SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI

Gadis Pak Tua (satu kisah benar)


Oleh:
Ahmad Yamani


Mereka datang khabarnya sebagai pelabur, bersama melangkah menjana kekuatan ekonomi negara. Tetapi hakikatnya merekalah selaku pelebur.

Mereka datang kelihatannya mahu menjadi seorang pelajar, mahu menggali khazanah ilmu warisan bangsa. Tetapi tersingkap jua sikap biadap dan kurang hajar.

Mereka datang ke mari kononnya demi membantu pembangunan, penuh bergaya dalam mencetuskan idea. Tetapi mereka jugalah penyumbang umat menjilat nafsu kebinatangan. Penuh kerakusan. Tanpa selahzah pun penimbangan ruh keimanan.

Mereka datang sebagai peniaga, pedagang, pekerja, buruh, dan segala macam. Tetapi merekalah sebenarnya perampas. Perampas peluang hakiki anak bangsa.

Atas restu Pak Tua, hamba lakarkan sesuatu yang bukan lagi rahsia ini. Lantaran sikap biadap dan keterlaluan mereka yang secara licik menjajahi setiap ruang dan peluang di tanah kita, dengan rakus bertapak dan bermaharajalela.

Angkara mereka, bangsa kita seolah terpinggir di bumi sendiri sebagai lebai malang yang ‘menang sorak, kampung tergadai’ tanpa disedari. Seperti ‘berdagang di watan sendiri’ laksana ‘ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’. Begitulah bunyi ungkapan peribahasa.

Apakah ini suratan takdir atau salah tadbir?


Di kamar mahkamah

(Petikan sebahagian dari repot asal. Nana, Gadis Pak Tua)

Selasa. 02 Mac 2010. Mahkamah Tinggi Syariah Malaysia Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

Dalam kamar mahkamah, pihak yang menganiayai saya iaitu Muhammad Kamran Babar bin Nazir Khan masih enggan menyerahkan segala dokumen peribadi saya seperti passport antarabangsa, kad pelajar universiti di United Kingdom, hard
disk, serta barang-barang lainnya walaupun setelah diperintah oleh Yang Arif Tuan Hakim.

Beliau bukan sahaja memalukan saya dan keluarga, tetapi juga telah bersikap melampau dengan menghantar kuncu-kuncunya yang tidak saya kenali ke rumah saya di Terengganu. Dan pada hari ini pula beliau telah membawa dua orang yang berpewatakan seperti samseng yang saya yakin adalah warga asing berketurunan Pakistan ke mahkamah yang mulia.

Mereka memandang saya sambil bercakap-cakap dalam bahasa mereka yang langsung tidak saya fahami. Kemuncak kesabaran saya hilang. Akhirnya, saya telah menumbuk muka dia beberapa kali serta menghayunkan beg tangan saya ke mukanya juga. Kejadian ini turut disaksikan oleh beberapa orang yang berada di kawas
an pintu utama mahkamah lebih kurang jam 11 pagi, termasuk beberapa orang anggota polis yang bertugas di situ.

Tindakan saya pada hari ini adalah sebagai bukti saya tidak pernah bersetuju di atas tindakan beliau terhadap saya dan keluarga yang kini mengheret saya ke mahkamah. Ini adalah langkah saya untuk membela diri dan maruah saya sebagai seorang perempuan warganegara Malaysia yang beragama Islam.



Hidup Pak Tua

Sepertimana yang dikhabarkan sendiri kepada hamba. Ingin hamba persembahkan pula kepada kalian tentang ceritanya. Kisah benar hidup seorang Pak Tua. Bukan hanya sekadar penglipurlara. Bukan juga untuk bersuka-ria. Tetapi ia untuk dimengerti, lalu dihalusi bersama.

Pak Tua mempunyai seorang gadis sunti dara. Dijaga dan dididik dengan sepenuh jiwa. Kasih sayang dicurah sepenuh raga. Disulam pula dengan ajaran agama, agar hidup si gadis kelak berjaya di dunia dan berbahagia pula di akhirat sana.

Dipendekkan cerita, hidup si gadis melangkah ke usia remaja. Dimilikinya paras semanis kurma. Lembut bertutur kata, elok pula budi bahasa. Mudah mesra, juga tahu menghormati yang lebih tua. Kulitnya sedikit gelap, namun bisa saja menambat hati para jejaka.

