SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


12 Rabieul Awwal, Terpahat Sejarah

Dirembat dari PERMAYA Online


Oleh: X-Editor PERMAYA Online


Terasa jemari ini untuk mengirimkan sebaris dua kata kepada Redaksi PERMAYA Online bersempena sambutan Maulidurrasul 1429H ini.

Terkenang benar saat-saat di waktu bersama sahabat taulan seketika waktu dahulu. Seketika yang bukan sekejab rasanya bersama kalian menjadi pedagang ilmu Tuhan yang maha luas. Bermastautin di sebuah daerah asing yang amat berkhilafan bangsa dan bahasanya, budaya dan peradabannya, juga terlalu berlainan sosial dan ketamadunannya.

Tetapi masih ujud satu titik persamaan antara kita dan mereka. titik persamaan yang mampu membina jalinan persaudaraan yang terkadang lebih akrab dari pertalian darah. itulah sebuah mata pelajaran secara amali yang paling berharga untuk kita. Justeru, usah sesekali kita lekakannya.

Kalian tahu apakah titik persamaan antara kita dan mereka itu? Ya, persamaan antara kita dan mereka ialah akidah. Akidah suci yang terangkai pada nadinya tiga unsur bersifat ketuhanan. Iaitulah keislaman, keimanan, serta keihsanan. Anugerah nikmat tersebut mampu membina kuasa ukhuwwah yang begitu intim buat kita.

Sememangnya, itulah yang dikatakan 'rahmat bagi sekelian alam'. Perutusan Muhammad sebagai Nabi akhir zaman adalah benar-benar sebagai pembawa rahmat daripada Tuhan untuk sejagat alam. Dan kekuatan ukhuwwah inilah antara sejuzuk rahmat yang diturunkan dari langit itu.

Sejarah Tentera Bergajah yang datangnya dari negeri Yaman itu telah dipahatkan sebagai tahun bermulanya era baru bagi umat manusia. Silau cahaya di waktu titis embun masih lagi membasah yang terbit dari rahim seorang isteri yang baru kematian suami itulah yang telah tercatit sebagai detik bermulanya pembinaan ketamadunan tinggi buat penghuni dunia. Kala itu, terjelma kembali jambatan penghubung antara dua dunia. Dunia maya, dan juga dunia yang tiada penghujungnya.

Likuan hidup Nabi Muhammad setelah menerima tanggungjawab sebagai 'orang Tuhan' dengan membawa segala hakikat suruhan dan larangan-Nya itu adalah teralalu perit. Begitu payah. Kebahagiaannya bersulamkan manik keperitan. Tawanya bermandikan titisan keringat. Lena Baginda bermimpikan kehidupan umatnya. Jaga Beginda memperjuangkan nasib umatnya. Sungguh prihatin Baginda kepada kita, umatnya. Sehinggakan saat akhir hayatnya, waktu sakarat menunggu kehadiran Malaikat Maut pun Baginda masih lagi memikirkan umatnya. "Ummati..ummati". Ya, dengan kata lain, memikirkan kita.

Namun sekarang, setelah wafatnya Baginda Nabi belasan ratus tahun yang lalu, apakah yang kita (selaku umat yang sering baginda ambil berat) lakukan sebagai tanda penghormatan, terima kasih, penghargaan, malah kecintaan kita kepada Baginda Rasulullah, Nabi Muhammad SAW?!

Saat menulis artikel ini, nun di dewan-dewan dan di tempat-tempat tertentu berduyun-duyun yang menghadirkan diri dalam perarakan Maulidurrasul. Itulah yang mereka katakan sebagai melahirkan lambang tulus kecintaan kepada Baginda Rasulullah. Benarkah begitu? Semoga.

Selepas solat Subuh tadi aku sempat berehat di depan kaca TV menonton rancangan harian MHI (Malaysia Hari Ini) di cenel TV3. Kebetulan ketika itu sedang diadakan tazkirah penerangan tentang hakikat sambutan Maulidurrasul. Alfadhil Ustaz yang menjadi panel itu membicarakan tentang gagasan 'umat gemilang' dalam perspektif isu sambutan Maulidurrasul ini.

Beliau ringkasnya menerangkan bahawa Al-Quran ada menyatakan bahawa kita adalah sebaik umat yang dikeluarkan kepada golongan manusia. Pokoknya, kita merupakan umat yang terbaik, umat yang bermutu, ataupun umat yang gemilang.

