Salam sejahtera dan selamat bersua kembali kita dalam Celoteh Kami. Kepada Allah, Tuhan petala langit dan lapisan bumi jualah dipulangkan segala kesyukuran yang selayaknya. Sekaligus itu dipersembahkan juga salam luhur buat Muhammad, Utusan-Nya.
Gamitan gelombang biru telah pun dipenuhi. Tiga daripada ahli mesyuarat tingkap Geng aLwatary sudah berada di tanah Darul Iman kini. Termasuklah aku. Dua lagi ialah Man dan Usop. Tak beberapa minggu dari sekarang, insya-Allah dua orang lagi akan berangkat pulang. Tinggallah hanya dua orang di teratak aLwatary jauh di Yaman sana terkontang-kanting. Bagai hilang saudara. Bak kesepian melanda.
Jangan sedey-sedey ekk. Tak mengapa, sekutu-sekutu kita masih sudi mendampingi korang berdua. Bilal, Izo, N The Geng masih ada. Apit N The Old Sana’a School masih siaga. Pasakkan lagi ukhuwwah itu ya. Jangan dileka.
Inilah Celoteh Kami pertama selepas kepulangan aku ke bumi Hadhari yang pesat membangun ini. Oh Malaysiaku tercinta. Wah! Memang dah banyak berubah. Aku sendiri pun sampai dah terlepas pandang rumah sendiri waktu first time tiba sebulan lepas.
Kalo nak shopping lak dah tak perlu susah-susah naik bas. Jalan kaki saja dari rumah boleh sampai ke Mydin Mall dalam masa tak lebih dari 10 minit. Lagi syoknya, dapat pula mencuci mata. Balik dari Mydin Mall tu, duit licin, mata pun bersih. Tapi hati makin berdaki. Iman kian berkarat. Payah sekarang kan? Nak elak sangat pun, serasa macam rugi lak, hehehe. Eh, korang paham tak ni?
Dah la tu. Buat-buat lupa sahaja pada dunia penuh haru-biru likat itu. Bikin kita mual je nanti. Aku pun dah naik loya nak sembang pasal dunia yang monsunnya tak juga berubah. Cuacanya tetap tidak berganjak. Jom kita ke dunia lain pula:)
Dunia yang dimaksudkan ialah dunia samudera terbentang. Deru gelombang biru menghempas lautan sejauh ufuk mengaki langit. Tersimpan di perutnya sejuta khazanah keagungan Tuhan Pencipta.
Hari Isnin baru-baru ini. Tanggal 20 Ogos 2007. Tengah hari itu kami menghadiri jemputan walimah si Budak Gemok. Empat buah kereta bertolak dari Terengganu. Sebuah lagi dari Kelantan. Masing-masing menuju ke rumah saudara Nub, si Budak Gemok di Kg. Padang Luas, Jerteh, Terengganu. Seronok. Majlis meriah. Diorang sempat berposing tangkap gambar lagi bersama pengantin. Aku ketinggalan kerana duk lepak kat surau waktu tu dengan Zamir dan Afifi. Ceh…rugi!
Budak Gemok begitu berseri. Wajahnya ceria. Senyumannya manis, kekadang berbaur sinis. Dipadankan pulak dengan sepasang baju Melayu berwarna putih membalut diri. Anggun, bergaya, dan segak sekali. Terima kasih banyak-banyak ye Nub…meluangkan masa layani karenah ‘gila-gila’ kami. Moga kalian berdua kekal abadi hingga ke taman firdausi. Itulah doa, hadiah tulus daripada kami. Sori ya, present tak sempat kami nak beli :)
Okey, habis kisah si Budak Gemok. Usah kita kacau dia dulu. Biarkan dia dengan labu-labunya. Ops, bukan…biarkan dia dengan mempelai kalbunya.
“Kali nie kami bagi can…pelan-pelan noo…hikhikhik”.
Petang itu kami dah aturkan satu program. Kumpulkan bebudak Yaman kat Malaysia ni. Penyertaan ramai, hingga berpuluh orang. Namun yang datang hanya 15 orang. 18 orang kalau termasuk penganjur. Yang lain semua tarik diri kerana kerja hari-hari sering membungkam diri. Aku, man, dan Usop mewakili aLwatary Geng selaku penganjur pada program tersebut. Program candat sotong.
Balik dari rumah Budak Gemok, kami terus berkejar ke pelabuhan Chendering, Terengganu. Dari situlah kami akan bertolak menaiki sebuah bot nelayan milik abang salah seorang daripada kami, Kori. Dia dan abangnyalah yang menjadi jeragan kapal pada hari itu.
Kami bertolak ketika waktu menunjukkan kira-kira hampir jam tujuh petang. Terlebih dahulu doa pelayaran dibaca yang diketuai oleh saudara Juzlan Mohamed. Dan tak lupa, pil tahan mabuk laut dibahagi-bahagikan kepada setiap peserta. Tapi agak terlewat, kerana pil itu sepatutnya dihadam sejam-dua sebelum pelayaran.
Hari sudah pun gelap. Angin sedikit kencang. Ombak pula agak kasar. Memukul-mukul bot kami. Menghuyung-hayangkan jasad bot. membuatkan sesetengah daripada kami semakin tak keruan. Fening-fening lalat sudah pun terasa. Ada juga yang dah tergolek semasa mahu berjalan. Banyak juga aksi menggelikan urat perut dapat disaksi.
