SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI


Mansuh ISA, Karnival Terengganu, & Perhimpunan Halal Haram



Sama ada berjaya ataupun tidak, ucapan terima kasih dan setinggi tahniah harus dirakamkan kepada para pejuang kebenaran dan keadilan yang begitu kental semangatnya berhadapan dengan pelbagai tektik menggagalkan daripada 'bala tentera' kerajaan Barisan Nasional. Mereka dengan tiada belas kasihan dan berperi kemanusiaan telah bertindak ganas terhadap rakyat yang hanya mahu berhimpun secara aman menyatakan isi hati mereka terhadap pelaksanaan ISA yang bagi mereka sudah tidak relevan lagi kini. Dan...jelas ia amat bercanggah dengan undang-undang Islam.

Ada yang mengatakan bahawa perhimpunan itu gagal. Ya, memang perhimpunan tersebut gagal jika contoh mudah yang akan saya bawakan di bawah ini juga disebut 'GAGAL'.

Ada seorang pelajar yang akan menduduki ujian SPM pada akhir tahun ini. Pelajar itu memasang azam dan semangat agar diskornya A pada ujian besar tersebut. Dia tidak mahukan keGAGALan. Namun, disebalik usaha, semangat, dan keazamannya itu, dia terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan juga halangan.

Ibubapanya, awal-awal lagi tidak memberi sokongan dan semangat yang sepatutnya. Bila di rumah, dia disuruh membuat itu dan ini. Dia diarah membuat kerja-kerja rumah sehingga tak menang tangan. Dia dihalang untuk ke sekolah selagi kerja-kerja rumah tidak disiapkan. Kelas tambahan pula usah ditanya. Memang tidak berpeluang. Keinginannya untuk bersama-sama rakan ke kelas tuisyen telah di'roadblock' dari rumah lagi. Percaya atau tidak, hingga beg kepunyaannya pun digeledah ibubapanya. Jika ada buku berkait dengat SPM, pasti akan dirampas.

Pelik bukan? Tapi itulah kenyataan dunia hari ini. Terutamanya di negara kita ini. Jadi, usah dipertikai logikalnya. Memang kisah ini hanya rekaan semata-mata. Pelajar tadi, akhirnya selepas menduduki ujian SPM dan mendapat keputusannya, target yang diidamkan tidak dapat digapai. Ada juga A yang kecundang. Di samping, masih ada A yang tetap ditentukan Tuhan menjadi miliknya.

Gagalkah pelajar tersebut untuk meraih A keseluruhan? Gagal ataupun tidak berpeluang? Ia adalah perkara yang berlainan. Ha, fikir-fikirlah sendiri.


Perhimpunan Haram Halal


Ada yang lebih melucukan. Perkara ini sudah sering kali sebenarnya terjadi. Setiap kali adanya pihak-pihak yang tak sebulu dengan kerajaan ingin membuat perhimpunan, pasti keluar pelbagai kenyataan menyokong (baca: mengampu) dikeluarkan.

"Pihak berwajib harus mengambil tindakan tegas kepada perhimpunan haram yang akan diadakan nanti"

"Perhimpunan haram akan mencetuskan keadaan huru-hara. Menyusahkan banyak pihak"

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengikut perhimpunan haram. Ia salah di sisi undang-undang"

Itu...itulah antara kebiasaannya kita dapat dengar reaksi media yang dikeluarkan oleh orang-orang yang 'ada nama' di dalam kelompok masyarakat.

Tetapi saya pelik, banyak perhimpunan yang jelas haram di mata agama dihalalkan pula oleh kerajaan ini. Lagi memualkan, tiada lagi kedengaran kenyataan orang-orang tadi mempertikaikan perhimpunan 'halal' tersebut. Eh, tidak beragamakah mereka ini? Atau bagaimana?

