SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI

Ummi

Ummi. Ya, itulah gelaran si ibu,
Padanya ujud sekalian alam,
Lapisan bumi berpetala langit,
Seluruhnya.

Ibu...
Kasihmu penuh murni,
Sayangmu tiada terperi,
Dan benar,
Cintamu..setia, mulia, dan suci.


Ku kan kembali...
Ke hangatan pelukmu,
Merasai cium manjamu,
Menikmati ‘cinta’ tulusmu,

Cinta agung Pencipta jiwa rasa.



anTusufi,
Jumaat, 25 Mei 2007,
Republik Yaman.

Perlawanan Bola Sepak Persahabatan

- Dipetik dari PERMAYA Online


Oleh: Ex-Editor PERMAYA Online

Selasa. Hari ini cuti umum. 22 Mei merupakan tanggal perayaan tahunan yang begitu bererti pada diri masyarakat di sini, penghuni tempatan Republik Yaman. Cuti umum ini dihadiahkan serata baik buat jabatan kerajaan mahupun bagi semua sektor swasta. Kelas-kelas kuliah dari serendah hatta kepada setingginya berkesempatan untuk melepaskan lelah dan letih menghadap kitab saban hari.

Hari Wehdah. Begitu gelar mereka dalam loghat yang memberi makna ‘Hari Penyatuan’ mengikut Bahasa Malaysianya. Kesatuan selepas redanya peperangan saudara antara Yaman Selatan dan Yaman Utara itu. Perang yang berakhirnya dengan kepaduan roh ukhuwwah pada pertengahan tahun 1992 itu.

Persisikan soal ‘wehdah’ mereka. Bukan tak penting. Tapi kelihatannya udah dan semakin utuh. Mari kita cakap tentang kita. Mampukah kita mendaulatkan ukhuwwah yang jitu semacam mereka di tanah asing ini? Ya, katakan boleh untuk itu demi Islam. ‘Malaysia boleh’ laung pemimpin negara. Ayuh! Perkasakan ia tanpa terlekakan.

Waktu lapang. Pada hari ini buat julung kalinya para pelajar kita di sini berpeluang melangsungkan perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Tahrir. ‘Berperang’ merebut sebiji bola circle di dada padang yang menghijau. Walaupun tak seberapa, tapi cukup sekadar memuaskan keghairahan pemain yang merindui padang-padang Malaysia yang jarang sekali kekuningan. Apatah lagi untuk berdebu atau berbatu halus.

Dengan kesungguhan Pengerusinya, Muhd Lutfi Akmal Hisyam, Lajnah Sukan & Kebudayaan, Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) berjaya mengadakan perlawanan ini. Perlawanan persahabatan antara pelajar kita yang mengaji di Universiti Sains & Teknologi dan yang menuntut di Universiti Yamaniah. Dimulai pada jam 7.45 pagi. Waktu yang serasa awal amat oleh mereka yang lebih senang bercumbuan dengan ‘bantal busuk’ di pagi hari uthlah (cuti).

Alhamdulillah, ikatan ukhuwwah kita semakin kejap. Demikian dugaku yang sedari mula hingga tamatnya langsung berdiri dek kerana dipaksa merakamkan perlawanan dengan handycam. Buat kenangan.

Kekadang, dada merasa berkembang. Sugar-bugar di sudut hati. Justeru program persatuan sebegini dapat membuatkan kita daripada kalangan ahli PERMAYA atau tidak, kian terpupuk nilai perpaduan. Mesra dan keriangan terpancar sekaligus. Sendiri aku jadi seolah terhiba. Haru-maru serta segalanya. Sepertinya kita persis satu pasukan. Namun tak pula sebumbung. Aneh. Cantik sempurna sungguh percaturan-Nya SWT. Kekalkanlah keakraban sebegini ya Allah. Malah perindahkanlah lagi tautan ini. Tautan ber-sutuh (atap) tulus agama-Mu. Perkenankanlah!

Perlawanan berakhir dengan natijah 3-2 yang berpihak kepada tim Teman-teman daripada Universiti Sains & Teknologi yang masing-masing jaringan dibolosi oleh Mohd Shahrizan Md. Sobri, Muhammad Abd. Hadi Ngah, serta Yusuf Abd. Hadi. Dua gol ‘kekalahan’ itu pula dijaringkan oleh akh Rawi at-Thailandi dan juga Muhd Lutfi Akmal Hisyam. Wisel penamat langsung ditiup oleh si Pengadil, Jais Abdullah pada jam sekitar 10.30 pagi. Bahang mentari dah pun mula menarik-narik ketika itu.