Sebelum apa-apa aktiviti lainnya, masing-masing menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu. Ada juga yang terus menjamakkan Isyak dan Maghrib. Aku sendiri turut solat jamak. Solat pula sambil duduk. Kalau berdiri, terguling-batinglah jawabnya. Peserta masing-masing datang dari KL, Perak, Kelantan, dan Terengganu sendiri. Memang syok gile dapat berprogram ramai-ramai camtu. Kepada Geng aLwatary dan sekutu-sekutunya, rugi woo korang tak join, hehehe.
Sauh dah dilabuhkan berhampiran Pulau Kapas. Sebaik saja selesai solat, satu per satu candat dilepaskan. Bersinar-sinar di dalam air menggoda si sotong berjanggut panjang bertulang satu itu.
Sejurus kemudian, Hasbullah dengan wajah penuh keriangan bersadur sedikit keangkuhan telah berjaya menaikkan sotong pertama. Sengehannya penuh keriakkan. Dia telah berjaya merebut tempat pemenang kategori ‘sape dapat sotong paling awal’. Mungkin sotong tu tersesat. Kerana selepas itu sudah tak ada lagi sotong dapat dinaikkan. Terpaksalah pula Pak Jeragan menganjakkan bot kira-kira 1km ke hadapan.
Keadaan menjadi hingar. Riuh rendah. Rupanya seorang lagi peserta berjaya merangkul tempat pemenang. Kali ini pada kategori ‘mabuk laut’ pula. Sesiapa yang muntah paling awal ditabalkan sebagai pemenang. Pemenangnya dari Kijal. Nama manja skemanya ialah Zul. Geng aLwatary pasti mengenalinya.
Hmm, dah tersangat panjang pula celoteh kali ni kan. Sori la kalau korang boring dan naik jemu untuk menghabiskannya.
Lepas tu ramai la yang muntah-muntah. Cam orang baru-baru mengandung pulak tingkahnya. Semua dah terbaring. Dah tak larat nak bangun. Hidangan makan malam pun mereka dah tak endah. Jeling pun tidak. Tinggal aku, Man, Usop, Kimie, Juzlan, Cikku, dan Pizo saja yang mampu bertahan sehingga pulang ke pelabuhan keesokkan harinya.
Malam tu banyak sotong dinaikkan. Menu makan malam kami ialah nasi goreng sotong. Man yang jadi chefnya. Sarapan pagi pada esoknya pun sama. Malam itu aku tidur jam 2 pagi. Lena hingga ke Subuh. Keadaan cuaca dah semakin tenang. Dah tak ada awan-awan hitam menyelimuti langit. Bulan Syaaban yang separuh penuh tu pun udah menjelmakan diri. Anak-anak ikan sesekali melompat riang bermain di permukaan air. Man dan Kori masih belum tidur waktu tu. Yang lain awal-awal lagi dah diulit mimpi. Geng mabuk tu usah cerita la, siang-siang lagi dah out.
Pagi keesokkan hari pula, sempat juga kami mengail ikan. Setengah bakul ikan kerisi dapat dijinakkan. Cukup la tu buat pelepas gian. Kepuasan begitu terasa.
Jam 9 pagi sauh dinaikkan. Enjin dihidupkan. Bot mula bergerak pulang. Wajah-wajah mangsa mabuk laut tidak tergambarkan. Begitu ceria. Seronok tak terkata. Mungkin dah tak sabar-sabar mahu pijak daratan. Di situ barangkali ghairah mereka tertanam.
Jam 10 pagi kami selamat tiba di pelabuhan Chendering. Wida’ dengan Pak Jeragan, langsung terus ke rumah rehat yang telah pihak penganjur sediakan. Mandi serta siapkan diri. Sotong yang setengah guni beras 50kg itu kami agih-agihkan macam harta ghanimah sesudah perang.
Lepas makan tengah hari di warung Lempeng, pekena menu special air tuak aiskrim dan ikan keli selera kampong, kami mula gerak. Berpecah pulang ke halaman masing-masing.
Berbanyak terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi datang jauh-jauh bagi menjayakan program ini. Walau terpaksa menghanguskan RM30 sebagai pendaftaran. Nampaknya ukhuwwah masih berpadu antara kita. Pelajar senior dan junior dari Yaman. Inilah tugas kita. Memupuk semangat ukhuwwah umat. Bukankah telah kita sepakati bahawa dengan kesatuan ukhuwwah itu akan menghasilkan kejituan ummah? Perkasakanlah ia. Hingga ketemu lagi.
- anTusufi
Ehem: Maaf..entri nie terlewat di-publish-kan kerana duk tunggu gambar yang tak muncul² lagik...alaaahaaaiii
:Gambar di masa program belum lagi dapat disiarkan kerana sedikit kesilapan teknikal...ataupun juru foto kami masih kemabukkan Laut Cina Selatan :)
29 Ogos 2007, 9 pagi.
Malam tadi cuaca agak mendung. Dari Maghrib lagi langit udah kelihatan gelap. Tiada sinar rembulan. Malah, kelibat bulan pun tidak kelihatan. Menyorok diam di balik awan likat kehitaman. Hanya sesekali menjengahkan diri. Bintang-bintang juga tidak menjelmakan kerdipan indahnya. Malam tadi hanya awan hitam likat yang menguasai segala perhiasan langit. 
Malam tadi, seusai saja solat sunat gerhana bulan berjemaah di masjid, Tok Khatib melangkah naik ke mimbar. Bersedia untuk membaca teks khutbah gerhana bulan yang disediakan. Jemaah tak ramai yang datang. Bebudak tadika kemas pun mampu mengira jumlahnya.