Kalau di Terengganu sekarang, pelbagai karnival telah berlarutan sejak berbulan-bulan yang lalu. Di setiap karnival, wajib akan diadakan persembahan hiburan kekuningan yang mengikut acuan Barat. Waktu itu, anak-anak muda akan berhimpun dan berbuat beraneka perangai yang jelas tidak mengikut lunas Islam.

Pergaulan diHALALkan sebebas-bebasnya. Aurat diHALALkan pendedahan semahu-mahunya. Dengan bahasa jijiknya lagi, nafsu diHALALkan menjadi hidangan generasi muda dengan percuma. Masakan tidak, para pemudi pelbagai lapisan umur sudah tidak rasa bersalah mendedahkan badan. Buah dada ditonjolkan menjadi tontonan umum. Hatta di celah kelangkang dan punggung pun kita dah dapat congak berapa saiznya. Kadang-kadang, seluar kecik juga kita dapat tahu bagaimana corak dan warnanya. Tidakkah itu akan membangkitkan syahwat sesiapa sahaja? Tidakkah itu dapat menjahanamkan negara? Maaf kerana menulis begini. Inilah saja gambaran yang dapat saya terjemahkan.

Itu baru bercakap mengenai negeri Terengganu. Kalau di Kuala Lumpur, memang tak terkejarlah kita. Sudah bermacam-macam aktiviti HARAM telah diHALALkan. Tengok saja pada sambutan kemerdekaan negara penghujung Ogos nanti (tapi aku doakan agar trend kuning itu diubah Najib).

Hah, mana hilangnya mereka yang kononnya mahukan keamanan dalam negara? Mana pembela golongan pelajar? Mana hilangnya jurucakap agama? Mana suara lantang ahli politik? Ke mana dicampak sensitiviti Islam mereka? Kenapa tiada kedengaran kenyataan yang mempertikaikan perhimpunan HARAM yang diHALALkan itu? Kalau mereka kata penganjur yang menganjurkan perhimpunan seperti Bantah ISA itu bermotifkan politik, mereka pula bermotifkan apa? keharmonian negara? Kepatuhan agama? Kesusilaan adab dan sopan? Tidak, tidak sama sekali. Mereka hanya bermotifkan pangkat, darjat, dan temolok nasi.

"Kalau nak terus berkuasa pun agak-agak la, takkan sampai nak hancurkan masa depan anak muda kita"

Airbus: Yemenia Air Terhempas


RONI 30 Jun -
Sebuah kapal terbang Airbus A310 Yemeni Air terhempas di Kepulauan Comoros, Lautan Hindi hari ini dan dikhuatiri kesemua 153 penumpang dan krew dalam pesawat Airbus terbunuh.

Pihak berkuasa penerbangan awam Yemen menyatakan bahawa tiga mayat telah berjaya dikesan di lokasi nahas udara pesawat Yemenia Air di perairan Kepulauan Comoros, Lautan Hindi.



GAMBAR yang diedarkan oleh Industri Airbus, pesawat Airbus A310, jenis sama yang terhempas di Lautan India, hari ini. Kapal terbang Yemenia Air berlepas dari Semenanjung Yaman, Arab untuk ke pulau negara Comoros terhempas awal pagi ini, jurucakap pegawai lapangan terbang Yaman berkata. Berita awal menyebut lebih 100 penumpangnya dipercayai maut.

Gambar bawah: Saudara-mara dan rakan penumpang penerbangan Airbus A310-300 yang terhempas dari Yaman, kelihatan sedih setiba di Lapangan Terbang, Charles de Gaulle, Paris. - Foto AFP/Reuters.




"Mayat dilihat terapung di permukaan air dan tumpahan minyak juga dikesan kira-kira 16 atau 17 batu nautika dari Moroni," kata pegawai kanan penerbangan awam, Mohammad Abdel Kader kepada pemberita.



Bangkai dan serpihan pesawat itu berjaya dikesan dekat bandar utama kepulauan tersebut, Moroni, kata pegawai penerbangan. Satu operasi menyelamat telah dilancarkan dan baru seorang mangsa yang ditemui terselamat, seorang kanak-kanak.



