SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


Rehlah Ukhuwah: Terima Kasih Buat Semua


Nota:

  • PERMAYA adalah singkatan Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
  • Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada gambar



Alhamdulillah, akhirnya apa yang dirancanakan dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat yang rela meluangkan waktu emas masing-masing demi untuk merealitikan program yang julung-julung kalinya ini. Demi atas nama sebuah kesatuan dan ukhuwah. Demi menjana hari depan generasi adik-adik. Dan demi untuk menjunjung amanah daripada generasi terdahulu. Ya, semoga ia terhasil.



“Ingat, generasi kita adalah dari usaha abang-abang terdahulu, dan generasi sekarang (adik-adik) adalah atas usaha kita yang memikul amanahnya...Itulah antara petikan motivasi daripada Ust. Fazali, mantan Presiden PERMAYA sewaktu sesi ucapan mantan-mantan presiden dilangsungkan.


Rehlah Ukhuwah; Mengimbau Memori Yaman ini telah disertai oleh 20 orang lepasan pelajar Yaman. Masing-masing mereka dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kuala Lumpur, dan Johor. Yang Perak dan KL datang dengan bas, yang Johor pula datang menaiki motosikal. Penuh mujahadah. Itulah contoh semangat dan kemahuan yang diperlukan untuk membina semula wahdatul fikr dalam membawa ruh perjuangan dan agenda dakwah masakini.



Kami berkumpul di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau nama komersilnya ‘Masjid Terapung’ di Kuala Ibai sebelum bertolak secara konvoi ke tapak perkhemahan pada jam 9.30 pagi. Konvoi ini melibatkan empat buah motosikal, tujuh buah kerata, dan dua pancuan empat roda.



Dalam perjalanan, kami terpaksa berhenti kira-kira lima belas minit akibat sekatan jalan raya oleh abang polis peronda. Mengikut telahan, kemungkinan sekatan itu diadakan untuk mencari motosikal yang hilang. Kami turut disoal-siasat. Tetapi pihak polis melayan kami dengan baik dan tidak mensyaki apa-apa terhadap kami. Namun begitu, sepucuk surat 'cinta' terpaksa juga dilayangkan kepada salah seorang daripada kami kerana tidak membawa roadtax motosikal milik abangnya.


Kami meneruskan perjalanan. Kawasan hutan Belukar Bukit kami jelajahi sudah hampir ke destinasi. Di satu selekoh sewaktu menuruni bukit, tiba-tiba sesuatu yang tidak diingini telah berlaku. Seorang daripada sahabat kami yang menunggang motosikal hilang kawalan disebabkan kelajuan menuruni bukit lalu terbabas, terseret ke kaki lima jalan, dan akhirnya melanggar penghadang di tepi jalan.



Aku yang betul-betul berada di belakangnya terus memberhentikan motosikal dan meluru ke arahnya untuk memberi bantuan yang perlu. Keadaannya tidak begitu parah, cuma mendapat sedikit luka kecil serta calar-calar di lengan dan kaki. Motosikalnya pula mengalami sedikit kerosakan, tetapi masih dapat berjalan dengan baik.


Kami sampai ke tapak perkhemahan kira-kira jam sebelas pagi. Terlewat dari jadual asal kerana beberapa mehnah di perjalanan. Setelah mengenal pasti tempat yang bersesuaian, kami terus memunggah barang. Memasang khemah dan juga bahagian dapur. Selesai semua, kami bersiap untuk solat Jumaat. Khatib pada hari tersebut ialah Ustaz Mohd Khalil. Selepas solat Jumaat, slot taaruf diadakan sementara menanti hidangan tengah hari daripada chef Syed Azwan.


Pada sebelah malamnya pula, bermula selepas solat Maghrib berjamaah, slot Bicara Malam yang disampaikan oleh Ustaz Haji Amin diadakan. Memandangkan beliau adalah lepasan pelajar Yaman yang baharu sahaja pulang ke tanah air, maka isi ucapan beliau berkisar seputar kehidupan di Bumi Iman dan Hikmah itu. Dalam ucapannya, beliau menyentuh perihal PERMAYA sendiri, usaha untuk mencari dana, masalah pelajar yang timbul, berkenaan pelajar muslimat, dan juga perancangan untuk menubuhkan alumni Yaman di Malaysia.