Malam tadi sekali lagi Tuhan menunjukkan kekuasaan-Nya. Demikian ucap Khatib. Gerhana bulanlah sebagai ayat-Nya. Justeru, kita selaku manusia harus berfikir seketika. Adakah kejadian alam itu mempunyai kaitan ataupun tidak dengan Sang Pencipta. Sebetulnya itulah tugas kita. Bukan hanya mendengar dengan mata yang pekak membuta.
Malam tadi menceritakan bahawa tiada kekuasaan yang dapat membatasi mahu Tuhan. Tidak bulan. Tidak matahari. Tidak juga segala isi alam. Termasuklah makhluk kerdil bernama manusia.
Malam tadi mengkhabarkan seandainya bulan yang hebat itu tidak mengikut peraturan-Nya, maka akan malaplah sinarnya. Si matahari yang pernah diagungkan sebagai tuhan itu pula sekiranya ingkar dengan fitrah dan hukum yang telah ditetapkan, akan tawarlah sengatan baranya.
Malam tadi seolah terdetik sesuatu; Bagaimanakah pula dengan manusia? Dapatkah kudrat manusia menandingi kilauan bulan menyuluh malam hari? Mampukah manusia melebihi kehebatan si matahari membakar keringat bumi? Itu kalam Tuhan. Menanyakan fikiran hamba-Nya manusia.
Malam tadi juga ada Pak Khatib bacakan serangkap ayat dari Kitab Suci. Sesungguhnya pada penciptaan petala langit dan lapisan bumi, serta silih pergantian malam dan siang itu terdapat tanda-tanda bagi mereka yang akur berfikir. Lupa pula aku ayat tersebut dipetik dari surah mana. Berfikir. Ulul albab bunyinya kalau diikutkan kamus kerajaan bestari Darul Iman kini. Berfikirlah.
Malam tadi akhirnya tercurah juga deraian hujan yang sedari Maghrib lagi memberati awan ketika jam hampir pukul 10 malam. Banyak sudah ‘tanda’ diturunkan. Disaksikan Tuhan di hadap kita. Masih belum mahu kamu berfikir wahai ulul albab?! Salam sufi...
Ehemm:
: Lokasi masjid terpaksa dirahsiakan atas sebab keselamatan :)
kan dalam kamar aLwatary ini. Terima kasih banyak-banyak. Memang dah lama kami nantikan saat ini. Kat bawah sebelah kanan tu dah kami link atas nama Rahsia Mukjizat Nabi, di bawah group link ‘Geng Yaman’.Kelihatan Saudara Faisal Tehrani sedang menerima cenderahati daripada Puan Ainon bagi pihak PTS Millennia selepas program Bengkel Novel Islami (gambar paling bawah).
Terima kasih buat Abang Fauzul dan PTS kerana mengadakan bengkel tersebut. Nampaknya, rata-rata peserta berpuas hati dan segar setelah semangat di-tajdid :)
Ehemm:
: Kepada sesiapa yang tak bawa kamera pada hari tu, sila jangan segan-segan untuk mengambil gambar di atas :)
: Sori, gambar kureng memuaskan
Ehemm:
: Majlis berlangsung tanggal 20 Ogos ini di rumah pengantin lelaki...jangan lupa bawa jalur gemilang bersama :)
: Untuk melihat kad walimah dengan lebih besar dan jelas, sila klik pada image kad tersebut
- anTusufi Posted by GuwaSufi
Sebenarnya, masa sangat tidak mengizinkan. Ruang serasa begitu sempit. Hingga hala jadi sedikit kurang menentu. Dengan kesibukan (?) karenah seharian. Dikalutkan lagi dengan tugas-tugas persatuan. Sebetulnya, idea semacam malu-malu untuk singgah ke kotak minda. Ada pula bisik-bisik mengatakan kami jer yang buat-buat sibuk. Kerja tak setara mana pun.
“Hmm, entah la. Memang camtu lagak dunia kan?”.
Tepikan aja soal tu. Malas nak kami hiraukan benda yang tiada berpenghujung. Janji amanah terpikul kami laksanakan sekadar apa yang ada. Mengikut kudrat yang seizin. Dan Alhamdulillah, walaupun agak perlahan, dapat juga kami mencelah kesempatan untuk bersama korang. Meng-update kamar maya ini. Bersama korang dalam perjuangan siber ini.
‘Gamitan Gelombang Biru’. Itulah inti yang mahu aku celotehkan pada kali nie. Apa la agaknya yang tersirat dalam tajuk tu yer.
Tiada pape pun sebenarnya. Pada musim soifi (panas) tak lama lagi, sebahagian besar daripada geng kami akan berangkat pulang ke tanah air. Balik bercuti. Ambik sepoi bayu Laut Cina Selatan. Cutinya panjang. Mulai bulan Ogos sampailah penghujung bulan Oktober. Kiranya, selepas sambutan Aidilfitrilah baru kembali semula ke bumi Yaman ini.
Aku, Man, Bun, Budin, Hadi, & Usop yang akan pulang. Man ngan Usop hanya pulang bercuti. Bun, Budin, dan Hadi pula akan pulang terus. Kerna telah pun menghabiskan pengajian Ijazah. Tapi mungkin diorang akan pulang agak lewat, dalam bulan 9 atau 10 gitu. Sebab perlu dibereskan urusan syahadah (sijil) terlebih dahulu. Aku pula akan pulang pada bulan tujuh ini jugak.
Diorang yang akan pulang terus tu didoakan agar dibukakan jalan dalam meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa, serta bahasa di tanah air tercinta.
“Jangan lupa, carik calon suri rumah dulu bila dah tiba kat Malaysia tu yer...ehehe”.
