SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI

Masih Ujudkah Cinta?

“Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka ketahuilah bahawa pada hari ini Muhammad telah mati...”

“...Namun, barang siapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu hidup selamanya dan tidak akan mati.”

Begitu yakin dan tegas kata-kata Saidina Abu Bakar tatkala menenangkan Umar sahabatnya di hari kewafatan baginda Rasulullah SAW. Ketika itu Saidina Umar bagai kerasukkan, seolah tidak dapat menerima hakikat bahawa Rasulullah telahpun meninggal dunia.

Beliau mengelilingi serata Kota Madinah dengan pedang terhunus, ingin memancung sesiapa sahaja yang mengatakan bahawa Rasulullah sudah mati. Sehinggalah beliau mendengar kata-kata penuh hikmah daripada Saidina Abu Bakar itu. Lalu jiwanya menjadi tenang dengan ketentuan Tuhan. Teringat beliau kepada sepotong ayat suci AlQuran yang mengatakan bahawa setiap zat yang bernyawa itu pastinya akan bertemu dengan kematian.

***

Kita sekarang sudah pun berada di pertengahan Syawwal. Bulan kemenangan bagi yang berjuang. Bulan transformasi buat para graduan. Bulan kemerdekaan untuk makhluk yang terbelenggu. Bulan kehilangan kepada mereka yang mencari. Dan bulan kesyukuran bagi hamba yang berhamba.

Selama sebulan penuh telah kita tempuhi satu bulan yang melimpah dengan kerahmatan dan ribuan kurnian ampunan daripada Tuhan. Ramadhan. Padanya disarati dengan penuhan anugerah kebaikkan daripada-Nya.

Ketika berada di bulan Ramadhan, umat manusia, khususnya yang beragama Islam seolah-olah telah terangkat segala kefasadan (walaupun di celahnya masih ujud laku yang mengundang kemurkaan).

Mereka berlumba-lumba dalam berbuat amal kebajikan, amal ketaatan. Masjid-masjid sentiasa penuh dengan jamaah. Sumbangan derma dihulurkan tanpa langsung berkira-kira tentang isi poket. Kewajipan puasa dilaksana dengan penuh kejujuran walau tiada seorang pun yang mengetahuinya. Malamnya dihidupkan dengan penuh keinsafan. Ibadah diganda-gandakan. Mereka berteleku memunajat, bersujud menyembah, menadah tangan mendongak, memohon dengan penuh pengharapan. Memohon jutaan kerahmatan jua keredhaan daripada Tuhan.

Kemungkaran dan maksiat ditinggalkan demi mensucikan ibadah puasa yang dilakukan. Bahkan, makan minum, berjimak, dan segala macam perkara halal yang diharamkan pada waktu siang hari mampu dilupakan sebentar di bulan Ramadhan demi ketaatan yang luhur kepada yang Esa.

Ada satu contoh mudah; Andaikan waktu berbuka puasa masuk pada jam 7.30 malam. Seseorang yang berpuasa tidak akan sesekali berbuka pada jam 7.25 minit malam walaupun juadah telah terhidang. Walaupun sebiji kurma telah berada di dalam genggaman. Hatta, ketika jarum jam menunjukkan pukul 7.29 sekali pun, mereka tidak akan berbuka.

Benar bukan?!

Begitu akurnya kita di dalam ibadah puasa. Begitu sedarnya kita bahawa Tuhan itu maha Melihat setiap gerak laku kita. Itulah kepatuhan dan ketaatan yang dapat diasah ketika mana melalui sebulan bulan Ramadhan.

Namun, adakah ketaatan dan kepatuhan itu dapat kita teruskan pada baki sebelas bulan yang berikutnya? Tiada sesiapa yang dapat menentukannya melainkan diri kita sendiri. Pejamkan mata sejenak dan koreksilah peribadi. Sebelum tidur di malam hari, hisabilah diri terlebih dahulu. Apakah amal buat kita di sepanjang hari itu terlepas dari laku yang bakal mengundang murka Tuhan.

