SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI

Kempen PRK, 7 April '09: Sandiwara Umno


Salam blogawan.


Artikel di bawah ini disalin terus dari laman harakahdaily. Marilah kita berfikir dengan kewarasan akal kurniaan Tuhan.

Ingat, undi anda menjadi saksi di muka pengadilan sewaktu di padang mahsyar besok!


____________________________________________________________


Oleh: Ahmad Yamani


Perhimpunan Agung Umno kali ke 59 baru sahaja melabuhkan tirainya. Masing-masing menampakkan kobaran semangat dan tekad ingin menjayakan agenda perubahan yang dicanangkan hampir di sepanjang perhimpunan tradisi tersebut. Laungan ikrar dan juga ajakan mereka bersilih ganti memeterai janji untuk membawa perubahan bermula dari akar tunjangnya yang berselut sehinggalah kepada pucuk rantingnya yang bercabang-cabang.

Entahkan apa yang mahu diubahnya. Entah bagaimana corak perubahan itu. Agaknya, bagaimanakah rupanya ruh perubahan itu. Seandainya didengar dari apa yang keluar melalui laungan-laungan perubahan pimpinan tertinggi parti penguncup umat Melayu itu, jelas bahawa negara akan dilanda satu tsunami transformasi yang cukup hebat. Jika dinilai semata-mata dari ucapan-ucapan berdentang-dentum yang berbaur sandiwara itu, boleh dikatakan akan terlahirnya sebuah umat terbaik di bawah era kepimpinan baru Dato' Seri Najib Razak dalam jajahan Melayu ini.

Ya, sememangnya transformasi ke arah kebaikan dan keamanan negara yang sebenar akan dapat semua rakyat jelata kecapi jika segala ucapan, ikrar janji, pengakuan, serta kata-kata manis yang keluar dari mulut mereka itu merupakan suatu yang jujur, ikhlas, dan bukan bersifat udang di sebalik batu. Tetapi bagaimana agaknya sekiranya semua itu adalah lakonan semata? Hanya sandiwara untuk memujuk hati rakyat dan menyihir pemikiran mereka?

Masa yang berlalu seringkali membuktikan bahawa kata-kata manis yang tersembul dari mulut berbibir mungil kemerah-merahan jasad bernama Umno itu tidak boleh dipakai. Apatah lagi untuk dipercayai. Jauh sekali untuk diimani. Mereka hanya bersandiwara untuk memancing si bilis bebal yang terpedaya dengan umpan yang tampaknya hidup berseri-seri. Sebenarnya, ia hanyalah plastik, dan juga retorik politik.

Lebih teruk dari itu, mereka rela menggunakan agama dalam skrip sandiwara itu. Nama-nama para pejuang Islam, para syuhada mereka jajakan. Kitab suci Al-Quran mereka sanggup perdagangkan demi ingin meraih keuntungan politik. Kerana, ya, pabila mereka berkuasa dalam politik yang maha jelek itu, mereka dengan mudahnya akan dapat mengaut apa juga bentuk kekayaan dunia.

Untuk itu, pimpinan mereka ada yang berucap di depan mashaf Al-Quran sebagai bukti kata-katanya adalah benar. Kononnya, mereka akan menerima laknat Al-Quran jika kata-kata mereka itu suatu pembohongan. Mereka pergunakan Al-Quran. Sedangkan peribadi mereka tidak sedikit pun mengikut suruhan yang terkandung di dalam Al-Quran di hadapan mereka itu.

Pakaian mereka langsung bertentangan dengan kemahuan Al-Quran itu sendiri. Dengan fesyen rambut dan pakaian yang 'membodi', mereka seolahnya bertelanjang di depan khalayak, di hadap kitab suci yang menyimpan kalam Tuhan. Itu kata Nabi, bukan satu tuduhan. Inikah sifat agen perubah?

Pada sudut yang lain pula, seorang pimpinan mereka (yang juga seorang perempuan) sedang memberi kenyataan dan dikelilingi oleh puluhan orang serta wartawan. Pakaian beliau tidak jauh bezanya dengan pimpinan pertama yang disebutkan di atas. Katanya, perjuangan mereka mengambil roh juang serikandi Islam terdahulu. Nama-nama seperti Khadijah, Asiah, Balqis, dan beberapa serikandi Islam diguna pakai.