Kaitan dengan istilah ‘Gelombang Biru’ tu pulak untuk menyatakan bahawa kami yang akan pulang nie semuanya anak jati negeri Darul Iman. Negeri tersebut kan pernah di suatu waktu dulu sohor dengan jolokkan begitu :)
Korang tolong-tolonglah doakan sepatah-dua kepada kami agar terus istiqamah di jalan perjuangan ini. Sama ada di dunia nyata, mahupun di alam maya. Gusar sebenarnya. Kerna perjuangan hakiki kayak itu khabarnya tak terjangka penangannya. Juga tidak terduga ujiannya.
“Allahumma thabbit quluubana ‘ala diinik wa ‘ala to’atik”.
Wahai Tuhan, tetapkanlah hati-hati kami di atas paksi agama-Mu dan juga di atas ketaatan kepada-Mu. – PieKunto
By: anTusufi
Suria pagi sudah pun memancar. Kicauan burung riang berterbangan. Bebas. Diikuti pula desiran daunan dihembus angin. Bergemersik. Mengukir satu alunan irama yang mengasyikkan.
Jauh di sudut bangunan bilik kuliah berhampiran sakan siswi tercegat sesusuk tubuh mengadap pintu seolah menunggu sesuatu. Raut wajahnya seakan gelisah bak gelisahnya seorang suami menanti isteri di hadapan bilik bersalin. Namun begitu, wajahnya masih lagi mencerminkan keayuan dan ke‘cun’annya.
Gadis berjubah maroon dengan mengenakan tudung labuh berwarna pink itu mengalihkan pandangannya tepat ke arah jam berjenama Crystal Dell di lengan buat kesekian kalinya. Begitu cepat baginya waktu berlalu di saat itu. Nampaknya terbatallah ‘project’ untuk bertemu seseorang di internet sebentar lagi.
Walaupun dah acap kali diketuknya papan pintu yang tertera ‘Unit Tatatertib’ di depannya itu, tetapi masih lagi tiada jawapan. Membuatkan degup jantungnya semakin kencang.
“Kenapa Unit Tatatertib panggil aku. Apa dah aku buat. Siapa pulak yang pandai-pandai buat laporan?”. Semakin difikirkannya, membuatkan dia semakin gelisah dan berdebar-debar.
“Haa...dah lama tunggu? Maaf, saya ke hammam sekejap. Meh ikut saya ke dalam”.
Bertaburan habis segala lamunannya dek suara mengejut itu. “Hamlau betul la ustazah ni. Kalau yer pun..bagi la salam ke, apa ke. Dah lah suara sebiji macam guruh malam tadi. Buat orang terkejut beruk je”. Ngomel hatinya sambil melangkah masuk membuntuti lenggok Timbalan Pengarah Unit Tatatertib itu.
“Ijlisi. Awak Halimah kan..junior yang baru datang bersama rombongan students dua bulan lalu ke sini?. Saya tengok laporan akademik awak amat memuaskan masa di maahad dulu. Syahadah Thanawi pun awak dapat mumtaz. Saya dengar awak dapat masuk kuliah Syariah wa Qonun..betul ke?”. Halimah cuma mengangguk. Di benaknya masih lagi bercelaru dengan bermacam-macam persoalan.
“Hmm..elok la tu. Pandai-pandai la bawak diri”. Ustazah menyambung lagi percakapannya.
“Awak tahu kenapa saya panggil awak kemari?”. Suasana sepi sejenak.
“Kenapa awak geleng? Ni bilik tatatertib. Setiap pelajar yang dipanggil ke sini mesti ada melakukan kesalahan tatatertib. Awak tak tahu ke yang awak ada lakukan kesalahan? Ataupun bagi awak apa yang telah awak lakukan tu adalah perkara biasa hinggakan awak merasakan ianya bukan satu kesalahan lagi?”. Bertalu-talu soalan dilemparkan. Membuatkan fikiran Halimah semakin berkecamuk. Dia masih diam seribu bahasa. Pandangannya ditundukkan ke bawah sambil jari-jemarinya bermain sesama sendiri.
“Isy...macamana aku nak jawab ni”. Detik hatinya.
“Angkat kepala awak tu. Tengok sini. Pandang mata saya ni”. Halimah tak tahu nak kata apa lagi. Terus ditenung anak mata ustazah sedalamnya.
Dengan lembut dan slow talk ustazah meneruskan kalamnya. “Halimah...”. Dia diam seketika dan menyambung lagi, “saya dapat laporan yang awak ada jalinkan hubungan dengan salah seorang syabab kat sini. Ada orang bagitau kat saya yang awak sering berhubung dengan dia melalui internet. Malahan hingga kadang-kadang tu awak buat date untuk bertemu dia. Dia juga dah berkali-kali call awak kat rumah. Apa komen awak tentang apa yang saya katakan ni?”.
Soalan daripada ustazah sekejap tadi membuatkan Halimah buntu untuk mencari jawapan yang tepat. Lidah dia kelu. Tak tahu apa yang patut dijawabnya kerana apa yang dikatakan oleh ustazah itu semuanya benar. Dia tak sangka akan dihujani soalan sebegitu. Dia ingat hubungannya dengan syabab tersebut hanya rahsia mereka berdua. Malangnya tidak. Jangkaannya meleset. Perkara itu rupanya sudah menjadi ‘rahsia’ umum.
Suasana bilik berhawa dingin itu sunyi. Tiada sepatah pun jawapan daripada Halimah. Hanya detik jam di meja yang kedengaran.
“Tak mengapalah kalau awak tak nak jawab pun. Saya tak perlukan jawapan daripada awak. Pada mulanya saya tak percaya jugak dengan laporan yang saya terima tu. Tapi baru-baru ni, saya sendiri yang nampak awak chat ngan dia kat cyber cafe. Siap bertukar-tukar webcam lagi. Hensem jugak syabab tu ekk. Patut la khusyuk semacam jer awak waktu tu, sampai tak sedar saya melintas kat belakang”. Ustazah tersenyum sinis.