Penerbangan itu membawa 142 penumpang dan 11 krew dari Paris awal semalam dan telah berhenti di Marseille, Sanaa dan Djibouti, kata seorang pegawai syarikat penerbangan tersebut.



Menteri Pengangkutan Perancis, Dominique Bussereau berkata, Yemenia Air adalah syarikat 'di bawah pemantauan' dan pesawat itu dilaporkan mengalami 'beberapa kerosakan'.



Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Moroni, Hadji Ali berkata, menara kawalan terputus hubungan dengan Penerbangan IY 626 sejurus sebelum ia dijadual mendarat dan mengesahkan berlaku cuaca buruk.



Pegawai penerbangan awam Perancis menyatakan, seramai 66 rakyat Perancis adalah antara penumpang pesawat itu, termasuk tiga bayi.



Perancis menghantar dua kapal tentera laut dan sebuah pesawat dari wilayah terdekat dengan Lautan Hindi untuk menghulurkan bantuan.



Ia merupakan nahas udara terbaru melibatkan Airbus, selepas insiden pesawat Air France terjunam ke dalam Lautan Atlantik kira-kira sebulan lalu dengan 228 penumpang berada di dalamnya. - AFP

Kebobrokan Realiti Tivi di Malaysia


Salam blogawan.


Sudah agak lama kiranya aku tidak membuat sebarang
posting di sini. Tapi kesepian ini mungkin tidak menggusarkan sesiapa pun kerana (bak kata sahabatku, BudakGemok) aku bukanlah seorang yang boleh dianggap sebagai 'somebody' yang mana blognya mahupun tulisannya dinanti-nantikan oleh para warga maya. Namun begitu, aku tetap puas apabila setiap kali melihat posting terbaru disiarkan oleh aku sendiri di dalam blog ini. Ya, aku begitu puas.

Kali ini, aku akan siarkan satu artikel yang sangat aku tertarik selepas membacanya. Penulisnya pun aku anggap sebagai seniorku dalam hal tulis-menulis ni (namun, beliau entah kenal aku ke tidak, hehehe).

Malam semalam, sedang aku menunggu hidangan makan malam di dapur, aku sempat menjeling rancangan tivi yang sedang ditonton anak-anak saudaraku. Ketika itu rancangan yang tersiar ialah Pilih Kasih, satu rancangan realiti huburan tivi (yang tak berapa real).

Ntah apa-apa. Itulah komen aku. Terkinja-kinja. Terlalak-lalak antara lelaki dan perempuan. Pakaian sendat pengacara menambahkan kemualan aku. Sudahlah bodi tu berlapis-lapis. Nasib tak termuntah je. Rasa bagai dah tak ada kata yang dapat aku ungkapkan dengan lagak dan gaya kejahiliyahan mereka itu.

Aku mengeluarkan arahan kepada budak-budak yang sedang asyik menikmati rancangan yang tiada langsung ruh kesenian itu agar menukar siaran lain. Kalau tidak, tutup saja tivi. Perintah itu mereka turuti.

Aku berkata kepada umi yang berada di dapur, "Huh, rancangan yang merosakkan. hanya melahirkan orang yang glamer dan kaya-raya dengan duit. Tapi, muflis dengan jiwa dan jauh dari erti 'seni' yang sebenar."

Ok, marilah nikmati sajian fikrah yang aku kopi-pes dari blog Faisal Tehrani ini.


________________________________________________


Anak Wayang Dan Pilih Kasih


Maafkan saya, kalau berasa rimas dengan budaya pop murahan; khusus mencari bintang-bintang menerusi rancangan realiti di kaca televisyen. Ada produk rancangan tersebut kini, ajaib sekali, telah menjerat sahabat saya sendiri. Ia memang murah. Ia mendorong penonton menghabiskan masa yang disebut oleh Allah sebagai mereka yang rugi. Kerana tunjang rancangan murahan itu tidak ada keimanan kepada Allah, tidak ada amal soleh, sambil tidak pula berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Adakah saya anti rancangan realiti di televisyen?