Justeru, untuk mengkhabarkan kepada dunia dan seisinya bahawa, beliaulah seorang pejuang sejati. Mungkin kepada sesiapa yang tersedar semasa menyaksikan episod sandiwara itu akan terloya tekaknya. Akan terjenggil matanya. Kerana, bersepakatkah jalan perjuangan para serikandi Islam yang disebutkan itu dengan dirinya? Dengan juak-juak serta kuncu-kuncunya yang berseragam merah itu?

Perjuangan keris bogel itu

Tidak. Percayalah, tidak akan ada seorang pun yang berani membuktikan bahawa perjuangan mereka adalah sama. Memang lain benar dan tidak serupa sedikit pun. Justeru, pada fikiran dangkal kita, kenapakah isu para serikandi Islam ini diketengahkan dalam (kononnya) jalan pendekatan mereka? Benar, mereka hanya ingin meraih sokongan. Mereka bersandiwara lagi. Inikah sifat agen perubah?

Dalam siri-siri seterusnya sepanjang perhimpunan itu kita dapat menyaksikan ucapan berkobar-kobar pimpinan atasan mereka dalam memperjuangkan bangsa, negara, dan agama.

Apakah yang diharapkan dari perjuangan membela bangsa oleh parti berlambangkan keris bogel itu? Umat Melayu sekarang sudah kehilangan solidaritinya. Kedaulatannya acap kali diperbodohkan. Raja-raja Melayu dicabut keperkasaannya. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga bagai dialas-kakikan oleh mereka. Pendidikan anak-anak Melayu?

Isu terbaru berkaitan PPSMI pun mereka membutakan mata. Memekakkan telinga. Sehinggakan anak-anak ini tercorot dalam pembelajaran. Mereka beria mengejar markah A, tetapi dalam sembunyi-sembunyi rupanya A itu pun sudah tiada kualitinya lagi. Kata Pak Samad, mereka ini bertelinga satu, berlidah dua.

Sungguh, mereka penipu anak bangsa. Institusi pendidikan bagai diperdagangkan. Lihat, betapa sukarnya si miskin untuk mengaji satu ilmu. Sedangkan negara ini kaya raya. Kemewahan berlimpah ruah. Bukankah menuntut ilmu itu wajib hukumnya sebagaimana sembahyang? Justeru, membantu dan memudahkan mereka untuk mempelajari ilmu juga adalah wajib hukumnya.

Apa pula yang mereka perjuangkan untuk negara? Sekarang seluruh dunia gempar mengatakan kita akan dipimpin oleh seorang penjenayah. Betulkan? Kalau salah, segera sangkalkan. Jangan biar masyarakat dunia sewenangnya memfitnah negara kita. Pepatah Melayu ada menyebut, 'berani kerana benar, takut kerana salah'. Atau, mereka ini sudah tidak mengenal lagi pepatah Melayu? Hanya petah berbahasa Mat Saleh? Atau, mungkin mereka tertarik dengan lenggok bahasa si penyair Monggol.

Agama? Ahh, jauh panggang dari api. Bagai langit dengan bumi. Ibarat isi tertanggal kukunya. Tengoklah kepada media-media perdana. Hiburan disajikan kepada umat. Terutamanya si muda remaja. Menjauhkan ruh anak muda dari nilai tauhidik. Disajikan jasadnya dengan hidangan melalaikan.

Mari, siapa yang berani katakan bahawa semua itu di luar kawalan mereka, para pembesar negara? Itu adalah amanah. Ia juga disebut tanggungjawab. Nanti kalau kita gagal menjawab persoalan tanggungjawab semasa hidup di muka bumi ini, bergelegaklah kawah jahannam, asap hitam akan berkepulan menjulang, bahang kemerah-merahan menyengat-nyengat, saat itu, jasad kita yang lemah lagi hina itu akan dihumban ke dasarnya. - azm

Doa Buat Zahrah


Salam blogawan.

Malam tadi, sewaktu aku sedang khusyuk mendengar kuliah perihal Hari Jumaat di surau Gelong Bilal, tiba-tiba sampai satu mesej via SMS ke fun aku. Aku terus buka peti mesej lalu membaca mesej tersebut. Dua kali aku mengulangi baca mesej pendek itu. Sah, aku tidak tersalah baca lagi.

