29 Ogos 2007, 9 pagi.
Malam tadi cuaca agak mendung. Dari Maghrib lagi langit udah kelihatan gelap. Tiada sinar rembulan. Malah, kelibat bulan pun tidak kelihatan. Menyorok diam di balik awan likat kehitaman. Hanya sesekali menjengahkan diri. Bintang-bintang juga tidak menjelmakan kerdipan indahnya. Malam tadi hanya awan hitam likat yang menguasai segala perhiasan langit.
Malam tadi, seusai saja solat sunat gerhana bulan berjemaah di masjid, Tok Khatib melangkah naik ke mimbar. Bersedia untuk membaca teks khutbah gerhana bulan yang disediakan. Jemaah tak ramai yang datang. Bebudak tadika kemas pun mampu mengira jumlahnya.
Malam tadi sekali lagi Tuhan menunjukkan kekuasaan-Nya. Demikian ucap Khatib. Gerhana bulanlah sebagai ayat-Nya. Justeru, kita selaku manusia harus berfikir seketika. Adakah kejadian alam itu mempunyai kaitan ataupun tidak dengan Sang Pencipta. Sebetulnya itulah tugas kita. Bukan hanya mendengar dengan mata yang pekak membuta.
Malam tadi menceritakan bahawa tiada kekuasaan yang dapat membatasi mahu Tuhan. Tidak bulan. Tidak matahari. Tidak juga segala isi alam. Termasuklah makhluk kerdil bernama manusia.
Malam tadi mengkhabarkan seandainya bulan yang hebat itu tidak mengikut peraturan-Nya, maka akan malaplah sinarnya. Si matahari yang pernah diagungkan sebagai tuhan itu pula sekiranya ingkar dengan fitrah dan hukum yang telah ditetapkan, akan tawarlah sengatan baranya.
Malam tadi seolah terdetik sesuatu; Bagaimanakah pula dengan manusia? Dapatkah kudrat manusia menandingi kilauan bulan menyuluh malam hari? Mampukah manusia melebihi kehebatan si matahari membakar keringat bumi? Itu kalam Tuhan. Menanyakan fikiran hamba-Nya manusia.
Malam tadi juga ada Pak Khatib bacakan serangkap ayat dari Kitab Suci. Sesungguhnya pada penciptaan petala langit dan lapisan bumi, serta silih pergantian malam dan siang itu terdapat tanda-tanda bagi mereka yang akur berfikir. Lupa pula aku ayat tersebut dipetik dari surah mana. Berfikir. Ulul albab bunyinya kalau diikutkan kamus kerajaan bestari Darul Iman kini. Berfikirlah.
Malam tadi akhirnya tercurah juga deraian hujan yang sedari Maghrib lagi memberati awan ketika jam hampir pukul 10 malam. Banyak sudah ‘tanda’ diturunkan. Disaksikan Tuhan di hadap kita. Masih belum mahu kamu berfikir wahai ulul albab?! Salam sufi...
Ehemm:
: Lokasi masjid terpaksa dirahsiakan atas sebab keselamatan :)