Untuk memungkinkan kita menjadi umat yang gemilang semestinya tidak dengan hanya duiduk bergoyang kaki. Bukan dengan hanya membuat sambutan, alias perarakan besar-besaran sekali setahun.

"Umat yang gemilang bukan sahaja menjuruskan kepada pembangunan atau kemodenan sahaja", jelas Ustaz sambil memandang kepada si pengacara, saudari Wardina.

Seterusnya beliau menjelaskan bahawa di samping pembangunan dan sambutan demi sambutan memperingati Baginda Rasulullah, perlulah seiring dengan pertanggungjawaban terhadap pusaka perjuangan yang telah Baginda tinggalkan kepada kita, umatnya.

Perjuangan Baginda dalam meninggikan agama Allah SWT iaitu Islam, perlulah kita laksanakan dalam setiap aspek kehidupan sebagaimana yang telah Baginda lakukan semasa hayatnya. Pendeknya, kita perlulah mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan baik dari sudut sosial, ekonomi, muamalat, munakahat, pemerintahan, jenayah, dan seluruhnya. Ya, seluruhnya tanpa ketinggalan walau seinci pun.

Itulah hakikat yang tersirat dalam pada kita meraikan sambutan Maulidurrasul. Malah, itulah intisarinya. Jangan kita menjadi sebahagian daripada mereka yang memalapkan kilauan cahaya yang dahulunya begitu bersinar. Benar, bahawa tiada tang berkudrat memadamkan cahaya Tuhan yang menerangi serata ceruk ufuk benua.

Diucapkan Selamat Menyambut Maulidurrasul kepada seluruh saf kepimpinan PERMAYA, sidang PERMAYA Online, serta seluruh warga PERMAYA. Juga kepada semua member² di blog ini. Teruskan agenda perjuangan kalian. Wassalam. - sa

Pantun 2 Kerat (Membina Hadharah)

1) Alam akhirat tetap ditempa

Islam berdaulat rakyat sejahtera


2) Impian tersirat serata dunia

Islam berdaulat rakyat sejahtera


3) Warisan terpahat syariat agama

Islam berdaulat rakyat sejahtera


4) Tawaran berhemat amanat negara

Islam berdaulat rakyat sejahtera


5) Kebajikan umat mandat bersama

Islam berdaulat rakyat sejahtera

Lensa PRU -12

BN
Selamat. Aman. Makmur.

PAS

Amanah. Adil. Bersih.
"Menuju Negara Berkebajikan"


PKR

"Ke arah Malaysia Baru"

Apakah nasib Mat Rempit terbela?!


Bulatan di Batu Enam sebelum 'diserang' pihak berkuasa



Markaz BN di salah satu UPU DUN Bandar


Ehem:
: Ni edisi testing. Tak sempat nak publish banyak².

Tergendala

Apa yang tergendala tu? Kalo korang tak tanya pon tak mengapa...aku tetap mau jawab. Yang tergendala tu ialah projek aku nak tayangkan gambar warna-warni perang demokrasi kali ke doplas ini.

Problemnya hanya satu, aku tak dapat nak transfer-kan pic² dalam kamera tu ke komputer. Sebabnya, cabel kamera tu dah pergi entah ke mana, huhuhu. Memori card dia pulak kecik, tak sepadan dengan saiz lubang yang tersedia di sisi laptop. Boleh jer nak masukkannya, tapi tak menghasilkan apa-apa tindak-balas. Tiada sebarang respons positif dari sistem rangsangan laptop tu. Kad leader lak, anak sedara aku dah bagi pinjam kat kawan dia. Huh, bertimpa-timpa.

So sekarang, aku masih menanti hari untuk publish-kan gambar² tu kat blog nih. Pic yang aku aku siarkan itu banyak seputar suasana PRU-12 di Parlimen Kuala Terengganu. Parlimen yang telah mencipta sejarah pada perang demokrasi kali ini. Parlimen yang menyaksikan pertembungan tiga penjuru. BN, PAS, dan juga seorang calon BEBAS.

BN diwakili oleh orang 'besar', Dato' Razali. PAS pula diwakili oleh orang 'panas' parti tersebut yang juga 'kepala' kepada pertubuhan yang dinamakan BERSIH, iaitu Mohamad Sabu. Manakala BEBAS menampilkan seorang warga emas Melayu Muslim sebagai wakil mereka. Beliau lebih suka dipanggil 'tok' sahaja.