"Salam. Aku kat KT ni. Zahrah masuk wad." Itulah khabar dari mesej tersebut.

"Innalillah...." Ucap hatiku.

Aku dengan segeranya terus membalas mesej tersebut. "Aku kat kuliah ni. Nanti bila habis kuliah kita jumpa ok. Aku nak ke hospital."

"Malam2 mana boleh melawat. Lagipun kita takleh jumpa, aku kena bergilir-gilir dengan zaujah untuk menjaga Zahrah." Terang sahabatku itu.

Ya tak ya juga kan. Malam-malam mana boleh melawat. Pesakit mahu berehat. Aku terlupa pasal itu kerana terlalu terkejut dengan berita tersebut.

"Zahrah sakit apa?"

"Demam kuat."

"Ok. Insya-Allah petang besok aku ziarah. Allahu Yashfiiha." Aku mengakhiri kata dengan lafaz doa.

"Ok, Tak apa la. Thanks for Du'a." Balasnya lagi, juga mengakhiri kata.

Zahratuaini. Anak comel berusia hampir satu tahun, agakku. Permata sulung sahabatku BudakGemok. Semoga Allah melindungi dan menyembuhkan kamu. Ammu doakan agar Zahrah dapat kembali ceria berceloteh macam biasa.

Mudahan sahabatku ini bersama zaujahnya kuat dan tenang menghadapi ujian Allah ini. Sungguh, setiap ujian menimpa menandakan Dia masih mengasihi kita. Sabar, redha, dan berzikirlah selalu mengingati Tuhanmu. Dia maha berkuasa dan mengetahui setiap langkah kita. Juga, berselawatlah sentiasa.

Kepada pembaca mesej ini, ringankanlah diri kalian untuk turut mendoakan segala kebaikan buat Zahrah sekeluarga.

Zahrah di pangkuan nindanya


HEBAHAN: Pesta Buku Negeri Terengganu




Bersama Kita Memandaikan Bangsa!

Mulianya Kamu Wahai Muazzin



Maha Suci Engkau Ya Tuhan!
Tidak Engkau Ciptakan Ini Dengan Sia-sia.

"Maka, manakah lagi nikmat Tuhanmu yang kamu dustakan?"

Anti-PPSMI: Markah A


Salam blogawan.



Petang kelmarin. 17 Mac 2009. Minum petang di PizzaHut, Pusat Bandaraya Kuala Terengganu. Kami bertiga. Dua lelaki, seorang perempuan. Perempuan tu seorang guru lepasan UMS. Berusia awal 20an, agakku.


"Awak menyokong PPSMI?" Aku membuka cerita.

"Ya, apa tak kenanya dengan PPSMI?" Dia memulangkan kembali persoalan.

Aku tidak menjawab soalannya, tetapi langsung bertanyakan soalan lain. "Sudah berapa lama PPSMI dilaksanakan?"

"Lamaaa. Sudah enam tahun." Jawabnya bersemangat.

Aku terusan bertanya. "Dah enam tahun. Apa kejayaannya?"

"Berjaya la. Tengok, berapa ramai pelajar kita dapat A dalam Sains & Matematik." Jawabnya lagi dalam senyuman beriak bangga.

"Memang ramai," sahutku ringkas.

"Tapi, berapa ya markah untuk mendapat A?" Tanyaku lagi.

"Alaa, markah dia dalam 80 ke atas gitu." Jawapannya mula goyah.

"Pasti?"

"Iya lah."

"Takde kemungkinan ke kalau-kalau markah tu diturunkan serendah 40 atau 30 untuk mendapat A?"

"Apa pulak. Takkan la macam tu."

"Keputusan peperiksaan hanya diketahui A. Kenapa tidak diberitahu markahnya sekali?"

"Laa, kan drafnya dah ada. 80 ke atas A la."

"Itu meragukan. Ramai pihak sudah mendesak supaya kementerian mengeluarkan draf-draf markah itu. Tapi sampai sekarang kementerian masih lagi sepi."