Dr. Yusof Al-Qardawi pernah meminjam kata-kata agung daripada Saidina Abu Bakar ketika wafatnya baginda Rasulullah SAW dengan mengatakan, “sesiapa yang menyembah Ramadhan, maka ketahuilah bahawa Ramadhan telah pun mati (berlalu). Tetapi, barang siapa yang menyembah Tuhan Ramadhan, maka sesungguhnya Dia tetap akan hidup buat selamanya dan tidak akan mati.”

Sendiri mau fikirlah...adakah masih ujud 'cinta' di jiwa kita.

Pemuda, Ramadhan, & Perjuangan

Salam sejahtera, dan salam Ramadhan Mubarak buat semua.

Lama benar rasanya jemari ini kelu, tidak menutur kata bagai dulu-dulu. Sudah kurang lebih tiga bulan barangkalinya.

Awalnya, masih belum terlewat lagi untuk aku ucapkan ‘Selamat ber-Ramadhan’ buat kalian semua. Selamat menunaikan ibadah rukun Islam yang keempat jika mengikut turutannya. Selamat melalui bulan ‘pemulihan’, bulan ‘tarbiah’ dan bulan ‘bersih’. Selamat beribadah dan bersatu dengan alam, makhluk seluruhnya. Selamat ‘berkhalwat’ dan bermunajat, bersujud di hadap zat yang maha Mulia. Selamat membersihkan diri kita daripada selain-Nya untuk mengecap kurniaan rahmat, maghfirah, serta pembebasan seperti yang dijanjikan.

Bermula pada bulan yang penuh dengan barakah ini, aku ujudkan satu ruangan yang aku namakan Kalam Anak Muda’. Seterusnya aku menadah tangan mendongak ke hujung langit, bermohon kepada Ilah agar diberikan kekuatan untuk sentiasa melakarkan sesuatu di ruangan ini. Demi kemanfaatan bersama, insya-Allahu Taala.

Memang, apabila disebutkan saja ‘pemuda’ atau ‘pemudi’, ia menggambarkan kepada kita satu susuk tubuh yang melewati waktu usia seputar 20 hinggalah ke usia 40 tahun. Satu susuk tubuh yang kuat bertenaga. Segak bergaya. Cantik mempesona. Berfikiran terbuka dan segar mencetus idea. Berwawasan serta berpandangan jauh merentasi masa. Menjadi tonggak kekuatan sesebuah kaum dan ummah. Begitulah kebiasaan adatnya.

Tapi kali ini, bersempena posting pertama di bulan Ramadhan ini, bukan perkara tersebut yang mahu aku utarakan. Barangkali nanti akan dibicarakan pada posting-posting yang akan datang. Dengan seizin-Nya jua.

____________________________________________

Kali ini, aku ingin ‘berdiskus’ mengenai tajuk di atas, Pemuda, Ramadhan, & Perjuangan.

Semua makhuk Tuhan yang berhamba di muka alam ini penuh gembira tatkala menyambut kedatangan Ramadhan. Masing-masing sibuk menjalankan tugas mereka. Langit-langit dihiasi dengan penuh seri. Cakrawala semakin bergemerlapan memancarkan sinar hakiki. Persiapan mereka seolah-olah ada seseorang yang akan datang melamar sang bidadari Syurga. Begitu meriah sambutannya. Mereka mengusung segunung kerahmatan Tuhan untuk dibawa ke dalam diri sang teruna yang bernama Ramadhan.

Amatlah rugi dan malang andai masih ada lagi mereka yang keras hatinya lalu tidak mengendahkan kedatangan bulan yang penuh kemuliaan ini. Sedangkan peluang yang tidak ternilai itu hanya muncul hanya sekali dalam setahun. Jika kali ini kita abaikannya, belum pasti kita akan berkesempatan menemuinya lagi pada tahun-tahun yang akan datang.