'Perempuan Melayu Terakhir' yang menjadi calon BEBAS itu berusia 89 tahun. Seorang nenek dengan basikal tuanya telah menjadi calon di Parlimen Kuala Terengganu. Itu sudah dikira satu sejarah. Kita lihatlah saja pertembungan mereka nanti untuk menakluki Parlimen yang baru sahaja dinobatkan menjadi Bandaraya Pesisir Air yang juga tersohor dengan prinsip 'Tiada Halangan, Hanyalah Peluang' itu.


Ehem:

: Hangpa jgn tersilap baca 'Tiada peluang, hanyalah halangan' sudahlah. Haru-biru jadinya nanti :D

Sembang-sembang

Assalamualaikum...

Memang bosan kalau melewati blog yang lama-lama sekali baru di-update kan? Jangankan korang, aku sendiri pun terkena tempias kebosanan itu. Apakah tip-tip untuk 'mencergaskan' laman blog ye? Ntah...

Oh ya! Sekarang gendang perang sudah pun dipalun oleh PM kita...dan rata-rata ceruk bandar dan desa nampaknya sudah diwarnai dengan warna-warni panji-panji perjuangan masing-masing. Wajib hukumnya setiap individu warganegara untuk turut serta dalam peperangan demokrasi ini. Berdosa hukumnya jikalau kita hanya duduk, pandang, dan berlalu begitu sahaja. Tentang perjuangan mana yang harus disertai, itu persoalan yang kedua.

So, sekarang gua mau pusing-pusing carik kamera dulu...lepas tu insya-Allah kehebatan warna-warninya akan menghiasi ruang maya ini. Biar saja gambar yang bakal dihidangkan nanti yang menterjemahkan suasana perang demokrasi yang ke 12 itu.

Chow...

Kepada-Nya Kita Pasti Kembali...


Hari ini baru aku terluang untuk mengakses laman maya. Hari ini juga baru aku dapat tahu bahawa salah seorang rakan blogger yang ada link di blog ini sudahpun pergi, kembali ke pangkuan Penciptanya yang tercinta. Meninggalkan kita dan 'kepincangan' dunia buat selamanya. Dia yang aku maksudkan ialah saudara PANAHARJUNA.

Biarpun aku hanya mengenali 'rumah'nya dan bukan tuannya, namun terasa juga sedikit terkejut dengan khabar ini dan terjelma juga kesyahduannya. Dari itu, ku pohon agar sama-sama kita munajatkan sekalung doa mengiringi pemergian beliau. Mudahan berbahagialah beliau di sana. Al-Fatihah!


Ehem:
: Baca ulasan lanjut tentang beliau di sini: UNIKA PTS
: Gambar ihsan dari Sifu PTS

Lagi Mangsa 'Noda Modenisasi'


Ya, benar sebagaimana kata-kata bekas Ketua Polis Negara yang melahirkan rasa kebimbangan beliau bahawa Malaysia sekarang sudah TIDAK SELAMAT untuk didiami.

Ini semua berpunca dari kegiatan jenayah yang semakin membarah.
Persoalannya KENAPA??



Jangan nanti bila terkena kepada diri, anak-bini, adik-kakak sendiri baru melopong mulut. Semua pihak tanpa mengira warna kulit dan rumpunan bangsa ataupun ideologi politik haruslah bahu-membahu dalam usaha membenterasnya.
Persoalannya BAGAIMANA??


Setiap agama tentunya ada prinsip tersendiri dalam menentukan keamanan sejagat. Adakah pihak yang bertanggungjawab sudi mendengar walau sejenak kata mereka?


Ketakutan ini sudah pun melingkari pada setiap langkah anda. Hanya menunggu masa untuk menerkam. Tak kira di mana juga ketikanya. Justeru, anda sendiri yang harus menentukan sendiri jawapan persoalan di atas.


Ehem:
Image Adik Sharlinie ini diihsankan dari blog Dihah
Artikel lepas berkenaan 'Noda Modenisasi', klik di sini

Sambutan Satu Dekad PERMAYA: MABRUK!!!