Setelah menamatkan alam persekolahannya, si gadis anak Pak Tua berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara. Ke negeri orang putih di belah barat sana. Hari berganti hari si gadis bertungkus-lumus untuk berjaya. Sehingga beberapa kali mendapat anugerah tertinggi kurniaan universitinya.

Pak Tua pula masih dengan kerja hariannya menyara keluarga. Dia menetap di negeri penyu naik menangis hiba. Di sebuah bandaraya, gelar penguasa. Ya, bukan senang membanting tulang demi menyara si gadis di seberang samudera. Namun demi masa depan, Pak Tua tetap cekal berusaha dengan kudrat yang ada dan menyerahkan seluruh tawakkalnya kepada Pencinta yang Tunggal Esa.

Sedang si gadis menangga ke puncak jaya, mari pula musibah datang menduga. Ujian besar buat Pak Tua sekeluarga. Si gadis ini adalah anak keempat daripada lapan beradik penghibur jiwa hasil perkongsian hidup Pak Tua bersama Mak Tua sejak tahun 1979 adanya.

Zuriatnya yang sulung kini merupakan seorang jurutera yang pernah terlibat dalam pembinaan semula Kompleks Jamrah, tempat melontar di Tanah Haram. Zuriatnya yang kedua sedang bertugas sebagai seorang pendidik di pedalaman Sarawak. Yang ketiga, sedang bertugas sebagai doktor di hospital kerajaan. Anak keempat adalah si gadis pintar yang menuntut di United Kingdom, namun kini semuanya lebur begitu sahaja. Kelima, seorang lepasan diploma yang kini bertugas dengan Kementerian Kebajikan Masyarakat. Yang keenam, masih dalam pengajian di bidang farmasi, nun di negeri utara sana. Ketujuh, kini berusia 16 tahun, adalah antara pelajar terbaik 9A (PMR) 2009, dan sudah pun bergelar huffaz, tersemat kalam Tuhan di dalam dada. Dan zuriat yang kelapan Pak Tua masih kecil, berumur lingkungan tujuh tahun dan belum lagi mengerti suatu apa pun berkaitan dunia.

Pak Tua selalu berkata, "Walau sebesar mana pun ujian menimpa, Allah takkan pernah sekali-kali menduga dengan apa yang tidak tertanggung oleh hamba-Nya."

Ya, memang benar tutur Pak Tua. Tuhan itu maha Tahu, maha Bijaksana. Maha Adil, maha Berkuasa. Maha Pengasih dan maha Penyayang sifat-Nya. Dia pasti mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Itu intipati keimanan, yakin bukan? Bagi Pak Tua, setiap kejadian yang ditempa, tiada yang silap dan berlaku atas kudrat serta iradat-Nya. Dan, Tuhan itu jugalah yang amat mengetahui akan segala asbab musababnya.

“Demi perinsip dan pegangan itulah, saya dedahkan kisah ini berserta harapan menggunung akan bantuan daripada semua saudara seagama, sebangsa, dan senegara.” Tutur Pak Tua dengan api perjuangan yang marak menyala di sinar mata.

Terbongkar sudah rahsia

Setelah beberapa tahun di negeri orang, si gadis pulang bercuti melepas lara. Bukan kepalang Pak Tua gembira. Terlerai sudah rindu tuk bersua, fikirnya. Namun si gadis feelnya berlainan begitu ketara. Sesuatu yang tidak pernah terduga oleh Pak Tua. Si gadis bagai tidak lagi mengenal orang yang lebih tua. Hilang sudah lemah lembut dan tutur sopannya. Amarah bagai bertakhta di hati dan jiwa.

Bukan, sebetulnya bukan amarah, tetapi semacam seekor syaitan yang beraja menakluk dirinya. Sepatah ditanya, menengking saja jawabnya. Duduk di rumah pula, seperti cacing kepanasan lagaknya. Itu tak kena, ini tak kena, semua tiada yang kena. Akhirnya, si gadis bernekad lari dari rumah mengikut pedoman sang Iblis yang sedang bermaharajalela.