"Kalau sayalah. Saya benar, tapi orang kata saya ni salah. Orang-orang tu pulak suruh saya tunjukkan bukti yang saya ni benar. Mesti waktu tu jugak saya tunjukkan bukti yang saya ni benar. Kalau bukti dah ada, tak susah kan untuk tunjuk?"

"Sekarang, kementerian masih lagi berdolak-dalik dan enggan mengeluarkan draf sebenar markah kelulusan. Jadi, di mana ketelusan?"

"Jadi, kata-kata orang yang markah kelulusan direndahkan adalah sangat tepat kalau ikutkan teori ini."

Lalu, dia tidak dapat menjawab lagi. Akhirnya dia berkata sambil gelak-gelak, "Saya tak campur politik."

Bapak saudara dia (kawan aku, Bro Ayyub) yang duduk di sebelah aku hanya tersenyum. Dia berbisik kepada aku, "Anak saudara aku tu biru sikit. Ayah dia orang dacing."

"Patuuut pun."

Kesimpulannya?

Tipah sudah tertipu.

Lu pikir la sendiri :)


Ehem:

: Untuk sedap dibaca, perbualan di atas diedit sedikit bahasanya.

Sekalung Takziah


Salam Blogawan.



12 Mac 2009 / 15 Rabiul Awwal 1430H


Lewat subuh tadi, kira-kira jam 5 pagi, aku menerima khabar via SMS. Khabar itu ringkas. Tetapi padat. Ringkas, tapi amat menyentuh jiwa naluri. Khabar yang menyapa itu sedingin bayu pagi. Lembut meresap halus ke sudut hati. Meluncur deras bersama cairan merah melalui pembuluh dam, naik ke kotak fikir lalu membisikkan sesuatu hingga lisanku tergerak untuk mengucap sesuatu yang suci. Kalimah tauhidik bukti kehambaan. Penuh keimanan.

"Sesungguhnya kita dari Allah, dan kepada-Nya kita akan kembali." Lafazku berbahasa Arab.

Ayat ringkas via SMS itu berbunyi:


"Salam, chek (ibu) sudah kembali ke rahmatulLah sekejab tadi. Alfatihah." Sungguh ringkas. Namun begitu bererti.

Terus aku maklumkan berita itu kepada umi, kepada saudara mara terdekat, dan seorang dua kenalan rapat.

Salam takziah buat saudara dan juga sahabat baikku, Syed Azwan Yahya. Semoga beliau dikuatkan kesabaran dengan pemergian bondanya yang tercinta ke pangkuan Ilahi. Tiada yang kekal melainkan zat yang Esa. Itu semamangnya dimaklumi. Sama-sama kita doakan agar ruh si bonda itu ditempatkan bersama hamba-hamba yang soleh dan mudahan diampunkan dosa-dosanya.


08 Mac 2009

Mengimbas kembali detik-detik akhir 'chek'.

Ahad lalu beliau dengan tiba-tiba diserang stroke sehingga membuatkan beliau koma. Dengan segera, ahli keluarga bergegas membawanya ke hospital Kemaman. Tetapi kemudiannya beliau terpaksa dihantar ke hospital Kuantan kerana peralatannya yang lebih lengkap. Berhari-hari beliau terlantar tidak sedarkan diri. Anak-anak bergilir-gilir menjaga beliau.

11 Mac 2009


"Petang ini chek akan buat pembedahan kepala. Tolong doakan ya." Beritahu Azuan melalui corong fun tanganku.

Pembedahan kepala terpaksa dilakukan kerana mesin
scanner tidak mampu lagi berbuat apa-apa. Petang itu, beliau dibawa ke bilik bedah. Aku yang ketika itu berada di Kuala Terengganu tidak putus-putus bertanya khabar melalui SMS. Tetapi tiada jawapan daripada Azuan.

Dari petang membawa ke Maghrib. Dari Maghrib masuk pula Isyak. Sampailah lingkungan jam 12 malam, aku sudah bersiap untuk tidur. Namun, tiada lagi khabar daripada Azuan. Aku pula tidak lagi bermasej ataupun menelefon dia. Bimbang kalau-kalau mengganggu.


12 Mac 2009


Fun tanganku menyala menandakan ada pesanan ringkas yang masuk.

