Seingat aku, aku dilahirkan lebih lima kurun yang lampau. Maknanya, umur aku dah hampir satu alaf (mengikut pengiraan aku). Namun, aku tidak tahu secara tepat berapakah usia aku sebenar. Yang jelas, aku sudah terlalu tua. Tubuhku sudah kabur. Lembaran kertas yang aku diami dah kekuningan. Sudah terlalu uzur. Sebahagiannya telah pun dimamah anai-anai.
Dulu, tuanku seringkali menggunakanku. Sebuah surau usang. Di situlah dia mengadap seorang lelaki tua yang berjubah dan berserban. Tuanku menggunakanku untuk mencatit apa-apa yang perlu di dada note booknya. Lelaki tua itu tuanku memanggilnya dengan gelaran guru. Ada sejemput janggut putih di dagunya. Rupa-rupa lelaki itu seorang guru agama.
Aku dapat mengecam orang tua itu sebagai guru agama kerana ketika mengaji dengannya, tuanku selalu menyusunku sebiji demi sebiji sehingga menjadi satu perkataan dan barisan-barisan ayat. Aku menjadi barisan ayat yang menerangkan berkaitan ketuhanan. Hukum hakam agama. Pernah juga tuanku mengejaku menjadi nas-nas suci Al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.
Di waktu itu, aku rasa amat bahagia. Mungkin perasaan begitu muncul disebabkan aku selalu diguna pakai untuk mengenal Tuhan yang Esa. Mendalami agama yang agung.
Saat itu, boleh dikatakan segenap lapisan masyarakat menggunakanku. Fizikalku berbentuk seakan huruf-huruf yang tersusun rapi di dalam Al-Quran. Tapi yang masih aku hairan sampai sekarang ialah tuanku menulisku dalam bahasanya. Bahasa Melayu lama. Tidak sebagaimana huruf Al-Quran yang berbahasa Arab.
Sesuatu yang menakjubkan aku. Oleh kerana masyarakat di zaman itu menggunakanku di dalam tulisan mereka, mereka begitu mudah untuk mengenal dan membaca ayat-ayat Al-Quran serta mendalami ilmu-ilmu yang termaktub di dalamnya. Anak-anak kecil telah pun khatam Al-Quran. Bahkan setengahnya sudah menghafaz kalam Allah itu.
Kalau tak silap aku, selepas kedatangan para penjajah dari Eropah, mereka bertungkus-lumus untuk menghapuskanku dan gantikannya dengan huruf serta tulisan kayak mereka. Orang cakap, mereka berbuat begitu adalah untuk melemahkan masyarakat negaraku dalam bacaan Al-Quran dan memahami selok-belok agama. Pada mereka, sekira dibiarkan terus masyarakat menggunapakaiku, dibimbangi mereka akan ditentang kerana masyarakat sudah memahami kehendak Al-Quran.
Kini diriku sudah tak terjaga. Aku tersimpan dalam kotak bersama kitab-kitab agama milik tuanku. Sudah berhabuk. Tuanku pula telah lama pergi kepangkuan Ilahi. Masyarakat tidak lagi menggunakanku. Mereka terlalu sibuk dalam 'kemodenan' gelar mereka. Sungguh berjaya perancangan penjajah durjana itu. Ramai juga yang terangkak-rangkak ketika membaca Al-Quran. Semua mereka telah menggunakan tulisan dan loghat penjajah dalam hidupan seharian.
Aku tidak sanggup lagi hidup di zaman ini. Aku sudah dipinggirkan. Aku tidak lagi diendahkan. Kecuali beberapa kerat manusia yang masih memperjuangkanku. Aku lebih rela mati daripada berkeadaan sebegini.
Kepada para guru, aku mengucapkan ribuan terima kasih kerana dengan mengajarkanku, mereka mengenal Tuhan yang Satu. Tidak lupa juga terima kasih aku ucapkan kepada guru dan cikgu-cikgu di zaman ini kerana masih ada lagi yang memperjuangkanku demi agama, bahasa, bangsa dan negara. Terima kasih cikgu. Selamat Hari Guru.
....................................................................................................................................
Guru : Cikgu Syamsul (Terima kasih di atas tunjuk-ajarmu)
Sekolah : Sek. Keb. Seri Nilam, K. Terengganu.
By: anTusufi
2 comments:
bile bercakap mengenai perkara ini, jiwa achik akan rase tidak tenteram bile memikirkan betapa rosaknya masyarakat melayu islam sekarang ini apabila tulisan jawi dihapuskan.seperti yg sufi cakapkan...kesan2 yg berlaku, amat menyedihkan buat kita sebagai seorang muslim yg mana islamnya hanya tinggal pada nama sahaja...nauzubillah min zalik.
manusia, khususnya umat Melayu harus beringat...Gahnya Melayu kerna Islam...macam jugak mulianya ahlulbait tu kerna mengikuti jejak langkah moyang mereka, SAW....tanpa sume tu, terhinalah kita....cukup la retorik bahawa Melayu itu Islam dan Islam itu melayu....itu bukan satu realiti utk dibanggakan...tima kasih akhi achik :)
Post a Comment