Tiada sebarang habuan disediakan bagi sang pemenang. Hanya bergambar kenangan bersama yang dikendali oleh kekanda ‘pakar’ foto kita, Abang Muhammad Lim.

Dalam kepenatan, wajah ceria bersalut kepuasan para pemain, juga hadirin lainnya tetap tergambar. Kepuasanlah sebagai hadiah saksama kepada semua walau tanpa berkira duit not seratus Riyal Yaman (RM 2) perlu dikorbankan oleh setiap pemain untuk membayar sewa padang yang berjumlah tiga ribu Riyal Yaman. Dan benar, kenikmatan ukhuwwah Islamiah yang dianugerahkan-Nya itulah segalanya buat kita. Subhanallah.

Harapnya, perlawanan di padang berumput hijau ini dapat dikecapi lagi pada masa akan datang. Sekali setahun pun sudah memadai kiranya. Sekadar menghilangkan gian di hati. Agar ukhuwwah sihat berwajah ceria dapat disinarkan lagi. Insya-Allah. Salam sufi...


PESANAN:

  • Sesape yang nak tengok pic² semasa perlawanan tu...sila klik di sini

Perdagangan Ilmu; Silap Siapa?

- Entri nie aku karang pada tahun 2005...mase duk penin² masalah nak bayaq ongkos tahunan universiti..huhuhu

Oleh: anTusufi


Ilmu merupakan asas terpenting yang diperlukan dalam kehidupan umat manusia. Tanpa ilmu, nescaya perjalanan hidup manusia akan terumbang-ambing. Tanpa ilmu, manusia pasti tidak akan mampu membina kemegahan ketamadunan. Apabila manusia menguasai sesuatu yang bergelar sebagai ilmu, akan berbahagialah mereka sama ada di dunia ataupun akhirat.

Namun, penguasaan keilmuan tanpa hadirnya pengetahuan tentang ketuhanan, akan rosak binasalah binaan tamadun ilmu tersebut.

Bagi umat Islam, penguasaan keilmuan mestilah seiring dengan ketahuan terhadap sang Pencipta ilmu itu sendiri demi untuk meraih ketenangan di dunia serta kebahagiaan di akhirat sana.

Di kesempatan ini penulis tidaklah ingin untuk membincangkan berkenaan tuntutan dalam penguasaan ilmu yang berpaksikan ketuhanan. Kerana sudah pun dimaklumkan oleh para ulama kita akan anjurannya yang banyak daripada Allah SWT di dalam Al-Quran berkaitan ilmu.

Yang ingin penulis bicara di sini ialah wajarkah sekiranya dikatakan bahawa institusi ilmu kini telah pun diperdagangkan seperti mana tajuk di atas? Mungkin kata-kata ini agak kasar. Tetapi inilah saja yang dapat penulis ungkapkan bagi menyingkap persoalan yang bermain di minda untuk dikongsi bersama.

Cuba perhatikan kepada institusi ilmu di dalam negara kita sebagai contoh. Institusi-institusi ini seolah sudah menjadi satu perniagaan untuk mengaut keuntungan buat habuan sesetengah pihak. Dari penubuhan pra sekolah dan seterusnya hinggalah ke IPT di bawah takluk kerajaan mahu pun swasta. Semuanya ini memerlukan kepada kewangan yang tinggi untuk menampung perbelanjaan di setiap tahun. Adakah tidak tepat lagi kalau diistilahkan sebagai ‘perdagangan’ ilmu?

Mungkin fenomena ini tidak memberi masalah kepada mereka yang bertaraf hidup tinggi. Tapi bagaimana pula halnya dengan golongan bawahan, petani, tukang kayu, penarik beca, dan sewaktu dengannya? Semestinya keadaan sebegini akan menjadi satu kesengsaraan kepada golongan ini.

Sedangkan sudah termaklum kepada semua kepentingan menuntut ilmu bagi setiap individu sebagaimana juga pentingnya suruhan mengerjakan solat. Kerana tanpa memiliki ilmu, mana mungkin seseorang itu mampu untuk melaksanakan suruhan Tuhan dengan sempurna.

