- Dipetik dari http://www.permaya.org
Tahniah buat sahabatku Ust. Buniyamin Razimi selaku Pengerusi Lajnah Perhubungan & Penerangan (LPP) Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) sesi 2006/2007 bersama awak-awak ajk LPP yang telah berjaya menerbitkan risalah bulanan Al-Bayan ini.
Seperti mana difahamkan, buat permulaan, risalah ini dibahagi-bahagikan setiap satu kepada tetiap rumah atau bilik asrama para pelajar Malaysia di Sana'a.
Kata Pengerusi LPP, "Usaha menerbitkan risalah kecik ini ialah sebagai lidah (secara tak rasmi) LPP dalam menyalurkan input penting kepada seluruh pelajar Malaysia di Yaman, khususnya bagi para ahli PERMAYA di dalam versi artikel ilmiah". "Risalah Al-Bayan ini juga dengan tak langsung bertindak sebagai medium 'penerangan' buat para pembaca".
Beberapa hari lalu, saudara Pengerusi LPP yang juga tinggal serumah denganku itu meminta agar aku meringankan tangan untuk menyumbangkan barang sebaris dua bahan pada lembaran risalah Al-Bayan. Demi untuk melihat PERMAYA akan terus bermaya, aku lalu menyanggupinya walaupun tak tahu apa yang perlu ditulis.
Setelah penat mengaktifkan minda carik 'modal' untuk mengisi kekosongan Al-Bayan, akhirnya aku teringat kata-kata sahabatku itu kepadaku – "Risalah nie jugak menjadi salah satu pentas penerangan daripada pihak persatuan" – Begitulah bunyinya lebih kurang. Lalu terus terdetik di imagin aku untuk memutar semula detik waktu bagi mengimbas kembali wajah suka duka kami di tanah asing ini dalam lingkungan lima hingga enam tahun ke belakang. Ini disebabkan aku nampak kini sudah ramai adik-adik yang baru menjejakkan kaki di bumi Iman dan Hikmah ini. Semestinya mereka yang baru masih 'sifar' terhadap susun jalur 'senior' mereka di sini.
Bagi aku, sedikit 'output' daripada 'orang lama' adalah sangat bernilai di sisi mereka dalam menapak menggapai cita di tempat yang jauh dari tanahair ini. Agar apa-apa yang baik dijadikan teladan dan yang kurang sihat itu sama-sama dinyahkan dari kamus kehidupan mereka selaku penagih ilmu agung Tuhan pencipta kalam.
Pertamanya, mungkin perlu aku terangkan kat sini bahawa tertubuhnya PERMAYA pada tanggal penghujung tahun 1997 dahulu adalah untuk menjaga kebajikan para pelajar Malaysia yang makin hari semakin berbilang jumlahnya.
Antara objektif yang paling mustahak abang-abang senior kita mewujudkan PERMAYA ialah dengan nawaitu supaya kita semua hidup di sini dalam satu rumpun bangsa yang berkiblatkan Tuhan yang Satu. Berteduh di bawah bumbung yang satu. Bak kata orang-orang tua, 'bersatu teguh, bercerai kita roboh'.
Tiada yang dapat menafikan bahawa dek berbilangnya masyarakat pelajar Malaysia di sini, maka berbagai jugalah karenah, corak pemikiran ataupun fikrah, dan juga feel laku mereka. Namun bagi aku, itu semua bukan menjadi penghijab untuk kita saling bersatu kerana pada hakikatnya kita semua menuju ke sebuah perhentian yang sama, iaitulah Islam.
Walaupun wujud sesama pelajar Malaysia di sini ketidak sefahaman, malah secara praktikalnya terdapat juga mereka-mereka yang mungkin masih belum ‘sampai seru’ untuk menjadi sejuzuk dari ahli persatuan, tetapi ianya bukan menjadi pemisah antara yang berdaftar sebagai ahli mahupun sebaliknya. Kerana inilah yang diajarkan kepada kami di bilik-bilik kuliah mahupun dalam halaqah-halaqah masjid.