Halimah tambah terkejut. Pipinya naik merah. Malu. “Macam mana aku boleh tak sedar. Aiseeymen...abih la aku kali ni”. Fikirnya.
“Awak baru kenal dia kat sini ke? Amboi...cepatnya awak dapat kenalan. Baru je dua bulan duk sini. Anyway...bukan perkenalan itu yang ingin saya bincangkan pagi ni. Saya tak halang awak nak kawan dengan sesiapa pun. Syabab tu ok jer saya tengok. Laporan kelakuannya pun tak ada yang buruk”. Hati Halimah sedikit lega.
“Cumanya apa yang ingin saya katakan kat awak ialah cara awak tu tak betul. Mungkin awak berniat baik. Tapi matlamat tak halalkan cara. Kita ni orang belajar agama. Tindakan kita pun kenalah mengikut lunas agama. Kalau kita sama jer macam mereka yang tak belajar agama...di mana bezanya kita dengan mereka? Apa guna mai belajar jauh-jauh. Buat apa keluarga di kampung berpenat lelah menanggung kita di sini. Pergaulan mesti ada batasannya. Lebih-lebih lagi dengan lelaki. Dengan tunang sendiri pun masih ada lagi garis panduan dalam pergaulan. Rasulullah ada berpesan, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia keluar dengan seseorang perempuan tanpa ada mahram bersamanya. Kerana yang ketiga di antara mereka ialah syaitan".
"Syaitan akan berusaha dengan apa jua sekalipun untuk merosakkan anak cucu Adam. Apa yang penting sangat sampai awak tergerak hati nak pergi jumpa dia. Kalau pun penting sangat...tak cukup ke sekadar berbual di telefon? Tapi bagi saya takde apa-apa kepentingan pun untuk awak buat camtu. Awak kena ingat, dia tu tak ada apa-apa hubungan ngan awak. Sekadar kawan jer. Dah habis ke member-member akhawat awak untuk dijadikan tempat mengadu?...kalaulah awak ada masalah. Jika awak nak mintak nasihat atau pandangan daripada dia...bukan salah. Tapi gunalah cara yang betul”.
“Awak ingat tak lagi dalam Al-Quran ada mengingatkan kepada kita kaum perempuan supaya jangan melembutkan suara apabila bercakap dengan laki-laki? Tu inzar buat mereka yang berkeperluan untuk bercakap ngan kaum lelaki. Bukan saja-saja nak sembang".
"Kenapa sampai begitu sekali peringatan diberi. Turun ayat tersebut untuk isteri-isteri Nabi pulak tu. Eh! Ummul Mukminin tak reti ke hukum hakam agama sampai kena peringat sebegitu? Ni la salah satu ajaran dari uslub Al-Quran sebagai panduan buat wanita Muslimah. Kalau Ummul Mukminin pun diperingati sebegitu rupa, lebih-lebih lagi la kepada kita”.
“Comfirm-kah kita akan dapat mengawal diri bila berdepan dengan lelaki? Nak-nak pulak bila dah ada bibit-bibit rasa kasih sayang pada si dia. Saya ni perempuan jugak awak. Dah masak sangat saya ngan karenah dan perasan perempuan. Sebab tu la awal-awal lagi Tuhan meletakkan batas sempadan. Pastikah kita apa perasaan si lelaki tu pulak bila dengar suara lunak merdu kita? Katakanlah yang kita dah mengawal suara sebaik mungkin. Tapi kena ingat...macam mana dikawal pun, suara kita tetap lembut. Itu dah fitrah kejadian wanita".
"Kalau awak nak tahu, lelaki ni kan...bila dengar jer suara wanita dah rasa lain. Saya dah kahwin saya tahu la. Begitu jugak dengan gambar-gambar yang awak dah bertukar dengan dia tu. Untuk apa? Bagi kat saya satu alasan jer cukup. Tapi kenalah jawapan relevan”.
Ustazah mengeluh panjang. Bicaranya diteruskan lagi. “Tak apa la. Saya tahu awak takde jawapannya. Awak tahu tak. Perempuan tengok gambar lelaki. Lelaki simpan yang perempuan punya. Kalau tak cun/hensem tuan gambar tu, pasti tak disimpannya. Tul tak kata saya ni? Itulah penangan nafsu namanya. Kalau dah dengan nafsu...haa! awak rasa camane?”.
“Erm...sayaa..saya...”.
Kring!...kring!. Deringan telefon di meja memotong percakapan Halimah.
“Hello!”. Jawab ustazah.
“Waalaikumussalam WarahmatulLah. Yer saya. Insya-Allah...lagi lima minit saya sampai”. Sambungnya dan terus meletakkan ganggang.
“Halimah..saya cakap ngan awak ni bukan atas nama Timbalan Pengarah”. Dilingkupkannya papan tanda tertulis ‘Timbalan Pengarah’ di meja.
“Saya cakap ni atas dasar tanggungjawab seumpama seorang kakak terhadap adiknya. Saya bukan nak marahkan awak. Bukan nak perlekehkan awak. Bukan jugak nak berleter kat awak. Kita ni perempuan. Sifat malu merupakan benteng peneguh iman kita. Tunjukkan kekuatan serta ketegasan kita sebagai Muslimah. Jangan biarkan iman luntur dengan bisikan hawa nafsu. Jangan lemahkan jiwa hanya dengan mainan perasaan. Jodoh pertemuan dah ditetapkan-Nya. Kalau syabab tu dah serius ngan awak, masuk jer meminang. Tu cadangan saya. Dan itulah cara yang lebih bertepatan dengan agama”.