Tidak. Kalau ia berguna.

Mari saya beri cadangan yang lebih bermaruah dan mendatangkan manfaat buat ummah.

Pernahkah anda mendengar Star of Science (Bintang Sains: klik
sini
)?

Ia adalah sebuah rancangan realiti televisyen anjuran Qatar Foundation for Education, Science and Community Development. Ia dihoskan oleh Khalid Al-Jumaily, dari Qatar. Program ini berlangsung dari 29 Mei sehingga 26 Jun lalu. Terdapat 5 episod waktu perdana dengan durasi masa 90 minit. 20 episod harian, dari hari ahad ke hari khamis. Rancangan ini dirakam di Doha, Tunis, Kaherah dan Beirut. Ia ditayangkan di 15 buah negara khusus negara yang bertutur dalam bahasa Arab.

Ia tentang apa?

Setiap hari penonton akan menyaksikan 16 peserta berusia antara 21 hingga 31 tahun (dari 11 negara) menerokai pelbagai bidang sains untuk mencipta pelbagai alatan yang berguna bagi kegunaan orang awam. Bidang sains tersebut melibatkan bidang fizik, kimia, kejuruteraan dan lain-lain. Mereka diberi kemudahan makmal dan bengkel. Dibantu dengan krew yang tangkas. Peserta kebanyakannya adalah pelajar sains. Mereka akan memberi penjelasan saintifik dan menunjukkan bagaimana alat yang mereka cipta itu dapat digunakan. Dalam masa yang sama, syarikat yang berminat boleh membida produk sains tersebut. Justeru mereka berpeluang memasarkan hasil ciptaan ke dunia luar. Terdapat beberapa wanita dalam kalangan peserta. Ini begitu membanggakan. Pemenang yang berjaya mendapat USD 300,000 dan barangannya tentu akan diberi perhatian oleh pelbagai firma atau syarikat yang berkenaan dengan bidang sains yang mereka terokai.

Penonton bukan sahaja bertambah pandai, peserta juga didedahkan dengan interaksi bersama saintis terkemuka yang akan menjadi juri. Antaranya ialah Dr. Sadeg M. Faris (dari Libya), Dr William Sawaya (dari Lubnan), dan tokoh pemasaran produk, iaitu Dr. Mona Zaki (dari Mesir).

Di akhir penonton akan memilih menerusi sms, di mana penonton akan memilih barangan manakah yang paling munasabah dan praktis mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Jadi, pemilihan sms bukan berdasarkan nafsu kerana muka si peserta itu jelita atau jambu.

Dua peserta terakhir ialah Bassam Jel'a berumur 22 tahun, seorang pelajar kejuruteraan robotik dari Lubnan yang mencipa alat elektronik yang berguna memainkan semua instrumen muzik Arab. Ciptaan atau inovasi kedua datang daripada Mohammad Othman Farah berusia 26 tahun, dan berasal dari Sudan. Beliau mencipta sejenis alat memeriksa kualiti minyak masak dengan menggunakan laser. Alat tersebut tentu sahaja murah dan boleh digunakan oleh tukang masak atau chef di restoran.

Pemenangnya ialah Bassam.

Mengapakah kita masih mencari lagi bintang-bintang murahan untuk memeriahi dunia pop dan hedonisme kita yang sudah cukup bobrok? Mengapakah kita kekal bangkrap idea, dan muflis kreativiti? Bagaimana ilmuan kita boleh terheret sama?

Tidakkah boleh kita mencari bintang yang membawa hasil untuk masyarakat? Dengan rancangan seperti 'Bintang Sains' tadi adik Nik Nur Madiha yang bijak misalnya dapat menunjukkan kebolehan mencipta sesuatu.

Argh, mengapakah kita yang mahu mengejar wawasan 2020 (ada sedekad lagi), masih mencari bakat anak wayang dan pilih kasih untuk membintangi filem murahan tentang mat rempit, pelacur, bohsia dan samseng?

