30 Oktober 2009, 11PM
Malam ini aku keluar ronda-ronda seorang diri. Malam ini malam Sabtu. Masih dikira malam minggu buat warga Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya? Apa yang ada pada batang tubuh bandaraya ini? Kenapa ia dibangga-bangga serta dikejar-kejar oleh segolongan manusia?
Biasanya malam-malam begini aku akan keluar bersama tim partner aku, Ady & Apits. Berbincang-bincang apa-apa yang patut untuk mencipta kemajuan diri. Tapi malam ini mereka tiada. Mereka ke Kemaman, menyertai program anjuran pemuda.
Malam ini aku hanya bertemankan mini komputer punyaan Apits. Nawaituku hanya untuk menyiapkan sebahagian dari tulisan yang masih terbengkalai. Namun niatku itu terbengkalai juga. Belum pun sampai setengah muka aku mengarang, aku berhenti. Kerana, terpanggil untuk membuat tulisan ini.
Sambil menaip dan menggali idea, aku dihiburkan dengan dendangan muzik dari corong suara headphone yang ku kepit di kepala. Jam baru menunjukkan pukul 11:27 minit malam. Ya, barangkali malam masih muda. Bukan padaku, tetapi kebarangkalian itu mungkin bagi diri anak-anak muda yang sedang melata itu. Aku sekarang berada di Taman Pesisir Air. Berhampiran hotel Felda, Kuala Terengganu.
Sebentar tadi hujan turun renyai-renyai. Mereka yang berkeliaran di taman ini masing-masing mengangkat kaki. Takut benar kepada basah. Sekarang cuaca cerah kembali. Mereka yang lain pula seorang demi seorang datang menghiasi panorama taman ini. Ada yang menaiki motosikal dan ada juga yang berkereta. Lelaki dan perempuan, itu satu kepastian.
Antara mereka ada yang memancing. Ada yang berkepit-kepit (membikin ‘air’) kat atas motor. Ada yang lepak-lepak di wakaf-wakaf taman yang terbina cantik. Oh ya, tidak berapa jauh dari tempat aku melabuhkan kereta, ada sekumpulan anak muda-mudi bersuka-ria menyambut hari ulang tahun (barangkali: kerana mereka sedang menunggu untuk memotong kek yang ada di sisi mereka).
Sekejap lagi aku mahu ke Pantai Batu Burok pula. Melihat apa yang terhidang di sana. Tetapi tulisan ini aku akan selesaikan di sini kerana bateri mini komputer ini sudah lemah. Sudah tidak mengizinkan lagi untuk berlengah-lengah.
Sejenak terfikir; kepada siapakah mahu dipersalahkan dengan keadaan yang sedang ku saksikan ini? Atau ianya bukan lagi suatu kesalahan? Alah bisa, tegal biasa kan? Sudah tidak terasa apa-apa lagi. Puas si Iblis puas dengan gelagat anak Adam dan kelakuan anak Hawa ini. Puncak nafsu mengatasi segalanya.
Aku tidak suka menyalahkan mereka itu. Kerana apa? Kerana itulah naluri mereka. Mereka mungkin jauh dari didikan. Didikan diri. Didikan ibubapa. Didikan kaum keluarga. Didikan sanak saudara. Didikan sahabat handai. Didikan masyarakat. Didikan pemerintah.
Aku sudah bosan dengan keadaan begini. Mana tanggungjawab mereka yang aku sebutkan di atas. Tanggungjawab tersebut harus dipikul bersama. Ia sangat tidak berkesan dan membazir jika hanya diusahakan oleh sesetengah pihak sahaja. Lakukan tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.
Mereka yang berilmu pun mampu disekat memasuki masjid apabila tiadanya tauliah kan? Takkanlah anak muda kita yang berkepit-kepit, berfoya-foya di taman, yang berpakaian bagai mahu terjeluak buah dada, dan yang bagai nak tersembul lurah di celah peha tidak mampu kalian cegahkannya?
Itu semua tidak mengganggu-gugat takhta kamu bukan? Ya, itulah sebabnya. Usah banyak berdalih lagi. Setiap dosa dan noda yang mereka anak muda ciptakan itu kalianlah yang menanggungnya. Ya, kalianlah penanggungnya tanpa berkurangan sedikit pun dosa mereka itu.
Keterlaluan? Habis, bagaimana lagi harus aku meluahkannya?
Jam sekarang sudah menunjukkan pukul 12 malam.
0 comments:
Post a Comment