Setelah itu, moderator majlis Saudara Saifullah Hussin menjemput tiga orang mantan Presiden PERMAYA yang hadir pada rehlah kali ini untuk memberi ucapan ringkas. Masing-masing mantan presiden banyak mengutarakan pandangan dan juga cadangan.


Antaranya ialah sokongan kepada usaha menubuhkan alumni Yaman, mengharapkan agar program rehlah ini menjadi pencetus kepada perjumpaan di masa akan datang, membantu meringankan permasalahan yang dihadapi oleh sahabat-sahabat di Yaman, dan juga menjadi penghubung dalam mengeratkan ukhuwah antara lepasan Yaman. Akhirnya sebelum lelapkan mata, kami menjamu selera bermenukan nasi goreng, serta ayam dan ikan BBQ.



Hampir jam 5 pagi, kami bangun untuk memenuhi slot yang dijadualkan iaitu Zikir Alam (qiamullail). Selepas solat Subuh yang diimami oleh Ustaz Mad ABC, moderator majlis Ustaz Zulkhairi (mantan presiden) mempersilakan Ustaz Fazali bagi mengisi ruang Bicara Fajar.


Antara lain ucapannya, Ust. Fazali (mantan presiden) mengimbau kembali sejarah awal penubuhan PERMAYA. Betapa susah payah generasi terdahulu berjuang sehingga PERMAYA mendapat pengiktirafan oleh Kedutaan Besar Malaysia Yaman dan juga daripada institusi pengajian di republik tersebut.



Beliau juga menegaskan agar ditingkatkan lagi kualiti ke arah yang lebih global dengan penubuhan alumni Yaman seberapa segera. Antaranya lagi, beliau menyeru agar kita melebar-luaskan lagi networking dengan melibatkan diri dengan gerakan dakwah Islamiyah di bumi Malaysia.



Kepada lepasan Yaman dari akhowat, maaf kerana program ini tidak melibatkan kalian, kerana tempat tersebut tidak sesuai untuk kaum hawa bermalam. Insya-Allah akan diadakan perjumpaan susulan pada bulan Jun nanti. Waktu itu, kami turut menjemput sahabiah-sahabiah semua.


Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan perjumpaan sulung ini. Kepada Syed Azwan (mantan presiden) dan awak-awaknya, juga rakan-rakan Al-Watary Geng yang menjadi penggerak program rehlah ini. Kepada para pen-sponsor kita. Serta kepada semua peserta yang datang dari dalam dan luar Terengganu.



Satukan fikrah Islamiyyah kita,


Dengannya akan terbina jalinan persahabatan,


Dengan persahabatan akan lahirlah ukhuwah,


Dengan ukhuwah akan terbina kesatuan,


Justeru, pasti akan tergeraklah agenda dakwah,


‘Islahnafsak, wad’u ghairak’.






































HEBAHAN: Rehlah Ukhuwah


- Berita ini disalin terus dari Warta PERMAYA Online




Design banner oleh aloriesFifi


“Kenapa tidak kita buat satu perjumpaan budak-budak lepasan Yaman?”

“Kan dah ramai pelajar kita yang sudah pulang ke Malaysia.”

“Molek jugak tu, nanti dapat kita rapatkan semula ukhuwah sesama pelajar Yaman.”

“Boleh kita kembalikan nostalgia semasa di Yaman dahulu.”


Di atas ini adalah antara dialog awal yang keluar dari pandangan sahabat-sahabat kita lepasan pelajar Yaman yang telah berada di bumi Malaysia. Dari perbincangan ringkas yang santai-santai inilah tercetusnya idea untuk mengumpulkan para lepasan Yaman di dalam satu program.

“Kita buat rehlah.” Cadang Syam via SMS kepada kami. Waktu itu, dia berada di Kedah.