Tidakkah menyedihkan nilai masyarakat kita hari ini?


Isabella Kembali ‘Halal’ Ke Terengganu Selepas Bertemu Tok Guru?


“Malam ni kita mesti pergi,” aku mencadang kepada Hadi.




Cadangan itu penuh pengharapan. Mana taknya, aku takleh pergi berseorangan sebab lesen motosikal masih belum hidup-hidup lagi, sudah expire. Abang-abang polis pula ramai yang berkeliaran, memberi cabaran kepada mat-minah rempit yang keluar dengan agak agresif pada malam itu sejak dari petang lagi. Yang paling utama, ada sesuatu yang membuatkan aku berhajat sangat mahu melihatnya. Hadi bersetuju dengan cadangan aku itu.




Sebelah malamnya, usai solat Maghrib dengan zaujah tersayang, aku bersiap-siap untuk keluar. Seperti yang dijanjikan, Hadi sudah pun menunggu di luar dengan motosikal elsinya. Kami juga sudah berjanji-temu dengan Apit apabila sampai di sana nanti.




On the way ke Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu, kami singgah di Surau Ladang. Bersihkan hati sekejab mendengar kuliah berceloteh daripada Ustaz Azhar Idrus, ustaz yang diminati ramai anak muda itu.




Tepat jam 9 malam kami gerak ke stadium, tempat berlangsungnya Konsert Penghargaan Search ‘Di Awan Biru’. Itulah destinasi kami. Konsert jelajah ke seluruh negara tersebut ditaja tunggal oleh Celcom Blue. Dengan harga tiket serendah RM 38, ia memang ‘berbaloi-baloi’, seperti kata Amy di dalam iklan.




Di depan pintu masuk, Saudara Isma Halil Hamzah sudah menanti para hadirin dengan celoteh ‘hidup’nya di booth Celcom Blue, berhampiran pintu masuk stadium. Suasana kelihatan tenteram. Tiada lagi ‘ekstremis’ agama yang menghalang kelancarannya sebagaimana yang telah berlaku kira-kira 21 tahun dahulu. Aku lepak di atas motosikal berhampiran pintu masuk stadium, menyaksikan gelagat umat manusia yang rindukan ‘penangan’ daripada Search. Kali terakhir kumpulan yang akan menjadi lagenda rock Malaysia itu beraksi di Terengganu ialah pada tahun 1988. Memang begitu lama.




Tepat jam sebelas malam, lagu Isabella berkumandang mengisi ruang angkasa Bandaraya Kuala Terengganu. Suara mantap daripada Amy membuatkan para hadirin terpukau. Memang tidak ubah kemerduannya seperti ketika lagu tersebut dihambat keluar dari bumi Terengganu 21 tahun yang lalu.




Terfikir pula kenapa pada tahun 1988 dahulu satu demonstrasi dan bantahan besar-besaran diadakan terhadap kumpulan Search apabila mereka ingin mengadakan persembahan mereka di Terengganu. Sedangkan hari ini, konsert mereka berjalan selancarnya dalam keadaan tenteram. Sepengetahuan aku, tiada sepatah pun kenyataan yang bernadakan bantahan yang keluar daripada pimpinan PAS terutama sayap pemudanya yang terkenal dengan kelantangan mereka.




Adakah waktu dan suasana yang menyebabkan Search dihalalkan semula kembali menghiburkan warga Terengganu? Mungkinkah bantahan tidak dibuat kerana ingin memikat hati dan jiwa raga para pengundi muda khususnya? Adakah ia adalah bahana dari kemasukan golongan ‘profesional’ yang lebih ‘menghormati pihak lain’ ke dalam PAS? Mungkin juga mereka terlepas pandang akan isu ini kerana sedang sibuk dengan pemilihan pada muktamar yang bakal menjelang? Atau ulama sudah hilang kredibilitinya? Atau isu bantahan ini hanya relevan untuk artis luar sahaja, bukan tempatan? Kenapa ya?




