Salmah Mat Husain
Tue | Dec 11, 07 | 7:17:33 pm MYT
KOTA BHARU, 11 Dis (Hrkh) - Pameran Mukjizat Al-Quran 2007 yang julung kali diadakan bermula hari ini sehingga 16 September ini mengetengahkan pelbagai kelebihan kitab suci itu.
Orang ramai termasuk pencinta Islam, penganalisis dan berbagai lagi golongan profesional berpeluang menyaksikan sendiri pameran itu yang diadakan di Balai Islam, Lundang.
Pengarah program, Dr Rosli Alaani Shekh Abdul Kader berkata, program anjuran perpustakaan Dar Nur Al-Zahra dengan kerjasama kerajaan negeri itu akan dirasmikan Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 13 Disember ini jam 3 petang.
Menurutnya pameran itu terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan umur.
"Program ini dijangka mendapat sambutan terutama penglibatan pelbagai pihak yang mahir dalam bidang al-Quran termasuk syarikat Teguh Iman Resources yang ditubuhkan anak murid Sheikh Abdul Majid Zandani".
"Selain itu, seorang lagi tokoh besar dan antara pengasas ilmu sains dan mukjizat al-Quran, Dr Danial Zainal Abidin, yang banyak menulis buku mengenai Quran dan sains terbabit sama," ujarnya di sini.
Selain itu turut diadakan konsert nasyid dan dikir barat Islam bakal menampilkan kumpulan Raihan dan pendikir tersohor Kelantan, Jen Endoro. Aktiviti lain termasuk pertandingan bercerita kanak-kanak, demontrasi menulis khat dan jawi serta bicara ilmu. - mj
0 comments:
Post a Comment