Pasti ada yang berkata, tidak sepatutnya kita persalahkan pihak institusi kerana untuk membina sesebuah institusi memerlukan perbelanjaan yang banyak. Kos menyelenggarakannya juga cukup tinggi. Kata-kata ini juga semacam ada benarnya.

Justeru, bagaimana untuk mencari jalan penyelesaiannya? Adakah perlu kita berdiam diri lalu memerhatikan saja golongan ‘berada’ dengan mudah menuntut ilmu dan membiarkan golongan ‘papa’ terus buta? Bukan ini ajaran Islam kepada umatnya.

‘Bagaimana’ dan ‘macam mana’ yang harus berlegar di kepala setiap Muslim. Bukan hanya membuta mata dan memekak telinga.

Di sini ada satu contoh yang mudah;
Apa kata kita sekiranya institusi masjid mengenakan bayaran kepada setiap ahli jemaah yang mahu ke masjid? Atas alasan peralatan, penyelenggaraan, serta kos untuk pembinaan masjid yang selesa di masa sekarang begitu tinggi. Penulis pasti semua orang akan meradang. Kerana hak ke masjid adalah hak setiap individu Muslim. Tugas penyediaan masjid pula haruslah dipertanggungjawabkan kepada sesebuah kerajaan yang memerintah.

Begitu jugalah keadaannya dengan institusi ilmu. Hak menuntut ilmu tidak jauh bezanya dengan hak untuk ke masjid. Kerana keduanya itu adalah suruhan agama.

Dengan izin, ingin penulis katakan bahawa tugas sesebuah kerajaan bukan setakat membina institusi ilmu. Tetapi lebih dari itu, kerajaan juga semestinya bertanggungjawab dalam memastikan ilmu dapat disalurkan ke segenap lapisan masyarakat kerana dengan penguasaan ilmu, secara tidak langsung akan menguatkan kerajaan itu sendiri di samping dapat membina satu kelompok masyarakat Islam yang bertamadun. Sejajar dengan laungan Islam Hadhari oleh pimpinan kita ke seantero dunia.

Inilah saja jalan penyelesaiannya untuk membersihkan apa yang diistilahkan oleh penulis sebagai ‘perdagangan’ ilmu.

Usah bebankan masyarakat dengan pinjaman (baca: hutang siswa). Boleh jadi dengan sistem pinjaman ini akan membebankan pihak kerajaan di kemudian hari dalam menangani masalah sosial kerana untuk menjelaskan hutang yang menjangkau angka ribuan itu memungkinkan orang yang berkenaan mencari pekerjaan ‘negatif’ atas dasar ‘terdesak’ atau pun ‘darurat’.

Ucapan ahlan wa sahlan perlu dilafazkan kepada anak-anak yang ingin mendalami ilmu dengan segala kemudahan dan bantuan yang tidak membebankan.

Begitulah juga seharusnya ditangani berkaitan masalah masyarakat yang lain seperti pernikahan, tanah untuk dijadikan tempat tinggal, rumah, dan seumpamanya.

Kalau inilah yang dilaksanakan oleh kerajaan yang memiliki sebuah negara yang berlimpah ruah dengan kekayaan sumber alam dan juga masyarakat yang berdaya saing, tak mustahil impian yang berslogankan Islam Hadhari akan menjadi realiti.

Usia 'Cinta' Bersatu

Cakap pasal kawin di usia muda nie kan, kekadang mari terfikir di kepala aku…Haruskah? Ataupun salahkah?

Ada di antara ibubapa yang tidak setuju, lalu tidak membenarkan anak-anak untuk berkahwin di usia ‘hingusan’, gelar mereka. Sebabnya umur masih terlalu muda. Tidak matang. Tiada kerja tetap (bagi lelaki). “Belajar dulu biar habis. Biar berjaya. Barulah nak fikir pasal kawin”, ujar mereka.

Ada pula yang mengalakkan anak-anak mereka untuk kawin awal. Taklah duduk menggatal sana-sini, kata mereka. Senang, lepas tanggungjawab (bagi pihak perempuan).

Ada juga ibubapa yang ‘no komen’. “Pakcik tak kisah. Yang penting, mereka tahu tujuan berumahtangga. Tahu tanggungjawab masing-masing serta mampu memikul amanah dari Tuhan itu”, ujar seorang Pak Arab yang aku temui.