Kawan aku cakap, “Alaa, kan Amy dah cium tangan Tok Guru. Takleh kacau la dia.”




Tetapi, aku tak fikir yang Tok Guru merestuinya. Kerana, kelantan sudah pun membatalkan permit kebenaran konsert jelajah Malaysia itu menjejakkan kaki ke dalam negeri tersebut. Tahniah kepada Tok Guru dan warga Kelantan.




Namun Terengganu apa cerita? Mana komen bakal Ketua Dewan Ulama yang baru? Mana respon daripada Ketua Dewan Pemuda Terengganu yang baru? Mananya keluhan ibu oleh Ketua Dewan Muslimat Terengganu yang baru? Mananya statement ‘ahli profesional’ PAS di Batu Buruk? Semuanya di-masyghul-kan dengan pemilihankah?



EHEM:
Ini hanya luahan daripada akal aku yang terbatas. Bukan berniat menggugat sesiapa. Dan sebetulnya, memang tiada sesiapa yang akan tergugat dangan tulisan picasan aku ini, hehehe.





PERAK: Aduhai Pak Mufti

Salam blogawan.

Sudah kurang lebih seminggu blog ini sepi-kali dari sebarang kegiatan posting. Banyak hala sebenarnya yang perlu didahulukan. Justeru, membuatkan kepala hotak ini tidak berkudrat mengorek idea untuk disiarkan. Tetapi hari ini berlainan pula iradah-Nya. Tangan terasa gatal-gatal saja untuk mem-posting-kan sesuatu.

Baru sekejab tadi aku terbaca satu berita di Utusan Online. Berita yang begitu menarik perhatianku. Hati aku sedikit tergelak apabila selesai membacanya. Kadang-kadang timbul juga perasaan kecewa. Tapi inilah realiti dunia kan. Apa pun boleh berlaku. Hanya dengan seizin Allah, Tuhan yang maha Kuasa. Jalan sudah terbentang. Hanya berarah dua hala. Itulah saja pilihan yang ada. Pilihlah dengan bijaksana. Penglihatan, pendengaran, ilmu dan pemikiran telah disediakan sebagai alat bantu memilih antara jalan kebenaran mahupun lorong kebatilan.

Aku tak mahu mengarang panjang. Di bawah ini aku kopi-peskan berita yang aku baca itu. Mungkin kepada sesetengah orang, berita ini tiada apa-apa dan biasa. Tapi bagi aku, berita ini memang ada apa-apa dan luar biasa.


_____________________________________________________

Disalin dari Utusan Online

'Kalau menang belah dia tidak apa'

IPOH 23 Mei - Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini membidas rancangan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah.


Beliau berkata, mereka sepatutnya menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan tidak menimbulkan masalah apabila keputusan itu tidak memihak kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.


''Kenapa hendak datangkan masalah, kalau menang belah dia tidak apa tetapi apabila kalah hendak bangkang," katanya ketika dihubungi semasa berada di Mekah, di sini hari ini.


Beliau mengulas tindakan pakatan pembangkang untuk mengadakan kempen mogok lapar selama tiga hari mulai Selasa hingga Khamis depan bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.


Ketika ditanya hukum perbuatan mogok lapar dalam Islam, Harussani berkata: ''Dia punya pasal lah, tidak ada kena mengena dengan hukum Islam tetapi kalau keputusan mahkamah begitu, haramlah hukumnya,".


Zambry pula semasa diminta mengulas rancangan pembangkang itu berkata, biarlah rakyat menilai sendiri sikap mereka.


___________________________________________________________



Ehem: Antara komen MB 'haram' Perak dan Mufti 'halal' Perak itu, kelihatannya komen daripada si MB lebih Islamnya jika dibandingkan dengan komen si Mufti.