“Saya nak ajak awak sama-sama berfikir dengan kata-kata saya tadi. Kalau kita yang terdedah dengan ilmu agama setiap hari ni pun masih buat benda-benda semacam tu, tak pelik la kalau kita tengok keruntuhan moral yang begitu kritikal buat mereka yang tak didedahkan dengan pengetahuan agama. Cam kat Malaysia tu. Fikirlah baik-baik. Supaya taklah nanti kita termasuk dalam golongan yang merosakkan nama baik student agama. Walaupun kecik perkara tu...tapi mungkin itu hanyalah pada pandangan peribadi kita semata”. Ujar ustazah mengakhiri kata-kata sambil memegang bahu Halimah dan sama-sama melangkah keluar.
Dengan ukiran senyuman di bibir dan tanpa sepatah kata-kata, ustazah berlalu meninggalkan Halimah di hadapan pintu yang tertera ‘Unit Tatatertib’ itu.
Halimah mula menyusun tapak. Melangkah pulang ke sakan. “Tak sangka pulak begitu baik Ustazah Ifah tu”. Tuturnya dalam hati.
Fikirannya makin ligat berputar. Kata-kata ustazah tadi tak berhenti menujah benaknya.
“Perlu ke aku ikut kata-kata ustazah yang ‘macam’ ikhlas tegur aku tu? Ahh!..tu pun takkan tak boleh. Kecoh betul la. Tapi...sesekali rasa cam ada gak benarnya kata-kata ustazah tadi tu”. Hati, perasan, dan fikiran Halimah rancak duk bertelingkah di ambang gerbang kebenaran.
Desiran air kedengaran. Menyegarkan tubuh setelah dimamah terik mentari. Musim soifi akan berakhir tak lama lagi. Hamparan bumi akan kembali tenggelam. Diliputi salji tebal memutih. Bersama tenggelamnya kerdipan mutiara bicara ustazah.
- Dirembat dari laman PERMAYA Online
Pekan Dairy. Tengah hari tadi, selepas menunaikan solat Jumaat aku menyertai rakan-rakan dari Unit IT PERMAYA Sesi 2006/2007 untuk bersama-sama mereka menghadiri ‘kenduri’ di rumah PERMAYA. Kenduri ini julung-julung kalinya diadakan bagi sesi 2006/2007. Pantas juga disebut sebagai ‘jamuan perpisahan’, fikirku.
“Kita buat majlis makan-makan pada hari ni adalah sebagai tanda penghargaan kepada para petugas PERMAYA Online tahun ini”, ujar Mat Amin dengan tutur pelat Kelantan pabila aku bertanya objektif utama majlis ini diadakan.
Sahabatku Mat Amin, atau nama sebenarnya Muhamad Amin Ismail itu merupakan Timbalan Presiden PERMAYA Sesi 2006/2007. Juga merangkap Pengarah bagi sidang PERMAYA Online pada sesi ini.
Tahun ini aku tidak tersenarai di carta sidang Unit IT. Kerna serasa sudah tak kuasa lagi menguruskan amanah lainnya yang menggunung. Di PERMAYA Online, aku hanya bergerak ‘di bawah meja’. Hulurkan bantuan sekadar termampu di sebalik tabir. Berkongsi secangkir pengalaman yang ada.
Walaupun aku tidak lagi memikul apa-apa jawatan dalam jawatankuasa PERMAYA Online pada sesi ini, tapi mereka turut menjemputku. JazakumulLah khair aku ucapkan buat kalian.
Tadi hanyalah majlis makan-makan. Tiada agenda selain makan-makan. Sambil berbual kosong, kami yang seramai 14 orang jumlahnya hanya makan-makan. Dengan nasi putih berhidangkan lauk-pauk ala selera kampung menjadi juadah untuk kami makan-makan. Pelbagai aneka lauk berulam air Teh-O ais yang memenuhi ruang meja itulah sebagai mangsa pelepasan ‘nafsu liar’ makan-makan kami. Abang Lah yang tersohor dengan jolokan ‘chef power’ oleh sebilangan ahli PERMAYA itu pula menjadi tukang masak bagi majlis makan-makan kami siang tadi.
Di penghujung majlis tersebut, kami dikejutkan dengan satu tragedi mencuit hati. Prraaakk. Seorang rakan yang juga tetamu jemputan seperti aku gedebuk jatuh terjelupuk ke dada bumi. Rupanya satu dari empat batang kaki kerusi yang dia landing tu terpatah. Langsung menyembam ke tanah.
Apa lagi, aksi stunt daripada rakanku itu terus kami sambut dengan hilai tawa. Si ‘mangsa’ pula hanya tersengih selamba. Mungkin tak berapa malu kerana kami dah teramat biasa antara satu sama lain. Roh ukhuwwah sudah meresap sedaging dengan liang naluri dalam persahabatan kami di perantauan ini. Jangan marah yer. Aku bercerita sekadar untuk melahirkan humor kita dalam berukhuwwah.
Walaupun masing-masing terbuai dengan keasyikan penangan menu kampung itu, kami masih lagi berkesempatan untuk bergambar. Hanya sebagai kenangan bersama. Gambar-gambar tersebut ada disemadikan kat bawah entri ini (klik sini untuk lihat gambar).