Ketiga-tiga pendapat ini aku rasa ada benarnya. Tapi bagi aku yang paling tepat dan dekat dengan kehendak agama ialah pendapat yang ketiga itulah. Bukan aku nak membela pendapat ini. Bukan jugak aku nak memperlekeh pendapat lain. Namun inilah natijah yang aku temui selepas setahun dua aku duk perati gelagat orang dalam masalah ini.

Inilah ‘agak’nya hikmah kenapa Islam tidak menghadkan berapa usia perkahwinan. Benar bahawa Islam ini selari dengan fitrah kejadian manusia. Kerana manusia akan mendirikan rumahtangga apabila ‘sampai seru’, kata orang. Tak kira berapa usianya ketika itu. Ada orang yang seusia belasan tahun dah kawin. Ada orang di awal 20an dah kawin. Ada juga sudah 30an belum kawin-kawin lagi. Bahkan ada sampai mati pun masih membujang. Tak apalah. Itu masing-masing punya hal. Masing-masing mempunyai pendapat sendiri. Asal tidak membuat kemaksiatan kepada Allah sudah.

Berbalik kepada pendapat yang ketiga tadi. Kenapa aku menyokong pendapat ini? Adakah kerana aku nie masih di usia muda remaja? Adakah kerana sudah membuak-buak naluri aku untuk berumahtangga? Ataupun adakah aku nie dah ‘gila’ untuk kawin?. Semua persoalan ini tidak benar dan tidak tepat (kalau ada pun…hanyalah kesan sampingan aje :)).

Dulu aku ada tonton seorang syeikh menyampaikan kuliah di sebuah stesen TV Saudi Arabia. Beliau ada membacakan sepotong hadis yang berbunyi : “Wahai golongan pemuda. Barang siapa di antara kamu yang mampu untuk berkahwin, maka kahwinlah. Dan kepada sesiapa yang tidak mampu, maka berpuasalah…..”. Setelah selesai syeikh itu menyampaikan kuliah, terdetik di hati aku sesuatu berkenaan hadis di atas. Kenapa Rasulullah SAW memfokuskan kata-kata Baginda kepada ‘pemuda’? tidak kepada ‘lelaki’ ataupun ‘manusia’?.

Berpandukan hadis tersebut, hati kecilku mengatakan bahawa betapa pentingnya perkahwinan di usia muda. Itulah barangkali yang tersirat di sebalik kalam insan kekasih Allah itu.

Di waktu muda remajalah kemuncak gelojak nafsu. Ketika inilah puak-puak Iblis dan kuncunya berlumba-lumba untuk merosak serta menjauhkan anak Adam daripada ketaatan kepada Allah SWT. Apa yang mereka fikir di masa ini adalah keseronokkan semata. Tanpa panduan ilmu agama, mereka akan memenuhi nafsu mereka dengan apa cara sekalipun.

Tambahan pula pada zaman sekarang, apa yang disajikan di kaca-kaca TV dan di dada-dada akhbar amat menghantui keinginan batin para remaja. Ditambah lagi dengan bermacam-macam stail fesyen pakaian yang bukan setakat menjolok mata, bahkan sampai memeningkan kepala. Sehingga dapat mengaktifkan situa bangka untuk membaham simuda bergetah. Walaupun mangsanya adalah anak cucu sendiri. Keadaan ini samalah dengan orang yang kelaparan. Mengambil mana yang tercapai. Dengan perkahwinanlah yang dapat menyelamatkan anak gadis dari ratahan syaitan bertopeng manusia ini.

Tidakkah terfikir oleh ibubapa bahawa berumahtangga dapat menyelamatkan anak-anak mereka? Terutama bagi anak perempuan. Dah banyak kes yang berlaku. Rogol. Sumbang mahram. Bunuh. Buang anak. Berpeleseran. Pelacuran. GRO. Perempuan simpanan. Gigolo. Homoseks. Lesbian. Bohsia. Bohjan. Dan pelbagai istilah lagi yang tak terbilang dek jari tangan. “Eh…anak makcik baik. Tak keluar malam. Mengaji agama. Tak kawan lelaki”. Kena ingat makcik, kita bawak kereta tak langgar orang. Tetapi orang belum tentu tak langgar kita.

