis
Doaku ku tumpang bersama penghuni langit
Memohon kepada Tuhan Penakluk hati
Agar ikatan terus terpatri
Kekal berkasih hingga ke Raudhah Firdausi
Peroleh zuriat mengenal Ilahi
Menjadi pewaris perjuangan Nabi

Sulaman suka dan duka pantas diharungi
Ombak dan badai bisa direntasi
Musibah dan dugaan sabar dilalui
Kegembiraan dan kebahagiaan tahu disyukuri

Sahabat...
Secebis kalam ini yang mampu ku hadiahkan
Semoga Allah meredhai serta membarkahi kalian

"BAROKALLAHU LAKUMA"


- Salam tahniah daripada AKU & ISTERI

Kebobrokan Akhlak: Kian Membusuk

Salam 1 Malaysia.

Pagi tadi aku dapat SMS yang berbunyi:

"1 Malaysia.
Melayu, Cina, India,
sama-sama baju ketat, seluar ketat.

Semua sama.

Pakat dedah aurat.
Pakat bercampur jantan betina.


Hatiku berbisik sendiri, "Ini pasti SMS dari BUKAN penyokong kerajaan."

Kadang-kadang, ada betulnya juga SMS tersebut.

Justeru, apa tindakan kerajaan untuk men'sifar'kan gejala ini? Atau hanya ibubapa dan masyarakat yang harus bermatian membenterasnya dalam keadaan ledakan hiburan yang melampaui tiada batasnya? Harus begitukah? Dan...mampukah?

Tengok saja pada seragam sekolah (perempuan) sekarang, tidak perlu berteka-teki lagi apakah warna baju dalam atau coli mereka. Fahamkah maksudku? Maksudku adalah seragam mereka sekarang amat nipis. Bukankah hal demikian akan mengundang 'petaka' di kemudian hari? Kementerian Pelajaran tiada kuasakah dengan situasi ini? Menteri agama tidak pernah membuat pemantauankah di sekolah anak-anak yang bakal memimpin negara kita ini?

Itu baru sepotong dari sejuzuk kecelaruan yang berlaku. Bagaimana pula dengan sistem pendidikan kita? Siaran hiburan di kaca TV, radio, dan festival-festival yang dianjurkan di seluruh negara?

Argh!
Begitu memenatkan.

Sudahlah. Sekadar meluahkan apa yang membuak di hati, sebelum ia meletup. Fikir-fikirkanlah...demi generasi depan.


Di malam tahun baru 2010