Di sini aku mencuri sedikit peluang untuk minta ampunan kemaafan daripada rakan-rakan seperjuangan terhadap salah-silap dan apa jua kekuranganku dalam gerak kerja PERMAYA Online. Selama kurang-lebih tiga tahun aku mengikat ‘kontrak’ bersama Unit IT itu. Juga buat sahabatku al-akh Ayub dan Bob yang melangkah seiringan denganku di persada PERMAYA dot org. Syukran atas kerjasama serta bantuan berharga kalian.
Kepada generasi mendatang yang akan merentak perjalanan PERMAYA Online, berhikmah dan bijaksanalah dalam usaha antum meneruskan nawaitu utama tertubuhnya laman rasmi PERMAYA ini. Dakwah Islamiah di ruangan maya bukanlah semudah sangkaan minda. Tidak juga segampang yang terjangka. Justeru, setiap tapak yang dilangkahi itu haruslah sentiasa berjaga-jaga.
Salam perjuangan daripadaku buat semua...
- anTusufi,
11.30 pm,
Jumaat, 22 Jun ‘07,
Republik Yaman.
Innalillahi wa inna ilaihi rooji'uun...
Takziah daripada kami buat keluarga mangsa dalam kes pembunuhan tragis mahasiswa Malaysia di Al-Azhar cawangan Mansurah, Muhammad bin Ishak. Mudahan waris keluarga terus kejabkan kesabaran atas ujian besar ini. Semoga beliau si mangsa dicucuri rahmat Ilahi dan ditempatkannya bersama pejuang Islam di Jannatul Firdaus.
-> Untuk baca laporan mengenai kejadian ini, sila klik di sini
-> Untuk lihat gambar di tempat kejadian, sila klik di sini
-> Untuk lihat gambar mangsa, sila klik di sini
- Sidang aL-Watary Posted by GuwaSufi
- Dipetik dari laman PERMAYA Online
Seperti mana yang telah aku sebutkan dalam keluaran pertama artikel ini pada bulan Mac lalu (bertajuk ‘Cerita Kita’), “yang baik dijadikan teladan dan apa yang tak kena tu sama-sama kita lontarkannya jauh-jauh”. Serasa itu satu tugas yang tak begitu sukar kan?
Ajakkan ku kepada korang hanyalah untuk sesama berfikir. Kerana Tuhan pun menyukai hamba-hamba-Nya yang selalu berfikir. Setelah itu barulah kita pakat menilai betul-salahnya, buruk-baiknya. Seterusnya bersama kita menuruti jalan kebenaran yang insya-Allah akan bertemu sejuta rahmat bersama keredhaan Allah SWT. Teringat pula kata-kata sahabatku, Saifullah Hussin: “Kita, terutamanya student agama perlu menjadi ‘mufakkir’ ummah...”, tuturnya dalam dialek Terengganu yang sedikit di-fusahah-kan.
Hampir tujuh tahun aku di sini. Jauh daripada orang tersayang. Jauh dari kampung halaman. Bonda, keluarga, sanak saudara, dan semuanya. Yang setia berdamping denganku hanyalah taulan, sahabat yang sudi berkongsi suka duka kehidupan. Mereka ku anggap keluarga. Bagai adik-beradikku. Malah mungkin lebih dari itu.
Persahabatan. Ya, itulah barangkali yang ingin ku kongsikan dengan kalian, adik-adik yang baru memulai kehidupan di bumi tua Yaman ini.
Pada keluaran lepas dah aku bercerita mengenai ukhuwwah. Dengan ukhuwwah lahirnya perpaduan. Dengan perpaduan akan terbinanya kekuatan. Dengan semua itu akan timbullah keharmonian, kedamaian yang diimpikan oleh setiap jiwa insani.
Antara salah satu kaedah ataupun formula untuk membina ukhuwwah ialah dengan persahabatan. Formula yang sendiri ku ciptakan. Ikatan suci tanpa ujud walau sekelumit noda pra-sangka. Semurni persaudaraan Baginda Rasulullah bersama para sahabatnya. Keikhlasan mereka harus kita contohi. Keakraban mereka perlu kita teladani. Pergaulan mereka semestinya kita kaji dan perdalami. Kerna pada kujuran tubuh Baginda sajalah dinyatakan Tuhan sebagai seelok ikutan. Dan tak syak lagi pada kurun merekalah sebaik zaman.
Bagaimana mahu diterjemahkan kehidupan mereka radhialLahuanhum ke alam realiti kita kini yang jauhnya sejarak belasan ratus tahun? Timbul persoalan tersebut dalam benak ku ketika mana sampainya tulisan ini di sini. Mungkin persoalan yang serupa juga muncul bermain di fikiran pabila tibanya pembacaan kalian semua pada perenggan ini. Mungkin, tak dapat pula aku pastikan.
Rasulullah pernah mewasiatkan buat kita umatnya supaya ringankan mulut mengucap salam. Satu perkataan keramat yang mampu membina kesatuan. Ucapan ‘assalamualaikum’ harus kita sembahkan kepada sesiapa sahaja untuk meluaskan lagi jaringan ukhuwwah. Menjitukan lagi ikatan persahabatan. Bunyinya agak simple, namun itulah ajaran Nabi. Begitulah wasiat Baginda dalam mentarbiah kita membina satu kekuatan.
Begitu juga dengan senyuman. Rasulullah SAW tidak pernah lokek dengan senyuman. Keduanya mempunyai rahsia yang tersendiri. Dapat membuat orang yang dipersembahkan dengan keduanya itu merasa diri dihargai. Disayangi. Serasa diri ada yang peduli. Sekurangnya, mereka terasa diri dihormati.
Melalui pengalaman, aku rasakan tak sah sesebuah persahabatan kalau tiada perselisihan atau salah faham antara satu sama lain. Bagaikan sebuah ikatan rumah tangga. Macam kata Allahyarham Tan Sri P. Ramli, “sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri”.