Pak Tua menjadi teruja. Manakan tidak, anak yang ditatang berubah sebegitu rupa. Lalu hilang pergi entah ke mana. Selepas diselidik ke sini sana, maka bertemulah Pak Tua dengan punca. Rupanya sedari di perantauan lagi si gadis terkena. Kata orang kita, termakan sudah ubat guna-guna. Terkena sihir, kata rul agama. Lebih tepat lagi, telah diperdaya dan diilmuhitamkan si gadis Pak Tua.

Benar, sihir tetap akan ada selamanya selagi ujud manusia yang hasad hati, busuk jiwa, keparat raga. Hatta hari kiamat tetap kan ada. Pasti kan ada sebagai penguji iman manusia. Kini, barulah Pak Tua mendapat tahu bahawa si gadis anaknya telah lari ke ibu kota. Menjejak seseorang yang digelar Pak Tua sebagai si barua layaknya.

Wahai saudara, perasaan bimbang, keliru, dan kecewa di ketika itu tiada dapat diungkap dengan kata-kata. Pak Tua hanyalah berserah pada ketentuan-Nya, namun tetap dengan usaha dan tawakkal yang tiada penghujungnya.

Alkisahnya, si gadis pernah bekerja sambilan ketika masih belum ke luar negara. Mencari sedikit wang tambahan untuk keluarga. Taukehnya seorang yang baik hati, warga Pakistan yang membuka perniagaan tudung dan textile di Tanah Melayu kita. Si taukeh begitu rapat dan mesra dengan Pak Tua sekeluarga. Namun siapa sangka ada udang di sebalik batu. Ada musuh di dalam selimut. Sebusuk hasrat terlindung di belakang laku. Tentu sekali kalian dapat mengagak kelibat siapakah hamba berbicara. Dia berjasad manusia, tapi sejahat iblis bermukim di hatinya.

Penangan sihir, si taukeh berjaya memukau gadis, anak Pak Tua. Diikutnya segala kata. Diturutnya juga semua perkara. Hatta dalam tiada sedar, tanpa pengetahuan keluarga, anak Pak Tua dibawa lari dan dinikahi oleh si taukeh durjana.

Setelah diketahui punca, Pak Tua berusaha pula mencari penawar buat si gadis yang menjadi mangsa. Sebagai seorang guru silat, Pak Tua juga faham serba sedikit akan langkah pemulihan dan rawatan yang sepatutnya. Tidak cukup dengan diri sendiri, dicarinya alim ulama untuk melawan kuasa hitam yang bermaharajalela. Berkat usaha, tawakkal, dan keazaman yang tinggi, akhirnya si gadis kembali pulih seperti sediakala. Masih ada kasih Tuhan kepada kami. Kepada Pak Tua, Mak Tua, dan keluarga.

Pertarungan di mahkamah dunia

Walaupun sudah pulih, rupanya Tuhan masih lagi ingin menduga. Pak Tua mendapat berita mereka diheret pula ke mahkamah oleh si keparat taukeh durjana. Oh ya, kalian usah sekali-kali lupa bahawa si taukeh itu adalah warga asing yang menumpang ehsan warga kita. Tetapi udah berani membikin onar mencabar kita warganegara.

Sekarang, Pak Tua sengit bertarung di mahkamah dunia. Pertahankan maruah keluarga yang sudah dicela. Tidak mahu dibilang dayus kelak hadapan Tuhan alam semesta. Buktikan bahawa tidak semua Me‘layu’ dapat dipijak dan dihina. Selagi tali Tuhan tersimpul kejab di jiwa, selagi selawat Nabi berselang kata dengan tutur bicara, pasti tiada suatu makhluk pun dapat mengganggu-gugat manusia yang bermakam hamba.

Tanggal 26 April 2010 ini perbicaraan disambung semula. Pertarungan antara hak dan batil semakin menggila. Pihak mereka sambil ketawa permainkan undang-undang negara. Di pihak Pak Tua pula dengan daya yang berbaki, terus berjuang menggunakan rul undang-undang yang masih tersisa. Dapatkah undang-undang yang ada membela nasib dan maruah anak bangsa? Atau hanya sekadar memerhati dengan pandangan bersahaja? Sama-samalah kita tunggu dan lihat bersulam dengan doa penuh kerendahan ke hadrat Tuhan yang maha Perkasa.