Masih belum luput dalam ingatanku pesanan (baca: ajaran) seorang syeikh bahawa nadi utuhnya sesebuah ummah adalah dengan perpaduan. Dengan kesatuan. Kesatuan yang semestinya berpaksikan kalam suci Tuhan dan juga panduan sabda Rasulullah SAW.
Tidak benar kalau ada suara-suara ‘liar’ yang mengatakan bahawa kehidupan kita di sini tidak harmoni, huru-hara, berbalahan, bergaduh, bermusuhan, bersengketaan, berpuak, ataupun apa-apa saja yang sehaluan dengannya. Mungkin wujud beberapa kerat individu yang terjebak dengan masalah ‘sosial’ sebegitu, namun sangat tidak adil kiranya semua masyarakat pelajar di sini ditohmahkan dengan ‘kejian’ sehodoh itu.
Sejak aku menjejakkan kaki di bumi Yaman ini, aku dapati bahawa kita saling mencari jalan dan ruang untuk terus berada sebagai sebuah pasukan. Andai ada yang terkeliru, sama-sama kita berusaha untuk diselesaikan dengan cara terbaik. “Apa guna kita ada Quran dan hadiskan?”, ujar sorang teman. Pernah tak berapa lama dulu aku berkata kepada seorang penulis muda bahawa kami di sini diajar agar mencari kebenaran, bukan kemenangan yang didamba.
Risalah Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah tidak pernah sedikit pun mengajar kita untuk hidup berpuak-puak. Hidup bersendirian. Atau ‘nafsi-nafsi’ ikut loghat Arab. Nabi sangat menegah kita untuk hidup di atas prinsip asobiyah (berpuak).
Islam menganjurkan agar kita bersatu padu. Hidup bagai sebuah binaan yang teguh. Persis sebatang tubuh yang bernyawa. Bak kata orang-orang tua lagi, “cubit peha kanan, peha kiri turut merasai kepedihannya”. Itulah yang cuba kami amalkan sesama rumpun bangsa ‘Malaysia’ masyarakat pelajar di sini. Itulah juga yang selalu diperingatkan kepada pimpinan PERMAYA mahupun kepada para ahlinya juga.
Apa buktinya? Keadaan tersebut mungkin rumit untuk dibuktikan. Mungkin juga sesetengah orang mengiakan kata-kataku ini. Cara yang mudah (bagiku) untuk membenarkannya ialah seseorang itu harus terlibat sendiri secara langsung dengan kehidupan kami di sini. Bukan ‘beruzlah’ memencilkan diri daripada kami. Ataupun hanya dengan ‘berdalilkan’ cerita mahupun hikayat yang tiada hujung pangkalnya. Tanpa usul periksa.
Setakat ini dulu daripada aku. Mungkin jikalau ada masa dan bertandang idea, aku kan sambung lagi tulisan ini...bi ‘aunilLah. Harapanku buat adik-adik generasi terkini yang baru mula berjinak dengan alam masyarakat Arab di sini agar tidak terpukau dengan apa jua suara sumbang yang mungkin saja memecahkan keharmonian ukhuwwah kita di Bumi Iman dan Hikmah ini.
Rebutlah peluang ‘kembara ilmu’ ini untuk sama-sama kita mengkaji fikrah ataupun uslub pemikiran para syeikh dan guru-guru di sini dalam membentuk sebuah kesatuan ummah yang sihat. Jauh dari pra-sangka buruk dan perbalahan. Demi untuk terlahirnya kesegaran sebuah umat Islam dan juga apa yang difirmankan “Baldatun thoyyibatun wa Robbun ghofuur”. Salam sufi...
By: aL-Watary Geng’z
Dunia
10 years ago
2 comments:
teruskan langkah perjuangan kalian.
Takbir!
Tima kasih kerna ukhti sudi menjenguk ke sini...salam perjuangan!
- anTusufi
Post a Comment