- Dipetik dari PERMAYA Online

Oleh: x-Editor PERMAYA Online


Kesyukuran dikembalikan kepada Sang Pencipta kerana pada tahun ini Persatuan Pelajar Malaysia Yaman ataupun panggilan mesranya PERMAYA telah dapat mengorak langkah memasuki ke era satu dekad perjuangannya.

Bermula dari akhir tahun 1997 sehinggalah di awal tahun 2008, PERMAYA masih terus mampu membawa agenda visi dan misi perjuangannya ke dalam rumpunan masyarakat pelajar Malaysia di Republik Yaman, bumi Iman dan Hikmah ini.

Untuk sampai kepada pencapaian sebagaimana hari ini, tidak sedikit dugaan yang perlu diharungi. Bukan mudah likuan yang terpaksa diredahi. Berbagai situasi sukar telah PERMAYA lalui. Dari awal usaha penubuhannya, meraih kepercayaan masyarakat pelajar, membina kesatuan sesama perantau, mementerai usaha-sama dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia Yaman, melupuskan persengketaan antara rumpunan pelajar Malaysia, mengorak langkah di persada dunia siber, serta pelbagai rintangan lagi. Semuanya masih tegar tersemat di memori perjuangannya.

Dengan pelbagai situasi yang telah tempuhi, elok benar sekiranya pihak PERMAYA berusaha pula mewujudkan satu usaha pembukuan sejarah. Ya, sejarah PERMAYA sudah wajar diterbitkan dalam versi buku.

Ini adalah penting untuk mengingatkan kepada generasi baru yang mewarisi pusaka perjuangan PERMAYA bahawa jangan kamu leka atau asyik dengan keadaan PERMAYA pada hari ini sehinggakan kamu melupai sejarahnya yang penuh dengan keringat dan air mata. Bahawa kamu harus sedar, untuk mengorak langkah yang lebih baik dan selesa pada hari mendatang, perjuangan yang dihiasi kesabaran, kecekalan, ketekunan, pengorbanan, dan semuanya itu mesti diteladani daripada generasi terdahulu.

Kalau bukan dalam bentuk buku pun, para pimpinan pada hari ini perlulah memikirkan satu program ataupun aktiviti yang dapat membawa imaginasi para peserta kepada jalur perjuangan abang-abang terdahulu. Agar mereka dapat menghayati seterusnya mentauladani apa-apa yang baik daripada generasi terdahulu.

Kalam akhirnya, sekalung tahniah diucapkan kepada pimpinan PERMAYA pada tahun ini yang berjaya menganjurkan program sambutan satu dekad dan seumpamanya ini dengan jayanya.

Tidak lupa juga kepada generasi awal PERMAYA yang telah banyak memerah keringat perjuangan di bumi asing ini. Mereka semua sudah pun berada di tanah air tika ini, dan ada antara mereka yang telah kembali ke pangkuan Penciptanya yang Esa. Semoga usaha kalian di dalam memartabatkan agenda kesatuan Islamiah itu dipandang Tuhan seterusnya diganjari dengan yang selayaknya.

Bagi generasi baru yang ada kini, jagalah persatuan ini sebaiknya. Jangan sesekali dicuba untuk melangkahi ke jurang kecapikan, yang bisa mengundang api persengketaan. PERMAYA adalah satu amanah, bukannya gelanggang untuk kita mencipta nama atau pengaruh yang bernanah.

Salam daripadaku buat seluruh saf kepimpinan PERMAYA dan para ahlinya. Marilah kita menadah tangan memohon kekuatan daripada-Nya untuk terus membawa visi dan misi PERMAYA seiring dengan apa yang diinginkan oleh-Nya yang maha Berkuasa.

Wassalam.


Ehem:

: Artikel di atas sekadar mengisi ruang update blog ini yang dah mula nak berhabuk. Juga boleh dibaca sebagai pengetahuan am anda ;)

Hanya Pinjaman (Tsunami 26 Dis. 2004)

Ni puisi edisi update...Bagi memperingati tragedi terulung abad ini...Kalo diperhatikan, memang setiap kali berlangsungnya sambutan Hari Natal, akan berlakulah 'amarah' ini, yang bergema di ruang langit...Jadi, kepada korang yang menyimpan hasrat untuk menghadirkan diri anda ke pesta² Hari Natal, fikir²kanlah...Moga kita disisihkan dari 'amarah' itu...