Pernah juga Pak Tua gagahkan kaki melangkah ke ibu kota, mencemar aib tunduk menghadap pihak berkuasa. Nawaitu Pak Tua tunggal, memohon supaya dapatlah kiranya mereka membela nasib maruah anak bangsa yang ternoda. Namun, apa yang Pak Tua terima adalah kehinaan dan celaan semata. Duhai betapa malang nasib menimpa, sudah jatuh ditimpa tangga.

Amatlah sedih dan pilu mengenangkannya, keluh Pak Tua. Di luar sana, mungkin ada yang senasib dengan Pak Tua dan pertolongan daripada semua amatlah didambakan untuk menjana satu ledakan bukti ketuanan kita. Buktikan kepada dunia bahawa jangan sesekali diinjaknya maruah kita. Maruah Melayu yang takkan hilang di dunia. Itulah yang tersirat pada lafaz Laksamana Hang Tuah, pahlawan Melayu yang terbilang lagi perkasa.

Dari itu, hamba menyeru kepada semua pembela agama, nusa, dan bangsa supaya turun bersama pertahankan maruah si gadis serta Pak Tua sekeluarga yang sudah dijaja. Ayuh hulurkan sokongan moral kalian pada hari kes ini dibicara. Bertarikh 26 April 2010, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Berhampiran ia dengan Masjid Negara. Seawal jam 8 pagi seeloknya kita berjumpa. Laungkan kepada dunia bahawa umat Melayu yang beragama Islam ini masih bermaruah, masih berharga.

Sekali lagi, Ayuh! Pertahankan maruah kita, agama, dan anak bangsa. Setakat ini sahaja nukilan hamba.


-Demi masa! Manusia dalam kerugian, kecuali...

-Dan ingatlah...

-Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, tetapi kaum itu sendirilah yang akan mengubah nasib mereka...

-Oleh itu...

-Rebutlah lima masa, sebelum datangnya lima masa...

Amin.

Bernafas Kembali


Salam bersua kembali.

Alangkah. Sudah tiga bulan aku menyepi. Sudah 3 bulan blog ini sunyi. Aku pun tak pasti masih ada lagikah mata-mata yang sudi melilau-lilau di sini. Alangkah rindunya aku untuk kembali malakar semula karya 'picisan' aku di dada blog ini.

Dan sekarang, aku kembali. Walau aku tak tahu berapa lama pula dapat aku bertahan pada kali ini. Walaupun aku pasti tiada lagi mata-mata yang menatap karya picisan ini. Biarlah. Janji ia memuaskan keghairahan aku yang dah lama membungkam.

Permulaannya, baru kelmarin aku karangkan beberapa bait madah hatiku buat PERMAYA, sebuah persatuan pelajar yang tidak terhitung jasanya kepadaku semasa aku berada di perantauan dulu-dulu. Aku dedikasikannya bersempena penganjuran Malam Kesenian & Kebudayaan Islam Malaysia PERMAYA 2010. Sila klik di sini.


UKHUWAH PERJUANGAN

Perjuangan,
Ya, PERMAYA adalah sebuah perjuangan,
Perjuangkan nasib dan maruah,
Perjuangkan hikmah dan juga iman,
Seorang hamba di jalan Tuhan.

Bukan. Bukan seorang,
Bahkan berbilang jiwa,
Ratusan hadaf,
Ribuan rentak,
Yang pasti amat memenatkan,
Begitu menyukarkan.

Namun lihatlah,
Lihat bagaimana tabah dan kuatnya,
Betapa sabar dan gigihnya,
PERMAYA dan para pejuangnya,
Memikul amanah nusa bangsa,
Meneraju ukhuwah ajakkan agama.

Demi satu hadafan yang jauh,
Nun sejauh ufuk sana,
Walau likuan ujud pelbagai mehnah,
Yakin dan pasti hujungnya sinar cahaya,
Cahaya kemanisan ukhuwah Islamiyah.

Ironinya,
Sukar perjuangan terubat dek ukhuwah,
Perit likuan akan terlega,
Oleh kelazatan santapan ukhuwah.

Ayuh kawan,
Dengan sulaman pertalian Ilahi,
Serta zikir selawat Nabi,
Pertahankanlah ikatan ini,
Perkejabkanlah simpulan ini,
Perjuangkanlah kesatuan ini,
Walau jiwa terpaksa kita pertaruhi.

Sekian.