"Salam, chek sudah kembali ke rahmatulLah sekejab tadi. Alfatihah." Kata Azuan melalui fun tangan adiknya, Syuhada.

Terus meleburkan himpunan persoalan yang menghantuiku sejak dari petang kelmarin.

Maaf Wan, aku tidak sempat menziarahi bondamu. Tetapi aku tidak pernah melupainya di dalam doa kudusku.


"Allahumma fighlaha, warhamha, wa'aafiha, wa'fuanha."

Alfatihah.

Anti-PPSMI: Warkah Buat Tuanku


Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun.
Ampun tuanku beribu ampun, izinkan patik mengucap kata,

menyingkap durja terbungkam di dada.

Pohon patik jangan dimurka.





07 Mac 2009 - 6pm

Waktu patik memulakan bicara ini hari sudah beransur menginjak senja. Pun begitu, kelihatan langit yang memayungi tanah jajahan di negeri iman yang dinaungi oleh putera comel tuanku ini masih lagi terang disinar mentari petang. Suka patik khabarkan bahawa pada tika sekarang negeri ini berada dalam suasana aman tenteram. Rakyat jelata sudah bersusun-susun berkereta di jalanan. Pulang ke kediaman dari mencari sesuap nafkah tugasan harian.

Tapi pada waktu sekarang juga, maksud patik di awal petang tadi di ibu kota, terjadinya keadaan kurang tenteram. Begitu khabarnya yang sampai ke pendengaran patik. Ibu kota tempat pusat pemerintahan serata ceruk jajahan tuanku seMalaysia ini dengarnya sudah berlaku kekecohan. Dengarnya lagi, rakyat jelata seMalaysia telah sepakat bangun mohon menghadap baginda tuanku di balai rong istana kota. Mereka memohon untuk menghadap tuanku hanya kerana satu tujuan. Hanya dengan satu kecintaan. Dan demi satu ketaatan. Adalah untuk memartabatkan semula bahasa ibunda, bahasa tuanku dan juga bahasa rakyat jelata dari terus terkubur dan dijadikan pengalas kaki oleh juak-juak memanda-memanda menteri tuanku yang sudah biru anak matanya. Yang sudah membarat akal pemikiran mereka. Sungguh, pada firasat patik, tuanku maklum sudah akan hal ini.

Nah, sekarang terbukti sudah kemahuan rakyat. Ratusan ribu yang telah turun berarak memperjuangkan agar bahasa ibunda dikembalikan ke makamnya yang asal. Supaya anak-anak kita tidak terus kecundang dalam pengajian. Supaya tidak terjadi pada suatu hari nanti umat Melayu sudah tidak mengenal manakah rupa agamanya. Tuanku sendiri dapat menyaksikan dengan penglihatan hati tuanku bahawa rakyat tetap dan masih lagi dan selamanya dengan izin Allah akan terus bersama tuanku demi agama, bangsa, serta negara yang kita cintai ini. Kami tidak akan sesekali mendurhakai tuanku dan raja-raja Melayu selagi ketaatan kepada Tuhan yang kita imani tidak diganggu-gugat. Kami bersama tuanku demi agama dan anak bangsa.

Pada telahan tuanku, siapakah yang lebih durhaka? Kami rakyat jelatakah, ataupun siapa? Patik yakin, tuanku lebih bijak menyimpulkannya daripada segolongan memanda-memanda menteri dan penjilatnya yang bagaikan hilang kewarasan itu. Benarkan tuanku?

Ampunkan patik kerana patik tidak turut bersama dalam perarakan bahasa yang penuh sejarah dan nostalgia itu. Bukan tidak mahu. Bukan hilang kecintaan. Tetapi masyaqqah yang menjadi alasan penghalang patik. Namun begitu, jiwa patik tidak pernah sepi dari memperjuangkan kebenaran ini. Patik berbuat sekadar yang termampu termasuklah sembah kata yang sedang tuanku baca ini.