Bukankah lebih terjaga seseorang perempuan itu apabila berada di samping suami? Risiko kena kacau pun kurang (bukan tak ada). Bukan nak kata yang ibubapa tak reti jaga anak. Tetapi, aku yakin bahawa ketaatan kepada suami nie lain caranya. Para Syaitan akan menangis ketikamana diijabqabulkan dua insan.

Antara lain tujuan perkahwinan adalah untuk meramaikan zuriat umat Muhammad. Nabi berbangga dengan umat Baginda yang ramai di akhirat kelak.

Mengenai zuriat ini, aku akan sebutkan secara ringkas kajian sains mengenai kesuburan wanita.

Menurut kajian saintifik, setiap seorang di kalangan wanita mempunyai tidak lebih daripada 400 ovum (telur; yang akan melahirkan zuriat). Mereka akan kehilangan satu ovum apabila setiap kali mereka ber'cuti' (period la). Cuba kita bayangkan berapa telur wanita itu telah berkurangan daripada mula-mula mereka period sehinggalah dewasa. Lagi lambat wanita berumahtangga, makin berkuranganlah umat Nabi kita.

Sesungguhnya masalah perkerjaan tidak boleh dijadikan alasan. Bukan perkerjaan yang dapat menjamin kebahagian rumahtangga. Rezeki di tangan Tuhan. “Cakap senanglah. Takkan nanti kamu nak bagi anak makcik makan pasir. Dengan cinta bukannya kenyang. Orang nak kawin memanglah nampak yang positif jer”. Kata-kata macam tu pernah gak aku dengar dalam filem.

Kita beriman dengan hari akhirat. Percaya bahawa jika berbuat baik, nascaya akan diganjarkan pahala di sana kelak. Orang yang berjuang di jalan Allah pula teramat yakin dengan janji kemenangan daripada Allah. Yakin bahawa Allah akan memberi pertolongan kepada mereka sebagaimana yang telah dijanjikan di dalam Al-Quran : (“Barang sesiapa yang menolong agama Allah, Allah akan menolong mereka”).

Tidakkah dengan berumahtangga juga telah menolong agama Allah? Menjauhkan diri daripada maksiat. Membina sebuah keluarga Islam. Mendidik anak-anak menjadi orang yang patuh dan taat kepada ajaran agama. Mengeratkan silaturahim. Apakah itu semua bukan menolong agama Allah? Kalau jawapannya ialah Ya, tak yakinkah kita bahawa Allah akan menolong mereka yang menolong agamaNya? Sekira jawapannya Tidak, terpulanglah.

Belajar juga adalah merupakan satu alasan yang tidak releven. Cuba ‘habaq mai’ berapa orang yang gagal dalam pelajaran selepas berumahtangga? Ramai manakah pula yang berjaya setelah berumahtangga?. Itu jer soalan daripada aku. Aku tak naklah karang panjang-panjang mengenai pelajaran nie. Nanti aku dikatakan pro kepada golongan yang kawin awal pulak (memang pro pun).

Apapun, sebagai seorang muslim kita harus kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah ketika mana berlakunya pertelingkahan. Itulah pesan Tuhan kepada kita di dalam kitab suciNya.

Rasulullah SAW mengajar umatnya apabila hendak memilih pasangan, maka pilihlah yang baik agamanya. Bukan yang cantik rupanya. Bukan yang melimpah hartanya. Bukan kerana kemegahan keturunannya. Bukan yang ada bergulung-gulung sijilnya. Bukan yang ‘tersohor’ namanya. Rasulullah juga ada memesan kepada kita bahawa apabila datangnya seseorang yang diredhai agamanya, maka terimalah dia.

Sedarlah bahawa sekarang kita hidup di zaman yang bersepah dengan fitnah. Besar. Kecil. Tua. Muda. Lelaki. Perempuan. Minah jalanan. Pelajar universiti. Student agama. Semuanya tidak terlepas daripada terkena percikkan fitnah yang membahang ini. Kepada golongan remaja, untuk mengelaknya adalah dengan perkahwinan. Bukan aku kata dapat lari terus dari fitnah ini. Tetapi aku yakin mereka akan dapat menjauhkan diri mereka daripada satu juzuk fitnah ini. Di samping mendalami ilmu agama pada setiap masa dan waktu.

