SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI

Puisi Buat Bonda

(Istimewa buat ibunda tercinta & kepada kaum ibu seluruhnya)

Terdetik di hati ingin bersua
Menatap wajah nan bersih mulia
Yang kian tua dimamah usia

Di balik kedut wajah itu
Tertanam 1001 kisah hidup
Gembira..sedih..suka dan pilu

Ranjau dunia tabah diharungi
Anak dididik serta disayangi
Kasih disemai setulus hati

Engkaulah bergelar isteri sejati
Pengorbanan mu selayak ibu mithali
Walau tanpa suami di sisi
Insan agung bertakhta di hati
Yang telah lama pergi
Menyahut seruan dari Ilahi

Setinggi penghargaan buat mu ibu
Mengasuh diriku tak pernah jemu
Mencurah kepadaku selautan ilmu
Mengenalkan daku Tuhan yang Satu

Di akhir tari pena aku memohon
Mudahan engkau dirahmati Tuhan
Ampunkan segala dosa dan keterlanjuran
Kesedihan mu yang pernah ku lakukan
Kemarahan mu yang pernah aku undang

Aku sedar...
Hanya dengan redha mu
Akan ku kecapi anugerah Tuhan.



By: anTusufi

Memperingati Kelahiran Baginda SAW

- Perutusan sempena Maulid Nabi...dipetik dari laman www.permaya.org

Satu kelahiran. Kelahiran seorang anak yatim yang begitu istimewa. Tersembunyi selaut kehebatan. Terkandung seribu kerahmatan. Terjunjung di batu jemala segunung amanah. Tersirat padanya sejuta amar ketentuan daripada ‘Raja’ tujuh petala langit.

Tanggal dua belas Rabiul Awwal Hijriah. Sewaktu tertitisnya titik embun di pagi Isnin. Ketika selamatnya Baitullah, pusat kesatuan umat Islam dari serangan perajurit keangkuhan Abrahah pada tahun Gajah. Kala itulah lahirnya dia. Junjungan mulia penyudah semua rasul, juga digelar khatimul anbia’. Pembawa, atau layak sebagai penyambung risalah kebenaran warisan turun-temurun para nabi serta rasul-rasul. Risalah Islam.

Junjungan besar Nabi Muhammad bin Abdullah SAW. Kelahirannya begitu diagungkan. Segenap lapisan melampaui sempadan bangsa meraikan apa yang dikenali sebagai ‘Maulid Nabi’. Disambut pula pada setiap tahun. Hanya sebagai perayaan memperingati kelahiran Baginda SAW.

Pabila serata ceruk dunia menyambut Maulid Nabi, saya yang diamanahkan untuk menulis perutusan ini, mewakili sidang pimpinan serta seluruh warga Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) juga ingin mengambil kesempatan bagi mengucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul kepada semua pembaca, umat Islam, dan para pejuang risalah Islam di seluruh dunia.

Siapakah Muhammad bin Abdullah? Mengapa kelahiran Baginda pula begitu diraikan, lebih-lebih lagi oleh umat masa kini?

Mereka mengatakan bahawa tujuan diadakan sambutan Maulid Rasul adalah sebagai memperingati Baginda. Bagi mengenang jerih perih pengorbanan Baginda dalam menyebarkan agama Islam. Juga sebagai tanda kecintaan umat kepada Baginda Rasulullah SAW.

Alasan sedemikian tak perlulah kita perkecilkan. Usah diperlekehkan. Kerana dengan mencintai Baginda, memberi makna mencintai Allah SWT juga. Itu satu tuntutan. Dengan memperingati lalu mengenang onak duri perjuangan Baginda tika menyampaikan risalah Islam pula akan dapat menyuntik semangat juang dalam diri untuk kita terus menyambut warisan amanah tersebut daripada Baginda. Itu suatu keperluan.

Muhammad ialah seorang yatim yang ‘ummi (buta huruf). Keturunan Baginda terkenal sebagai keluarga baik-baik. Para pembesar Makkah Quraisy merupakan kabilah Baginda. Baginda sendiri pula masyhur dengan akhlak dan budi pekerti tinggi. Gelaran mulia ‘Al-Amin’ (Yang Dipercayai) disandang oleh serata kaum Arab kepada Baginda.

Seorang yang berlemah lembut. Mudah didekati dan senang pula memberi kemaafan terhadap kesilapan seseorang. Segak dan tampan, mungkin bergaya juga. Senyumannya bagai perhiasan diri, amat murah diberikan. Menyeru kepada perpaduan insan. Bercita-cita tinggi juga berpandangan jauh. Begitulah sejuzuk daripada keperibadian insani yang menyaluti kriteria Baginda.

Al-Quran memberitakan bahawa Baginda dinobat sebagai nabi akhir zaman. Penyampai khabar berita gembira, dalam saat yang sama Baginda juga merupakan ‘naziiran’ (pemberi ingatan) kepada manusia. Baginda adalah pembawa rahmat langit buat seluruh umat manusia. Seluruhnya. Tanpa mengira rumpun bangsa, warna kulit, jantina, loghat bahasa, asal salasilah, ataupun sempadanan geografi.

Khabar berita ‘kebahagiaan’ kepada sesiapa yang menyahut iktiqad jua pengamalan risalah Islam yang dibawa. Pengamalan yang bukan hanya sekadar penghayatan. Pengamalan dalam segenap aspek kehidupan duniawi ukhrawi. Pemberi amaran ‘sengsara’ pula buat mereka yang ingkar, berpaling walau seinci daripada seruan Islam yang dibawa.

Dalam pada kita asyik dengan ‘kemabukan’ perayaan demi perayaan Maulid Rasul ini, saya menyeru kepada diri sendiri dan semua agar jangan sesekali kita cuba melupai atau berpura tidak mengingati setiap patah ajaran Tuhan melalui kalam lisan Baginda Rasulullah SAW. Yang termaktub ‘tanpa tertinggal’ pada helaian demi helaian Kitab suci Al-Quran dan juga hadis Baginda SAW.

Jangan hanya kita lantang dalam ‘perjuangan’ membina kecintaan kepada Baginda, atau dengan mengadakan keramaian Maulid Rasul, sedangkan inti pengamalan Islam secara menyeluruh yang diperjuangkan oleh Baginda Rasulullah bersama para sahabat r.a kita abaikan pula. Takut nanti kita dicop Tuhan serta semua penghuni langit dan bumi dengan penipu, bermuka-muka, Munafiq, serta apa jua yang menyerupainya. Yang mana, pada penghujungnya dibimbangi akan menjauhkan kita dari menjadi penghuni Syurga, lalu dengan bengis dihumbankan kita ke lautan api Neraka-Nya yang maha dahsyat. Salam perjuangan, sekian.



Syed Ahmad al-Edrus,
Setiausaha Agung,
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA),

Sesi 2006/2007.