Dengarnya lagi tuanku, beberapa hari yang lepas sudah keluar kebenaran dari istana, daripada tuanku sendiri yang memperkenankan rakyat jelata para pejuang bahasa menyerahkan apa yang mereka gelar memorandum itu kepada baginda tuanku. Maksud patik, menghantarkannya ke istana. Betul, memang istana telah membuka seluasnya gerbang istana kepada para pejuang bahasa. Mereka bukan datang untuk membuat onar kepada istana. Mereka bukan datang untuk menghuru-harakan negeri. Justeru, lantaran tuanku sendiri yang memperkenankannya, pada perkiraan dangkal patik ini mereka sudah menjadi tetamu istana. Ya, mereka tetamu istana. Tetamu tuanku sultan. Mereka harus dipersilakan dengan penuh adab keislaman dan kemelayuan.

Betul, bapak sasterawan negara yang masyhur itu telah berjaya memasuki istana lalu menyerahkan memorandum. Tetapi, jalan menuju ke istana yang sepatutnya berkeadaan damai tenteram telah dicemarkan oleh pengawal keselamatan dengan penuh kebiadaban. Jalanannya penuh rintangan, halangan yang memerlukan kekuatan yang tidak sembarangan. Mereka selayaknya digelarkan pengawal perusuhan. Kerana mereka yang merusuh. Merekalah yang membikin angkara. Menghuru-harakan keamanan. Mereka siap bersenjata berdepan dengan rakyat jelata yang hanya bersenjatakan memorandum menjulang maruah bangsa. Mereka Pengawal DiRaja SeMalaysia. Tetapi mereka bukan berkawal untuk keselamatan istana. Tuanku tahu, mereka berkawal untuk menjaga keselamatan memanda-memanda menteri yang haprak itulah. Mereka patutnya digelarkan Pengawal Menteri SeMalaysia.

Serangan yang mencetuskan huru-hara di istana tuanku dan di sekitarnya itu memang dimulai dengan Pengawal DiRaja itu. Tanyalah sesiapa pun (kecuali juak-juak memanda-memanda menteri), pasti mereka akan mengiakan kata-kata patik ini. Dan semestinya, tindakan buas mereka itu terjadi bermulakan dengan arahan pihak-pihak tertentu yang bebal lagi membebalkan. Tidak sedarkah mereka bahawa semua orang-orang yang diserangnya itu adalah pejuang bahasa. Mereka adalah pendaulat bangsa. Benar, mereka benar-benar mengundang celaka tuanku. Mereka berani menanggung tulah DiRaja dengan menzalimi para tetamu tuanku.

Jelas sekarang, bukan kami yang derhaka. Bukan rakyat jelata yang mahukan keadilan ini yang menderhaka. Tetapi, merekalah yang derhaka. Merekalah yang mencetus onar dalam negara. Dari utara hingga selatan. Dari timur hingga ke barat. Negeri tergugat, agama tergadai. Ya, semua itu angkara mereka.


Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun.

Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik jangan dimurka.

Salam Maulidurrasul

Labbaika Ya Rasulallah!
Kami umat di akhir zaman dahagakan pedomanmu. Kami tidak rela diri kami hanya lantang menyambut mauludmu, tetapi jiwa penuh dengan kebencian terhadap TAUHID bawaanmu. Syafaatkan kami duhai kekasih Allah. Syafaatkan kami.

Foto di salin dari laman PERMAYA Online


Allahumma solli 'ala Muhammad
Wa 'ala ali Muhammad

Salam-selawat buatmu & kaum keluarga,
juga anak-cucumu ya Rasulullah

Anti-PPSMI: Mari Kita Pakat Berarak


Sebagaimana Yang Diiklankan di Laman U
NIKA PTS


__________________________________________________________

Ayuh Datang Beramai-ramai.

Kita Perjuangkan
Bahasa Ibunda Demi Agama & Negara!!


  • Warna tema pada hari tersebut ialah PUTIH
  • Jangan libatkan sebarang logo, bendera, dan simbol parti-parti politik


Anjuran:
Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)

Anti-PPSMI: Jangan Sampai Melayu Hilang Islam-nya!

Artikel ini tersiar di harakahdaily.net


Salam blogaw
an.


Sehingga ke hari ini, pihak yang bertanggungjawab 'menderhaka' kepada bangsa Melayu dan umat Malaysia dengan menggantikan bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris sebagai dasar baru Pengajaran & Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) masih lagi belum memberi maklum balas yang melegakan semua pejuang bahasa di seluruh negara.