Kawin awal juga akan menjamin kehidupan kita di hari tua. Kerana apabila menjelang usia tua, di waktu itu kita sudah mempunyai anak-anak dewasa dan matang yang dapat menjaga kita. Mereka yang berkahwin awal juga dapat mendidik anak-anak dengan sempurna. Mereka juga masih bertenaga untuk menjaga anak semasa anak-anak itu melangkah ke alam remaja. Kerana kita perlu fikirkan bahawa keadaan masyarakat dan para remaja pada 20 atau 30 tahun akan datang adalah lebih teruk daripada keadaan sekarang.

‘Ala kullihal, aku menghormati pendirian masing-masing. Mungkin aku yang kurang ilmu ini tidak terfikir apa yang orang lain nampak. Cuma apa yang aku katakan di atas hanyalah merupakan satu pandangan yang ingin aku kongsikan bersama korang semua. Apa yang baik itu daripada Allah dan yang kurang itu daripada diri aku yang lemah ini. Adios...


By: anTusufi

Aku Sebiji Huruf (Sempena Hari Guru)

Seingat aku, aku dilahirkan lebih lima kurun yang lampau. Maknanya, umur aku dah hampir satu alaf (mengikut pengiraan aku). Namun, aku tidak tahu secara tepat berapakah usia aku sebenar. Yang jelas, aku sudah terlalu tua. Tubuhku sudah kabur. Lembaran kertas yang aku diami dah kekuningan. Sudah terlalu uzur. Sebahagiannya telah pun dimamah anai-anai.

Dulu, tuanku seringkali menggunakanku. Sebuah surau usang. Di situlah dia mengadap seorang lelaki tua yang berjubah dan berserban. Tuanku menggunakanku untuk mencatit apa-apa yang perlu di dada note booknya. Lelaki tua itu tuanku memanggilnya dengan gelaran guru. Ada sejemput janggut putih di dagunya. Rupa-rupa lelaki itu seorang guru agama.

Aku dapat mengecam orang tua itu sebagai guru agama kerana ketika mengaji dengannya, tuanku selalu menyusunku sebiji demi sebiji sehingga menjadi satu perkataan dan barisan-barisan ayat. Aku menjadi barisan ayat yang menerangkan berkaitan ketuhanan. Hukum hakam agama. Pernah juga tuanku mengejaku menjadi nas-nas suci Al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.

Di waktu itu, aku rasa amat bahagia. Mungkin perasaan begitu muncul disebabkan aku selalu diguna pakai untuk mengenal Tuhan yang Esa. Mendalami agama yang agung.

Saat itu, boleh dikatakan segenap lapisan masyarakat menggunakanku. Fizikalku berbentuk seakan huruf-huruf yang tersusun rapi di dalam Al-Quran. Tapi yang masih aku hairan sampai sekarang ialah tuanku menulisku dalam bahasanya. Bahasa Melayu lama. Tidak sebagaimana huruf Al-Quran yang berbahasa Arab.

Sesuatu yang menakjubkan aku. Oleh kerana masyarakat di zaman itu menggunakanku di dalam tulisan mereka, mereka begitu mudah untuk mengenal dan membaca ayat-ayat Al-Quran serta mendalami ilmu-ilmu yang termaktub di dalamnya. Anak-anak kecil telah pun khatam Al-Quran. Bahkan setengahnya sudah menghafaz kalam Allah itu.

Kalau tak silap aku, selepas kedatangan para penjajah dari Eropah, mereka bertungkus-lumus untuk menghapuskanku dan gantikannya dengan huruf serta tulisan kayak mereka. Orang cakap, mereka berbuat begitu adalah untuk melemahkan masyarakat negaraku dalam bacaan Al-Quran dan memahami selok-belok agama. Pada mereka, sekira dibiarkan terus masyarakat menggunapakaiku, dibimbangi mereka akan ditentang kerana masyarakat sudah memahami kehendak Al-Quran.

Kini diriku sudah tak terjaga. Aku tersimpan dalam kotak bersama kitab-kitab agama milik tuanku. Sudah berhabuk. Tuanku pula telah lama pergi kepangkuan Ilahi. Masyarakat tidak lagi menggunakanku. Mereka terlalu sibuk dalam 'kemodenan' gelar mereka. Sungguh berjaya perancangan penjajah durjana itu. Ramai juga yang terangkak-rangkak ketika membaca Al-Quran. Semua mereka telah menggunakan tulisan dan loghat penjajah dalam hidupan seharian.