Malaya Hitam

Iklim Malaysia kian tidak menentu.
Siangnya perit dibakar matahari.
Malamnya, bebintang hilang.
Malamnya, rembulan kelam.
Malamnya, awan menghitam.
Malamnya, guruh berjeritan.
Malamnya, silau kilatan.
Malamnya, petir bersambaran.
Barangkali bala.
Atau ujian.
Kepada rakyat.
Kepada Malaya Hitam.
Satu Malaysia yang kehitaman.
Hitam kehitaman.
Gelap.
Bukan hitam manis.
Tapi kelat.
Zulumat dengan noda dan dosa.

ZzzZzZBbbbUuuuuSSssSs!!!!!!


Imej diambil dari blog amdang


SIARAN BLOG INI TERGENDALA!!!
Ada beberapa tugasan tertunggak
yang perlu dibereskan...
Juga berkabung menangisi zulumat
yang menyelubungi langit Malaysia kini.

Rehlah Ukhuwah: Terima Kasih Buat Semua


Nota:

  • PERMAYA adalah singkatan Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
  • Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada gambar



Alhamdulillah, akhirnya apa yang dirancanakan dapat berjalan dengan lancar dan jayanya. Terima kasih diucapkan kepada sahabat-sahabat yang rela meluangkan waktu emas masing-masing demi untuk merealitikan program yang julung-julung kalinya ini. Demi atas nama sebuah kesatuan dan ukhuwah. Demi menjana hari depan generasi adik-adik. Dan demi untuk menjunjung amanah daripada generasi terdahulu. Ya, semoga ia terhasil.



“Ingat, generasi kita adalah dari usaha abang-abang terdahulu, dan generasi sekarang (adik-adik) adalah atas usaha kita yang memikul amanahnya...” Itulah antara petikan motivasi daripada Ust. Fazali, mantan Presiden PERMAYA sewaktu sesi ucapan mantan-mantan presiden dilangsungkan.


Rehlah Ukhuwah; Mengimbau Memori Yaman ini telah disertai oleh 20 orang lepasan pelajar Yaman. Masing-masing mereka dari Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Kuala Lumpur, dan Johor. Yang Perak dan KL datang dengan bas, yang Johor pula datang menaiki motosikal. Penuh mujahadah. Itulah contoh semangat dan kemahuan yang diperlukan untuk membina semula wahdatul fikr dalam membawa ruh perjuangan dan agenda dakwah masakini.



Kami berkumpul di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah atau nama komersilnya ‘Masjid Terapung’ di Kuala Ibai sebelum bertolak secara konvoi ke tapak perkhemahan pada jam 9.30 pagi. Konvoi ini melibatkan empat buah motosikal, tujuh buah kerata, dan dua pancuan empat roda.



Dalam perjalanan, kami terpaksa berhenti kira-kira lima belas minit akibat sekatan jalan raya oleh abang polis peronda. Mengikut telahan, kemungkinan sekatan itu diadakan untuk mencari motosikal yang hilang. Kami turut disoal-siasat. Tetapi pihak polis melayan kami dengan baik dan tidak mensyaki apa-apa terhadap kami. Namun begitu, sepucuk surat 'cinta' terpaksa juga dilayangkan kepada salah seorang daripada kami kerana tidak membawa roadtax motosikal milik abangnya.


Kami meneruskan perjalanan. Kawasan hutan Belukar Bukit kami jelajahi sudah hampir ke destinasi. Di satu selekoh sewaktu menuruni bukit, tiba-tiba sesuatu yang tidak diingini telah berlaku. Seorang daripada sahabat kami yang menunggang motosikal hilang kawalan disebabkan kelajuan menuruni bukit lalu terbabas, terseret ke kaki lima jalan, dan akhirnya melanggar penghadang di tepi jalan.



Aku yang betul-betul berada di belakangnya terus memberhentikan motosikal dan meluru ke arahnya untuk memberi bantuan yang perlu. Keadaannya tidak begitu parah, cuma mendapat sedikit luka kecil serta calar-calar di lengan dan kaki. Motosikalnya pula mengalami sedikit kerosakan, tetapi masih dapat berjalan dengan baik.