Actually, tadak pape yang nak di-publish-kan sebenarnya...So, sesama la pakat² baca apa yang ada kat bawah ni eyh........


Kau tahu tak...
Peristiwa itu memenuhi dada akhbar
Kisahnya tak lekang
Meniti dari bibir ke bibir
Ceritanya menggempar
Serata ceruk alam.

Kau tengok tu...
Mereka bertempiaran
Lintang pukang selamatkan diri.

Takut..resah..gelisah...
Menyelubungi sanubari
Pabila ombak ganas bagai menyerang
Kerna patuh arahan Tuan yang Satu.

Meluru laju
Merempuh daratan faqir
Dataran ketandusan abdi.

Kau nampak tak tu...
Mereka mula keluar
Ke sana ke mari
Tercengang memandang.

Takjub..gerun..ajib...
Gentar bersalut di hati
Pabila musuh mula berundur
Terbentang athar menyayat
Kehancuran merata.

Hamparan bumi
Danau indah
Desa permai
Bangunan gagah
Kini bak padang jarak
Ranap
Seolah kiamat menjengok diri
Dikerjakan tentera utusan Ilahi.

Lihat...
Mereka terus terpegun
Mata seakan tidak percaya
Namun detik hati mengia
Di celah kebinasaan melata
Masih utuh tersergam
Maqam pengabdian hamba
Kepada yang Esa.

Menggentarkan yang ingkar
Menyedarkan yang lalai
Menginsafkan yang taat.

Bahawa...
Semua maya hanyalah pinjaman
Lorong abdi menuju Pencipta.



- anTusufi

Januari 2005...

Pameran Mukjizat Al-Quran [liputan -3]

Assalamualaikum...

Hari ini aku dah berada di kampung halaman. Walaupun aku ni masih single (tak macam geng mukjizat yg semuanya dah berpunya), tapi berada di kelantan selama 6 hari membuatkan aku merindui kampung laman, hehe.
Semalam merupakan hari penutup Pameran Mukjizat Al-Quran. Dimaklumkan bahawa YB Dato' Husam Musa yang akan memberi ucapan pada majlis penutup tersebut. Aku tak sempat dengan majlis itu sebab awal-awal lagi aku dah cabut balik.
Kehadiran para pengunjung selepas hari perasmian sehinggalah ke hari akhir pameran amat menggalakkan. semakin hari semakin bertambah. Dari kanak-kanak kecil hatta ke orang dewasa, semuanya tak lepaskan peluang untuk mengunjunginya.

Kehadiran paling ramai ialah pada malam persembahan hiburan Islam yang menampilkan kumpulan nasyid kontemporari iaitu Raihan. Beberapa lagu top mereka telah dipersembahkan. Para hadirin dihiburkan juga dengan persembahan dikir barat pada majlis pembukaan. Pendikir terkenal, Jen Endoro telah dapat memukau para hadiri dengan dikir karut tanpa hentinya selama 14 minit. Rekod paling lama beliau mempersembahkan dikir karut ialah selama lebih satu jam tanpa henti. Kesemua lagu yang dipersembahkan oleh kumpulan dikir MPKB itu bertemakan penghayatan kepada Al-Quran. Alaa, aku tertinggal gambar-gambar persembahan tu kat rumah la, lupa nak bawak ke cc. So, tak dapat la korang menengoknya, hehehe...

Oleh kerana tak dapat nak siarkan gambar-gambar persembahan tu, kat bawah ni aku akan paparkan gambar tempat penginapan yang kami lepak selama enam hari itu. Sebenarnya, kalau

diikutkan perjanjian asal, kami (tim Teguh Iman Resources) akan diberi tempat penginapan di Hotel Perdana Kota Bharu. Tetapi pada saat-saat akhir, datang pula sekumpulan tetamu dari Pertubuhan Orang² Cacat Penglihatan. Tempahan hotel masa tu dah pun penuh. Jadi, kami dengan baik hatinya mengorbankan bilik-bilik hotel untuk diberikan kepada mereka. Dan kami pula terpaksalah (tapi ikhlas:)) berpindah ke Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Berhad. Itulah tempat penginapan kami selama beberapa hari itu.

Okay la, aku chow dulu......nak p jumpa member jab. Nanti esok aku sambung balik eyh.....

Bersiap-siap untuk ke tempat pameran

Inilah pondok kami...besar tak semestinya bahagia kan? ;)