Mereka terus berterusan dengan kajian ketadikaan yang tiada
berpenghabisan itu. Mereka dengan pelaksanaan dasar kurang cerdik itu telah secara tidak langsung meletakkan bahasa ibunda jajahan Melayu sebagai pengalas kaki. Ya, bahasa ibunda kita telah pun dijajah oleh orang kita sendiri yang berkiblatkan 'kaabah' Barat.

Di mana warasnya dasar PPSMI itu diteruskan? Apakah logikalnya dasar itu masih dipertahankan? Kenapa apabila diajak untuk perbahasan, 'orang' PPSMI itu tidak menyambutnya. Jika dasar PPSMI itu adalah satu keperluan dan menguntungkan para pelajar, sepatutnya pihak bertanggungjawab harus dengan berani menyahut cabaran untuk memperbahaskan isu ini. 'Berani kerana benar, takut kerana salah', adakah kamu sudah melupai pepatah Melayu ini? Oh ya, lupa. Sekarang kamu tidak lagi 'beriman' dengan bahasa Melayu.

Siapakah antara kita yang masih mengingati akan nasib tulisan jawi? Ke manakah ia sekarang? Hidup lagikah? Atau sudah matikah? Kalau sudah mati, di mana nisannya? Cuba bertanya kepada anak-anak di sekolah rendah, "Tulisan jawi itu apa?". Mungkin masih ada yang dapat menjawabnya (itu anak pejuang bahasa, pasti). Tetapi, cuba pula diberikan kepada si anak sekolah rendah itu akhbar Utusan Melayu (Melayu?) yang bertulisan jawi dan minta si anak tadi membacanya. Aku yakin, jika dapat membacanya pun, tentu sekali dengan merangkak-rangkak.

Kesan penguburan tulisan jawi ini pula apa? Siapa yang mengetahuinya? Percayalah, ini adalah propaganda halus jajahan moden kepada umat Melayu Islam. Kesannya, cuba diberikan naskhah Al-Quran kepada budak-budak lepasan UPSR yang bakal menduduki pembelajaran di kelas menengah. Tebuk mana-mana ayat dan minta dia membacanya. Pasti tidak ramai yang mampu membacanya dengan baik.

Sedangkan kalau kita imbas kembali, di zaman 80an atau 90an, mereka yang bersekolah menengah sudah mampu membaca Al-Quran dengan baik. Sedarkah kita, apabila baca Quran pun terangkak-rangkak, bagaimana mungkin untuk mereka memahami seterusnya mengamalkan perintah amar makruf nahi mungkar dan segala hukum hakam yang terkandung di dalam kita suci itu?

Kita kembali kepada isu PPSMI. Apakah hubungannya dengan isu tulisan jawi? Memang kedua-duanya itu mempunyai hubungan akrab yang sangat rapat. Kerana kedua-duanya itu adalah jambatan untuk masyarakat Melayu mengenal dan mempelajari agama Islam. Sekarang, dengan penurunan kelas tulisan jawi, telah berjaya membuat anak-anak muda kita buta Al-Quran dan secara tidak langsung jauh dengan kefahaman Islam.

Kini bahasa Melayu pula yang diganggu-gugat. Jika dasar 'celaka' ini tetap diteruskan, tunggulah suatu hari nanti apabila para ibu bapa sudah teramat sibuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen siang dan malam (terutama bagi subjek Sains & Matematik yang sudah diinggeriskan) sehingga tiada lagi masa yang diluangkan untuk agama.

Tika itu andai ditanya ke manakah anak-anak, apa kata mereka? Mungkin begini...

"Anak makcik sekarang ni dah takde masa nak buat benda lain. Siang malam kena pergi tuisyen. Maklumlah, tahun ni kan budak-budak tu nak periksa. Jadi, nak pastikanlah supaya semua subjek dapat A."

Ingat, subjek agama bukanlah subjek wajib untuk dikejarkan 'A'. Jadi, ke manakah nanti tempat jatuhnya penghayatan Islam dalam masyarakat?

Bak kata Nabil si raja lawak, "Haa, lu pikir la sendiri."

Berfikir bukan saja buat hari ini, tetapi untuk hari esok juga.


Para Pejuang Bahasa & Agama, Selamat Ber-demo

Poster Online ini disalin daripada blogger amdang