Kami sampai ke tapak perkhemahan kira-kira jam sebelas pagi. Terlewat dari jadual asal kerana beberapa mehnah di perjalanan. Setelah mengenal pasti tempat yang bersesuaian, kami terus memunggah barang. Memasang khemah dan juga bahagian dapur. Selesai semua, kami bersiap untuk solat Jumaat. Khatib pada hari tersebut ialah Ustaz Mohd Khalil. Selepas solat Jumaat, slot taaruf diadakan sementara menanti hidangan tengah hari daripada chef Syed Azwan.


Pada sebelah malamnya pula, bermula selepas solat Maghrib berjamaah, slot Bicara Malam yang disampaikan oleh Ustaz Haji Amin diadakan. Memandangkan beliau adalah lepasan pelajar Yaman yang baharu sahaja pulang ke tanah air, maka isi ucapan beliau berkisar seputar kehidupan di Bumi Iman dan Hikmah itu. Dalam ucapannya, beliau menyentuh perihal PERMAYA sendiri, usaha untuk mencari dana, masalah pelajar yang timbul, berkenaan pelajar muslimat, dan juga perancangan untuk menubuhkan alumni Yaman di Malaysia.


Setelah itu, moderator majlis Saudara Saifullah Hussin menjemput tiga orang mantan Presiden PERMAYA yang hadir pada rehlah kali ini untuk memberi ucapan ringkas. Masing-masing mantan presiden banyak mengutarakan pandangan dan juga cadangan.


Antaranya ialah sokongan kepada usaha menubuhkan alumni Yaman, mengharapkan agar program rehlah ini menjadi pencetus kepada perjumpaan di masa akan datang, membantu meringankan permasalahan yang dihadapi oleh sahabat-sahabat di Yaman, dan juga menjadi penghubung dalam mengeratkan ukhuwah antara lepasan Yaman. Akhirnya sebelum lelapkan mata, kami menjamu selera bermenukan nasi goreng, serta ayam dan ikan BBQ.



Hampir jam 5 pagi, kami bangun untuk memenuhi slot yang dijadualkan iaitu Zikir Alam (qiamullail). Selepas solat Subuh yang diimami oleh Ustaz Mad ABC, moderator majlis Ustaz Zulkhairi (mantan presiden) mempersilakan Ustaz Fazali bagi mengisi ruang Bicara Fajar.


Antara lain ucapannya, Ust. Fazali (mantan presiden) mengimbau kembali sejarah awal penubuhan PERMAYA. Betapa susah payah generasi terdahulu berjuang sehingga PERMAYA mendapat pengiktirafan oleh Kedutaan Besar Malaysia Yaman dan juga daripada institusi pengajian di republik tersebut.



Beliau juga menegaskan agar ditingkatkan lagi kualiti ke arah yang lebih global dengan penubuhan alumni Yaman seberapa segera. Antaranya lagi, beliau menyeru agar kita melebar-luaskan lagi networking dengan melibatkan diri dengan gerakan dakwah Islamiyah di bumi Malaysia.



Kepada lepasan Yaman dari akhowat, maaf kerana program ini tidak melibatkan kalian, kerana tempat tersebut tidak sesuai untuk kaum hawa bermalam. Insya-Allah akan diadakan perjumpaan susulan pada bulan Jun nanti. Waktu itu, kami turut menjemput sahabiah-sahabiah semua.


Sekali lagi, terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan perjumpaan sulung ini. Kepada Syed Azwan (mantan presiden) dan awak-awaknya, juga rakan-rakan Al-Watary Geng yang menjadi penggerak program rehlah ini. Kepada para pen-sponsor kita. Serta kepada semua peserta yang datang dari dalam dan luar Terengganu.



Satukan fikrah Islamiyyah kita,


Dengannya akan terbina jalinan persahabatan,


Dengan persahabatan akan lahirlah ukhuwah,


Dengan ukhuwah akan terbina kesatuan,


Justeru, pasti akan tergeraklah agenda dakwah,


‘Islahnafsak, wad’u ghairak’.