Oleh: anTusufi
Lima tahun sudah berlalu title ‘irhabiyyun’ ataupun terrorist digunakan secara berleluasa kepada golongan yang berjuang untuk meninggikan panji Tauhid Ilahi oleh puak-puak yang iri dengan agama Islam yang dikepalai oleh kuasa besar dunia. Malang, terdapat juga di kalangan umat Islam sendiri yang terikut-ikut dengan ‘istilah’ yang sengaja diadakan itu.
Tidak dinafikan bahawa setiap umat dari mana-mana agama tidak terlepas daripada mereka-mereka yang taasub, melampau, dan membuat kekacauan serta keganasan. Termasuk juga di kalangan orang Islam. Tapi itu bukan bermakna sebarang tuduhan liar sewenangnya perlu dituding kepada Islam. Kerana Islam sendiri tidak menghalalkan apa jua bentuk kegiatan keganasan atau melampau.
Semakin hari kian banyak kisah-kisah, perbualan-perbualan, dan juga penjelasan-penjelasan jijik yang diuarkan bagi mengatakan bahawa Islamlah pelopor keganasan. Demi untuk mengaut keuntungan berlipat, atau mungkin disebabkan kebencian yang teramat, para penggiat seni terutamanya penggiat dunia perfileman telah bertambah giat dalam menghasilkan pelbagai filem yang secara langsung menggambarkan bahawa Islamlah punca segala keganasan dan perlu diperangi oleh masyarakat dunia.
Kita selaku umat Islam semestinya tidak terpukau dengan ‘sihir’ yang ditarikan oleh pihak musuh. Pengganas tetap pengganas, dan Islam tak pernah merestui kegiatan mereka itu. Bukan Islam yang harus dipersalahkan. Tetapi para pengganas itulah yang sewajibnya kita hapuskan.
Beberapa hari lalu aku ‘ter’tonton satu filem yang diterbitkan oleh sebuah syarikat perfileman Bollywood. Entah kali keberapa aku telah menonton filem seumpama ini. Termasuk juga filem-filem dari keluaran ‘Malaywood’. Filem tersebut mengisahkan bagaimana seorang anggota terrorist ini melakukan tugas perisikan di ibu kota India iaitu Bombay, dan beberapa siri perisikan lagi di negara-negara Asia Tenggara. Di samping tidak lari dari babak percintaan yang ‘tangkap tangis’ sebagaimana kebiasaan filem-filem Bollywood yang lainnya.
Walaupun dengan jalan cerita yang agak menarik, ditambah pula dengan lagu-lagu sensasi ‘rock cintan’ Hindustan yang mendayu, tetapi ianya tetap melahirkan kemualan di sudut hati orang seperti aku kerana lagu soundtrack filem itu tak kering dari menyebut zikrulLah yang maha Suci. Sekali lagi pembikinan filem tersebut melahirkan penghinaan terhadap Islam dan umatnya.
Digambarkan seolah-olah para pejuang kebenaran Islam atau apa yang lebih masyhur dengan panggilan mujahidin itu lebih sinonim dengan feel keganasan, dahagakan pembunuhan, dan kehidupan mereka penuh bergelumang dengan dosa-dosa yang tidak mungkin diredhai oleh mana-mana ajaran agama pun di dunia ini.
Sebagaimana yang telah aku katakan, Islam tidak pernah merestui perbuatan terkutuk itu. Malah agama Islam turut mengeji kelakuan yang sedemikian rupa. Mereka bukanlah termasuk di antara para pejuang kebenaran. Sesungguhnya Islam adalah merupakan agama al-adaalah, tasaamuh, wal aman. Agama keadilan, bertoleransi, serta agama yang merintis keamanan sejagat. Kenapakah ‘nama’ Islam yang mesti dipersalahkan?!
Dunia
10 years ago
0 comments:
Post a Comment