Setelah berbincang dengan beberapa orang yang secara tidak langsung bertindak sebagai urusetia, akhirnya kami membuat keputusan untuk menganjurkan rehlah lepasan pelajar Yaman. Namun sayang sekali, Syamsul Musa yang mencadangkan idea rehlah ini tidak sempat bersama kami. Dia telah kembali. Kembali ke Bumi Iman dan Hikmah untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai di sana.

Tapi baru-baru ini khabarnya dia sudah dipinang orang, nampaknya sejuzuk dari perjuangannya itu sudah pun terlangsai. Namun, masih banyak lagi yang akan diharunginya. Didoakan agar Syam bersama kawan-kawan yang lain dikuatkan semangat dalam perjuangan meraih ilmu yang diredhai Allah Taala.

Tinggalkan dulu sejenak mereka di bumi Yaman dengan agenda mereka. Sekarang kita kembali balik ke tanah air Malaysia tercinta ini.

Rehlah yang dirangka itu akan diadakan di Kuala Berang, Terengganu. Satu kawasan air terjun yang dipanggil Belukar Bukit. Tempat tersebut masih lagi ori flora dan faunanya.

“Mencabar juga ye tempat ni.” Kata salah seorang daripada kami semasa pergi meninjau kawasan tersebut. Yang dimaksudkan dengan mencabar itu adalah kerana pemandu kereta mestilah mempunyai kecekapan mengelak tompok-tompok tahi lembu yang merata-rata di jalan.

Program yang kami namakan ‘Rehlah Ukhuwah; mengimbau memori Yaman’ ini insya-Allah akan diadakan pada 24 & 25 April ini (Jumaat & Sabtu). Bertempat di Belukar Bukit, Kuala Berang. Masing-masing peserta dikehendaki berkumpul pada jam lapan pagi Jumaat di Masjid Rusila. Dari situ, kita akan konvoi bersama-sama ke tapak perkelahan.

Rehlah ini terbuka kepada semua lepasan Yaman (Muslimin sahaja) tanpa membatasi sama ada mereka adalah bekas ahli PERMAYA ataupun sebaliknya. Sebagaimana juga ukhuwah yang sama-sama kita bina di Yaman suatu ketika dahulu, tiada jurang ataupun benteng yang memisahkan antara kita.

Antara mantan pimpinan tertinggi PERMAYA yang sudah bersetuju menghadirkan diri ialah Ust. Fazali, Ust. Pok Nik, Ust. Syed Norhisyam, Ust. Syed Azwan, Ust. Zulkhairi, Ust. Wan Nubli, Ust. Mazlan Nawi, Ust. Haji Amin, Ust. Azuri, dan Ust. Mad ABC.

Kepada mereka yang membaca tulisan ini diharap supaya tolong menghebahkannya kepada sahabat-sahabat kita yang lain. Kami juga sangat berharap agar rehlah ini akan dapat mengumpulkan seramai mungkin lepasan pelajar Yaman demi untuk mengejabkan lagi ikatan ukhuwah yang sama-sama kita simpulkan sewaktu di Republik Yaman dahulu.

Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi:
  • Syed Ahmad : 014 8234 783
  • Syed Azwan : 014 8040 975

"Ukhuwah Manifestasi Keutuhan Ummah"

PRK 7 April 2009: Restu Tuhan



Ya, rakyat tidak sekali-kali merestuinya
Tuhan, restuilah kemenangan marhaen ini.



Kempen PRK, 7 April '09: Munajat

(PERAK)

Wahai Tuhan seru sekalian alam. Limpah syukur kepada-Mu kami panjatkan.
Wahai N
abi ikutan sepanjang zaman. Salam-selawat buatmu kami persembahkan.


(KEDAH)


Ya Allah!

