Oleh: anTusufi
Muhammad SAW merupakan seorang nabi dan rasul yang diutuskan Allah kepada seluruh umat manusia di akhir zaman ini. (“Katakanlah (wahai Muhammad), Hai umat manusia! Aku diutuskan Allah kepada kamu seluruhnya”) – al-A’raaf; 158. Tugas Baginda adalah untuk menyampaikan risalah kebenaran Islam bagi diguna-pakai serta diamalkan secara syumul dalam segenap aspek dan gerak kerja kehidupan manusia.
Inilah yang dikhabarkan kepada kita oleh Tuhan di dalam kitab suci-Nya, yakni Al-Quranul Karim. Di samping itu, Allah SWT juga telah mengingatkan kepada Rasul-Nya dan juga kepada kita secara amnya bahawa untuk memikul tugas membawa risalah Islam yang sinonim dengan istilah dakwah ini memerlukan satu pendekatan, langkah, cara, ataupun uslub yang baik dan penuh berhikmah.
Sebagaimana firman Allah Taala yang bermaksud:
(“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik...”) – an-Nahl; 125.
Begitulah pesanan Tuhan yang maha Bijaksana sebagai ingatan dan panduan kepada kita dalam menunaikan ibadah dakwah. Uslub yang baik akan dapat memikat hati para mad’u (orang yang didakwahi) untuk menerima kebenaran serta keindahan ajaran Islam.
Adapun sekiranya kita berdakwah dengan cara yang bertentangan dengan kehendak Islam seperti mengamalkan sikap asobiyyah (berpuak), kata-mengata, egois & takbur – merasakan dirinya saja yang betul. Maka ia akan menjadi pendinding spiritual di antara para pendakwah dan mad’u.
Saluran dakwah
Tidak syak lagi bahawa usaha penyampaian dakwah ini perlu, malahan wajib disalurkan dari segenap arah dan sudut bagi memastikan semua golongan mad’u akan mendapat ilmu Islam serta input sebenar daripada pendakwah. Saluran melalui pusat pengajian, kuliah, ceramah, tulisan & risalah, majalah, akhbar, media elektronik, dan yang sewaktu dengannya.
Kesemua bentuk saluran dakwah yang bertunjangkan ketaatan kepada Allah ini juga adalah sangat dihajati oleh para pendakwah sebagai senjata bagi menyangkal segala lemparan fitnah dan niat busuk daripada puak-puak yang menentang Islam. Di samping berterusan mendekatkan diri dan berdoa kepada yang Esa.
Namun, kita haruslah sentiasa berwaspada dalam menggunakan setiap saluran tersebut. Kerana kadang-kadang para pendakwah mungkin akan tergelincir daripada toriq (jalan) sebenar dakwah Islamiah, lalu terikut-ikut dengan rentak musuh.
Dakwah kita
Sebagai contoh terhadap apa yang dinyatakan ini, suka penulis kongsi bersama para pembaca sekalian satu kisah benar yang mungkin tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun.
Pernah datang seorang teman, lalu melahirkan rasa kecewanya kepada penulis terhadap satu paparan bergambar berbentuk ‘sindiran’ yang disiarkan dalam sebuah laman web rasmi salah satu daripada kumpulan yang menganggap diri mereka sebagai ‘pendukung kebenaran’.
Pihak pentadbiran website tersebut telah menyiarkan sekeping gambar yang menunjukkan gelagat seorang pimpinan yang tak ‘sebulu’ dengan mereka sedang mengayuh beca. Di bawah gambar itu pula tertera sepatah-dua sindiran yang mengejek raut wajahnya ketika mengayuh beca.
Itulah di antara uslub yang ditonjolkan oleh sesetengah ‘orang kita’ secara sedar ataupun tidak di dalam menyampaikan mesej dakwah mereka. Terdapat juga segelintir daripada penceramah yang mungkin dek kerana hammaasah (semangat) yang tak dapat dikawal, menggunakan uslub yang sama.
Kutuk-mengutuk, ejekan, dan hinaan yang tidak berpatutan ataupun sindiran yang mungkin agak keterlaluan semacam sudah sebati di dalam ‘dunia’ dakwah kita. Malahan, tanpa disedari kata-kata berbaur fitnah juga turut ‘dipraktikkan’.
Wajarkah uslub sedemikian untuk para pendakwah amalkan? Adakah ini cara pendekatan dakwah yang kita warisi daripada junjungan mulia SAW? Atau sudah tiada ‘modal’ sangatkah untuk kita menyatakan yang haq itu benar dan yang batil itu salah?
Mengapa mimik muka yang harus kita persalahkan? Kenapa sifat anugerah Tuhan yang perlu kita pertikaikan untuk menyatakan kebenaran?
Itu hanyalah salah satu di antara bermacam-macam ‘karenah’ lagi yang diamalkan oleh sebahagian para pendakwah dan tak perlulah penulis nyatakan dalam tulisan yang ringkas ini.
Dakwah dan hikmah
Nabi Muhammad SAW menggunakan uslub yang penuh berhikmah di dalam menjalankan tugas dakwah. Sehinggakan pernah satu ketika Baginda menolak pelawaan Jibril a.s untuk menghempaskan bukit kepada masyarakat Tooif, bahkan Baginda mendoakan pula kepada mereka mudahan mendapat hidayah-Nya. Sedangkan pada masa itu Baginda bersama para sahabat r.a teruk diejek, dihina, serta dilempari dengan batu-batu hingga mengalir darah dari badan Baginda.
Dalam menunaikan mesej dakwah Islamiah, para nabi, sahabat-sahabat, dan juga salafu soleh menyampaikannya dengan seruan Islam dan iman kepada Allah SWT serta mengamalkan apa yang diajar oleh Islam. Jauh dari pra-sangka buruk dan hina-menghina kerana itu semua datangnya daripada hasutan syaitan, musuh umat manusia.
Untuk mencapai maqam ‘hikmah’ itu pula, para pendakwah perlulah menyiapkan diri mereka dengan ilmu Islam yang benar. Bahana yang besar akan menimpa mereka apabila dakwah yang diuar-uarkan itu berjalan tanpa panduan ilmu.
Agaknya apakah reaksi para mad’u (mereka yang didakwah) apabila kita menggunakan uslub sedemikian (ejek-mengejek) untuk berdakwah kepada mereka? Dapatkah mereka menerima apa yang kita dakwahkan? Berkesankah dakwah tersebut?
Bagi penulis, konsep pendekatan uslub sedemikian akan menjadikan gerakan dakwah sebagai low class, kosong, dan tidak berisi. Malah, berkemungkinan besar akan menjauhkan lagi mereka daripada kebenaran Islam. Kerana setiap individu mempunyai perasaan, pendapat, dan ego masing-masing.
Mungkin hati kecil mereka dapat menerima kebenaran dakwah kita. Tetapi disebabkan kemarahan serta kebencian mereka dengan sikap dan pendekatan para pendakwah, mereka akan terus dengan dunia ‘jahiliyah’ mereka. Apabila fenomena ini terjadi, kepada siapakah harus dipersalahkan?
Ingatlah, sesungguhnya ‘role model’ yang perlu para pendakwah contohi ialah hanya pada diri Rasulullah SAW.
(“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik; (iaitu) bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat...”) – al-Ahzab; 21.
Mudahan artikel yang ringkas ini dapat diambil manfaat bersama demi untuk menggerakkan jentera dakwah dalam meng‘ESA’kan peradaban ‘tauhid samawi’ di muka bumi ini. Sekian.
Dunia
10 years ago
0 comments:
Post a Comment