Justeru, perlulah kita faham memahami antara satu sama lain. Sayang menyayangi antara satu sama lain. Bahkan harus sampai timbul perasaan cinta kita kepada sahabat. Cinta tulus kerana Ilahi. Tiada selain-Nya. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang tinggal serumah. Kerana di perantauan ini tak ada yang bersendirian. Kita saling memerlukan antara satu sama lain.
Perselisihan kecil jangan terlalu diambil kira. Perkara besar jangan pula segan silu untuk diajak berbincang. Kekadang timbul perasaan malu untuk berbincang apa yang terbuku di dada. Apa yang tak puas di sudut hati. Jangan begitu, kerana yang demikian datang dari bisikan Syaitan, Iblis terlaknat yang sering kali mahukan kepincangan dalam kehidupan anak Adam. Yang tidak gemar melihat kesatuan sihat pada kelompok Muslimin.
Bergurau. Ini pun suatu yang diperlukan dalam hidup bersahabat. Bergurau yang tidak keterlaluan. Biar sepadan dengan mentaliti sahabat yang dibawa bergurau itu. Kita juga perlu mengajar diri untuk mengambil berat kepada sahabat. Andai ternampak wajahnya suram, murung dirundung nestapa, tanyakan apa masalahnya, dan carikan jalan penyelesaian bersama. Tika kewangan mereka terdesak, kita bantu. Jika semua ekonomi merudum, sama-sama kita mengikat perut. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Begitulah juga pada perkara yang lainnya.
Rasulullah terlalu mengambil berat terhadap hal ehwal para sahabat Baginda. Pernah di satu hari Baginda bertanya seorang sahabat apakah beliau mahu berkahwin. Sahabat tersebut seorang yang miskin. Lalu Rasulullah terus membuat perancangan agar beliau dapat berkahwin. Ajukan pandangan serta pendapat Baginda apa yang perlu dilakukan.
Pernah juga di suatu ketika ada keluarga ditimpa kedukaan. Seorang sahabat telah meninggal dunia. Rasulullah walaupun serba kekurangan, dengan senang hati telah membahagi makanan dan apa yang perlu kepada keluarga sahabat tersebut. Berbeza amat dengan kita hari ini, keluarga yang ditimpa musibah itu pula yang menjamukan masyarakat sekampung. Kesal sungguh kepada sesetengah masyarakat kita yang sedemikian rupa kemanusiaannya. Benarlah kata Sayidatina Aisyah r.a bahawa kriteria Rasulullah itu seumpama Al-Quran. Kitab suci dari langit itu.
Ku kira, yang paling penting dalam jalinan sesebuah persahabatan adalah kepercayaan. Dengan tak mengetepikan peranan keikhlasan. Itu memang sudah satu anasir yang tiada dapat kita pisahkan dalam setiap urusan kehidupan.
"Mana mungkin tanpa wujudnya kepercayaan dapat kita bergaul-campur antara satu
sama lain. Rumpunan kepercayaan yang semestinya tumbuh dari akar kesetiaan.
Begitu teguh. Jauh dari noda pengkhianatan. Dengan itu akan bersemilah
kecintaan. Cinta agung yang tiada tergambarkan. Dan akan bersatu-jitulah ummah.
Terasa semacam ‘ayat cinta’ pula, huhuhu. Noktah.
Begitulah ceritanya. Sebenarnya sudah tak tahu apa harus ditaipkan. Otak sudah membeku. Idea dah pun mencair. Mengalir hilang tanpa berjejak. Jam sudah menunjuk pukul satu pagi. Tulisan ini sudah tiba di penghujungnya.
Itulah ceritaku. Kisah kita bersama. Antara pengalamanku yang aku rasa comey untuk dikongsi bersama. Di bumi tandus yang berdebu ini. Mungkin agak panjang. Mungkin membosankan. Tapi ia sesungguhnya satu cetusan dari naluriku bagi mengucapkan jutaan terima kasih yang tiada tara kepada sahabat-sahabat di sini sebelum aku ‘kembali’. Berangkat pulang ke tanah air. Ke pangkuan keluarga dan sanak saudara. Mengecap cinta murni penuh keluhuran daripada seorang yang bergelar ibu. Cinta yang mustahil padanya ujud walau sekelumit pengkhianatan.
Haru. Pilu. Sedih. Tergaul sebati seketika. Sayang rasanya meninggalkan bumi penuh memori ini. Bumi yang penuh lubuk ilmu. Terpahat sejuta kenangan indah. Suka dan duka. Tawa dan hiba. Terima kasih kepada kalian. Teman-teman, kawan-kawan, dan rakan-rakan yang banyak membantuku. Yang tak jemu menasihatiku. Sahabat-sahabat sebumbung yang tiada letih melayan karenahku. Syukran atas pandangan dan juga tunjuk ajar antum semua. Maaf atas kesilapan, kekasaran, dan ke‘poyo’an aku yang mungkin terbit tanpa disedari.
Tidak ada yang dapat aku balasi selain dengan ucapan terima kasih. Terima kasih. Dan terima kasih. Allah jua yang pantas membalasnya kepada kalian. Doaku agar kalian semua yang masih berjuang, dipermudahkan-Nya dalam mendalami lautan ilmu Ilahi, Tuhan yang maha Esa. Korang pun jangan lupa mendoakanku walau dengan sebaris kata. Hingga kita ketemu lagi. Salam perjuangan tulus daripadaku...
By: anTusufi, aLwatary Geng’z