Kurniakanlah kemenangan kepada perjuangan Islam
Sungkurkanlah para penderhaka agama itu dengan kekuasaan-Mu
Kami lemah ya Allah, lemah dengan segala kebesaran-Mu
Tiada daya bagi kami ya Allah, melainkan dengan iradat-Mu
Berikanlah kekuatan kepada kami buat melawan musuh-Mu
Campakkanlah ruh Badar ke dalam
jiwa-jiwa kami
Jadikanlah ruh Ahzab sebagai kekuatan kepada perjuangan kami


(SARAWAK)


Ya Allah!

Kami bersujud kepada-Mu menyembah rayuan ini
Sesungguhnya kami ingin melestarikan ajaran agama-Mu
Turunkanlah tentera langit-Mu
sebagaimana mereka menggempur Medan Badar

Sebagai pengajaran kepada penderhaka agama-Mu yang maha angkuh
Ya, mereka begitu durjana membikin angkara

Dan kami...kami berlindung dengan-Mu ya Tuhan

Sesungguhnya tidak sesekali kami rela
diri kami menyembah derhaka kepada-Mu


Kempen PRK, 7 April '09: Inikah Demokrasi


Salam blogawan.


Alhamdulillah, sudah lama terniat di hatiku untuk turut menjenguk perang demokrasi di Perak. Tetapi ada saja penghalangnya. Namun pagi tadi, waktu panaskan enjin motosikal di bawah garaj rumah, abangku datang menghampiri dan memberitahu yang kawannya mengajakku ke Perak, esok. Wah, gembira tidak terkata.

Setakat ke pilihanraya kecil yang penuh najis demokrasi itu pun gembirakah? Ya, aku gembira. Kerana aku percaya dan mengimani bahawa itulah antara jalannya untuk menegakkan apa yang baik, dan mencegah apa yang buruk.

Di Perak, pertembungan demokrasinya kepada tiga penjuru. Pasti antara tiga penjuru tersebut ada yang menepati keimananku itu. Dan, kehadiranku nanti tidak lebih sebagai sokongan. Tanda cakna kepada sebuah perjuangan melawan kebatilan. Itu adalah saham kepada dunia akhiratku kelak. Semoga, ya Tuhan.
_____________________________________________________


Demokrasi sudah parah,
Demokrasi sudah punah,
Demokrasi tidak terarah,
Mengekang suara,
Manipulasikan cara,
Demokrasi sudah kian bernanah,
Mencabul hak empunya ummah.

Inikah dia hukum demokrasi?
Membelenggu langkah harakah Islami,
Menekup mulut penyuara keadilan,
Mematah gerak pencak pejuang,
Mengingkari suruhan agama Tuhan,
Meredahi undang-undang mereka ciptakan,
Mendurhakai titah baginda sultan.

Inikah dia iman demokrasi?
Membuka pintu gerbang kepincangan,
Membawa umat ke jurang kecapikan,
Membiar pendusta bagai sang raja,
Membuat onar sesuka rasa,
Persis negara mereka yang punya.

Inikah dia rukun demokrasi?
Siapa membantah bisa binasa,
Tujuh keturunan akan sengsara,
Dihumban kejam ke dalam penjara,
Dikurung zalim tanpa bicara.

Inikah dia azab demokrasi?
Pabila rakyat bangkit bersuara,
Katanya, hak asasi harus terbela,
Dan milik rakyat usah disita,
Mereka pula mula berangkara,
Si kepala merah sedia beraksi,
Si otak loceng setia menanti,
Air gatal dan gas pemedih mata,
Perisai keras dan pemukul cota,
Pistol di sisip, senapang dibawa,
Sebagai senjata melawan mereka,
Rakyat marhaen yang tidak terdaya.

Inikah dia rupa demokrasi?
Manis di bibir, kelat di jiwa,
Cantik di mata, hodoh dirasa,
Wangi dihidu, busuk di hati,
Baik di luar, jahat di dalam,
Perkataannya adil, perlakuannya zalim,
Maha zalim.

Inikah dia demokrasi?
Atau, demo kasi?
Untuk juadah ratahan kroni,
Dan santapan duniawi,
Buat anak dan juga bini.


- Antusufi, 240309 / 14:18.