Aku tidak sanggup lagi hidup di zaman ini. Aku sudah dipinggirkan. Aku tidak lagi diendahkan. Kecuali beberapa kerat manusia yang masih memperjuangkanku. Aku lebih rela mati daripada berkeadaan sebegini.

Kepada para guru, aku mengucapkan ribuan terima kasih kerana dengan mengajarkanku, mereka mengenal Tuhan yang Satu. Tidak lupa juga terima kasih aku ucapkan kepada guru dan cikgu-cikgu di zaman ini kerana masih ada lagi yang memperjuangkanku demi agama, bahasa, bangsa dan negara. Terima kasih cikgu. Selamat Hari Guru.


....................................................................................................................................
Nama : Unknow
Tahun : 4 Nilam (1992)
Guru : Cikgu Syamsul (Terima kasih di atas tunjuk-ajarmu)
Sekolah : Sek. Keb. Seri Nilam, K. Terengganu.


By: anTusufi

Cerita Kita . . .

- Dipetik dari http://www.permaya.org

Tahniah buat sahabatku Ust. Buniyamin Razimi selaku Pengerusi Lajnah Perhubungan & Penerangan (LPP) Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) sesi 2006/2007 bersama awak-awak ajk LPP yang telah berjaya menerbitkan risalah bulanan Al-Bayan ini.

Seperti mana difahamkan, buat permulaan, risalah ini dibahagi-bahagikan setiap satu kepada tetiap rumah atau bilik asrama para pelajar Malaysia di Sana'a.

Kata Pengerusi LPP, "Usaha menerbitkan risalah kecik ini ialah sebagai lidah (secara tak rasmi) LPP dalam menyalurkan input penting kepada seluruh pelajar Malaysia di Yaman, khususnya bagi para ahli PERMAYA di dalam versi artikel ilmiah". "Risalah Al-Bayan ini juga dengan tak langsung bertindak sebagai medium 'penerangan' buat para pembaca".

Beberapa hari lalu, saudara Pengerusi LPP yang juga tinggal serumah denganku itu meminta agar aku meringankan tangan untuk menyumbangkan barang sebaris dua bahan pada lembaran risalah Al-Bayan. Demi untuk melihat PERMAYA akan terus bermaya, aku lalu menyanggupinya walaupun tak tahu apa yang perlu ditulis.

Setelah penat mengaktifkan minda carik 'modal' untuk mengisi kekosongan Al-Bayan, akhirnya aku teringat kata-kata sahabatku itu kepadaku – "Risalah nie jugak menjadi salah satu pentas penerangan daripada pihak persatuan" – Begitulah bunyinya lebih kurang. Lalu terus terdetik di imagin aku untuk memutar semula detik waktu bagi mengimbas kembali wajah suka duka kami di tanah asing ini dalam lingkungan lima hingga enam tahun ke belakang. Ini disebabkan aku nampak kini sudah ramai adik-adik yang baru menjejakkan kaki di bumi Iman dan Hikmah ini. Semestinya mereka yang baru masih 'sifar' terhadap susun jalur 'senior' mereka di sini.

Bagi aku, sedikit 'output' daripada 'orang lama' adalah sangat bernilai di sisi mereka dalam menapak menggapai cita di tempat yang jauh dari tanahair ini. Agar apa-apa yang baik dijadikan teladan dan yang kurang sihat itu sama-sama dinyahkan dari kamus kehidupan mereka selaku penagih ilmu agung Tuhan pencipta kalam.

Pertamanya, mungkin perlu aku terangkan kat sini bahawa tertubuhnya PERMAYA pada tanggal penghujung tahun 1997 dahulu adalah untuk menjaga kebajikan para pelajar Malaysia yang makin hari semakin berbilang jumlahnya.

Antara objektif yang paling mustahak abang-abang senior kita mewujudkan PERMAYA ialah dengan nawaitu supaya kita semua hidup di sini dalam satu rumpun bangsa yang berkiblatkan Tuhan yang Satu. Berteduh di bawah bumbung yang satu. Bak kata orang-orang tua, 'bersatu teguh, bercerai kita roboh'.

Tiada yang dapat menafikan bahawa dek berbilangnya masyarakat pelajar Malaysia di sini, maka berbagai jugalah karenah, corak pemikiran ataupun fikrah, dan juga feel laku mereka. Namun bagi aku, itu semua bukan menjadi penghijab untuk kita saling bersatu kerana pada hakikatnya kita semua menuju ke sebuah perhentian yang sama, iaitulah Islam.

