Pada malam dua minggu yang lepas Fakhrurazi (Koji) memanggil kami untuk berbincang-bincang. Kami bertemu di kedai lampu milik ayahnya, di hujung pinggiran Bandaraya Kuala Terengganu. Kami beberapa orang, Koji, saya, Hadi, Apits, Zulkhairi, dan Aiman. Semuanya bekasan pelajar Malaysia yang pernah bermain debu Yaman dalam mencari segeluk ilmu Tuhan yang luas. Kecuali Koji seorang. Beliau belum lagi ‘bekasan’ seperti kami kerana beliau sedang ber’utlah dan akan kembali ke Yaman pada bulan Oktober ini, menyudahkan pengajian beliau.
Isu perbincangan kami pada malam tersebut ialah seputar Yaman. Mengenai sahabat-sahabat di sana. Juga mengenai PERMAYA, satu-satunya persatuan pelajar Malaysia yang ‘halal’ di Republik Yaman. Koji menyarankan agar diadakan satu kutipan derma bagi menjana ekonomi persatuan kesayangan kami itu. Tapi bagaimana?
Disebabkan Koji merupakan salah seorang imam solat terawih yang bertugas di Masjid Pengadang Baru KT, kami sebulat suara dan bersetuju untuk mengadakan kutipan derma di masjid tersebut. Paling kurang, di masjid tersebut kami mempunyai tiga kelebihan.
Pertama, masjid tersebut memang sebuah masjid yang aktif dan dihadiri oleh para jemaah yang ramai pada setiap waktu. Kedua, Koji sendiri memainkan peranan yang besar kerana beliau adalah imam jemputan di masjid tersebut sepanjang Ramadhan ini. Dan ketiga, sekarang adalah bulan Ramadhan, bulan orang menjadi baik hati serta pemurah.
Bak kata Koji, “Kalau boleh, kita kena buat program ni (kutipan derma) dalam bulan Ramadhan ni jugak. Barulah dapat lebih.”
Kutipan dana
Pada hari Selasa, 15 September baru-baru ini bersamaan dengan 25 Ramadhan 1430H, kami telah berjaya mengadakan program kutipan dana untuk PERMAYA di Masjid Pengadang Baru, KT. Alhamdulillah, program ringkas tersebut berjalan dengan jayanya. Tuhan telah permudahkan gerak-usaha kami. Dia maha Pemurah lagi maha Pengasih.
Program bermula dengan solat Isyak berjemaah, solat terawih, tazkirah, dan diakhiri dengan solat witir. Pada malam tersebut solat terawih hanya dilakukan sebanyak lapan rakaat. Empat rakaat pertama diimami oleh Koji sendiri dan empat rakaat akhir diimami oleh pasangan imamnya. Di pertengahan solat terawih pula diadakan tazkirah khas bertajuk ‘Ibadah Puasa Dari Perspektif Al-Quran & Sains’ yang disampaikan oleh YM Ustaz Syed Norhisyam, pendakwah bebas yang berasal dari Kampung Paloh, KT.
Sebelum slot tazkirah dimulakan, Koji selaku Pengerusi majlis terlebih dahulu menerangkan kepada para jemaah tujuan program tersebut diadakan. Beliau turut memperkenalkan PERMAYA dan latar belakang kehidupan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Republik Yaman. Kemudian barulah beliau menjemput al-fadhil ustaz bagi menyampaikan tazkirahnya.
Permulaan tazkirah yang disampaikan membincangkan mengenai tanda-tanda kerasulan pada rasul-rasul yang terdahulu sebelum nabi Muhammad SAW seperti nabi Nuh, Musa, serta nabi Isa alaihimussalam. Tanda-tanda kerasulan itu juga dikenali sebagai mukjizat.
Pentazkirah yang juga mantan Presiden PERMAYA awal tahun 2000 itu seterusnya menyampaikan inti utama tajuk yang diamanahkan kepadanya dengan membincangkan mukjizat nabi Muhammad SAW yang antaranya masih kekal sehingga sekarang, iaitulah Al-Quran.
Turut dibincangkan ialah mengenai pelaksanaan ibadah puasa yang diperintahkan di dalam Al-Quran. Jelas bahawa tuntutan ibadah berpuasa selain menjadi bukti kehambaan kita kepada Allah SWT, ia juga mempunyai faedah yang sangat besar kepada pengamalnya. Terutamanya dari sudut kesihatan. Ia terbukti dan diperakui oleh kajian-kajian saintifik klinikal.
Akhirnya, pentazkirah sekali lagi menjelaskan kepada jemaah objektif kutipan dana ini diadakan. Beliau sempat mengimbau kembali bagaimana bantuan daripada dana pendidikan negeri Terengganu yang disalurkan kepada anak Terengganu di Yaman dari tahun 2001 – 2003 telah ditarik balik oleh kerajaan negeri tanpa alasan yang munasabah.
“Kepada mereka yang bersama merancana kemenangan kerajaan negeri pada Mac 2004 yang lalu harus bertaubat, pintu taubat sentiasa terbuka buat kalian.” Seru Ustaz Syed di akhir ucapan beliau.
Ya, mereka harus bertaubat dan mohon keampunan kerana telah menarik (baca: merompak) hak kami tanpa memberi sebarang alasan yang bertepatan dengan agama. Ingat, di hari pengadilan esok tiada seorang pun yang akan terlepas dari pandangan-Nya.
Kepada semua yang terlibat dengan program ini terutamanya pihak Masjid Pengadang Baru KT yang sedia menghulurkan kerjasama, diucapkan setinggi penghargaan. Usaha kita ini pasti akan mendapat ganjaran kebaikkan yang berlipat ganda daripada-Nya yang maha Pemurah dan maha Pengampun.
Untuk makluman semua, kutipan dana PERMAYA pada malam tersebut hampir mencecah RM10,000. Terima kasih Tuhan. Ku pulangkan segala kesyukuran ke hadrat-Mu yang maha Kaya lagi Pemurah. Salam-selawat buat rasul akhir pilihan-Mu, Muhammad SAW.
Terkini: Kutipan keseluruhan pada lima hari akhir di bulan Ramadhan hampir-hampir RM15,000.
Nota: PERMAYA = Persatuan Pelajar Malaysia Yaman
0 comments:
Post a Comment