Walaupun wujud sesama pelajar Malaysia di sini ketidak sefahaman, malah secara praktikalnya terdapat juga mereka-mereka yang mungkin masih belum ‘sampai seru’ untuk menjadi sejuzuk dari ahli persatuan, tetapi ianya bukan menjadi pemisah antara yang berdaftar sebagai ahli mahupun sebaliknya. Kerana inilah yang diajarkan kepada kami di bilik-bilik kuliah mahupun dalam halaqah-halaqah masjid.

Masih belum luput dalam ingatanku pesanan (baca: ajaran) seorang syeikh bahawa nadi utuhnya sesebuah ummah adalah dengan perpaduan. Dengan kesatuan. Kesatuan yang semestinya berpaksikan kalam suci Tuhan dan juga panduan sabda Rasulullah SAW.

Tidak benar kalau ada suara-suara ‘liar’ yang mengatakan bahawa kehidupan kita di sini tidak harmoni, huru-hara, berbalahan, bergaduh, bermusuhan, bersengketaan, berpuak, ataupun apa-apa saja yang sehaluan dengannya. Mungkin wujud beberapa kerat individu yang terjebak dengan masalah ‘sosial’ sebegitu, namun sangat tidak adil kiranya semua masyarakat pelajar di sini ditohmahkan dengan ‘kejian’ sehodoh itu.

Sejak aku menjejakkan kaki di bumi Yaman ini, aku dapati bahawa kita saling mencari jalan dan ruang untuk terus berada sebagai sebuah pasukan. Andai ada yang terkeliru, sama-sama kita berusaha untuk diselesaikan dengan cara terbaik. “Apa guna kita ada Quran dan hadiskan?”, ujar sorang teman. Pernah tak berapa lama dulu aku berkata kepada seorang penulis muda bahawa kami di sini diajar agar mencari kebenaran, bukan kemenangan yang didamba.

Risalah Islam yang dibawa oleh Baginda Rasulullah tidak pernah sedikit pun mengajar kita untuk hidup berpuak-puak. Hidup bersendirian. Atau ‘nafsi-nafsi’ ikut loghat Arab. Nabi sangat menegah kita untuk hidup di atas prinsip asobiyah (berpuak).

Islam menganjurkan agar kita bersatu padu. Hidup bagai sebuah binaan yang teguh. Persis sebatang tubuh yang bernyawa. Bak kata orang-orang tua lagi, “cubit peha kanan, peha kiri turut merasai kepedihannya”. Itulah yang cuba kami amalkan sesama rumpun bangsa ‘Malaysia’ masyarakat pelajar di sini. Itulah juga yang selalu diperingatkan kepada pimpinan PERMAYA mahupun kepada para ahlinya juga.

Apa buktinya? Keadaan tersebut mungkin rumit untuk dibuktikan. Mungkin juga sesetengah orang mengiakan kata-kataku ini. Cara yang mudah (bagiku) untuk membenarkannya ialah seseorang itu harus terlibat sendiri secara langsung dengan kehidupan kami di sini. Bukan ‘beruzlah’ memencilkan diri daripada kami. Ataupun hanya dengan ‘berdalilkan’ cerita mahupun hikayat yang tiada hujung pangkalnya. Tanpa usul periksa.

Setakat ini dulu daripada aku. Mungkin jikalau ada masa dan bertandang idea, aku kan sambung lagi tulisan ini...bi ‘aunilLah. Harapanku buat adik-adik generasi terkini yang baru mula berjinak dengan alam masyarakat Arab di sini agar tidak terpukau dengan apa jua suara sumbang yang mungkin saja memecahkan keharmonian ukhuwwah kita di Bumi Iman dan Hikmah ini.

Rebutlah peluang ‘kembara ilmu’ ini untuk sama-sama kita mengkaji fikrah ataupun uslub pemikiran para syeikh dan guru-guru di sini dalam membentuk sebuah kesatuan ummah yang sihat. Jauh dari pra-sangka buruk dan perbalahan. Demi untuk terlahirnya kesegaran sebuah umat Islam dan juga apa yang difirmankan “Baldatun thoyyibatun wa Robbun ghofuur”. Salam sufi...


By: aL-Watary Geng’z