Sepertimana yang termaklum, Ramadhan diibaratkan sebagai bulan tarbiah. Seolah-olah sebuah madrasah bagi mendidik dan mengasuh diri untuk lebih mesra dengan Al-Khalik. Untuk menjadikan diri ini kian dekat dengan ehwal perihal makhluk. Agar ruh insani kita lebih kuat untuk menghadapi perjuangan dalam dunia yang semakin mencabar.

Perlu kita akui bahawa dunia sekarang makin hari kian jauh menapak ke alam akhir zaman. Suatu hari dahulu Baginda Nabi SAW pernah mengingatkan kita ummatnya bahawa di akhir zaman, sesiapa yang cuba mengamalkan sunnah perjuangan Baginda seolah-olah dia menggenggam bara api. Membawa maksud, teramat sukar dan payah, malah terlalu perit untuk melakukannya. Ia memerlukan satu naluri, tekad keazaman dan semangat yang jitu.

Perjuangan yang dipusakakan Nabi buat kita ummatnya bukanlah sesuatu yang mudah. Ia tidak semata-mata tertakluk kepada ramainya keanggotaan kumpulan atau keahlian jamaah kita. Ia bukan semata-mata bergantung kepada melimpahnya wang ringgit serta segala keberadaan kita.

Contohnya mudah; peperangan agung kali pertama dalam sejarah Islam yang pernah menentukan jatuh bangkitnya perjuangan Islam di muka bumi ini ialah peperangan Badar yang berlaku di bulan Ramadhan pada tahun kedua Hijrah. Jamaah Islam yang berpusat di negara Islam Madinah mampu menewaskan pasukan musuh yang bilangannya tiga kali ganda bilangan jamaah Islam ketika itu. Mereka mampu menewaskan pihak musuh yang berganda-ganda lebih kuat dari segi peralatan dan kemewahan. Tiada siapa dapat menafikan kebenaran fakta ini.

Di dalam Al-Quran pula ada menegaskan bahawa sudah berapa banyak golongan yang sedikit mampu menewaskan golongan yang bilangan dan kekuatan meterial mereka lebih berganda. Seperti mana yang disebutkan Tuhan pada ayat 249 dalam surah al-Baqarah, ayat yang memperihalkan kisah pasukan tentera Tolut menentang tentera Jalut itu.

Terlalu banyak lagi kalau mahu dihitung-kira contoh-contoh dari sebutan sejarah yang membuktikan bahawa kekuatan yang dimiliki oleh jamaah Islam di sepanjang lembaran zaman kegemilangannya bukanlah berpasakkan kepada kekuatan lahiriah semata, bahkan ia bergantung penuh kepada kekuatan jiwa, dan juga penyerahan diri yang mutlak kepada Tuhan yang maha Kuasa.

Untuk memiliki kekuatan ruhiyyah sebagai mana yang ada pada generasi pejuang terdahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita yang berada di tengah-tengah kehidupan yang kian berentakan dari sosio-budayanya, akhlaknya, ekonominya, kekeluargaannya, pemerintahannya, dan segala macam cabang kehidupan.

Jelas, ia sangat memerlukan semangat mujahadah yang begitu tinggi. Benar, perjuangan untuk memiliki kekuatan tersebut bagai menggenggam bara api yang membahang. Kerana itu, bukan calang-calang orang yang mampu menghadapi rintangan itu. Mereka hanyalah orang-orang yang terpilih sahaja daripada jutaan hamba-Nya di muka bumi ini.


Justeru wahai anak muda, marilah sama-sama kita bangkit. Bangkit dari mimpi yang membuai. Bangkit dari lena yang panjang. Bangkit dari khayalan kehidupan. Bangkit dari keselesaan hidup yang menekan. Bangkit dari keseronokan hidup yang tiada berpanjangan. Bangkit dari segala macam kedustaan. Bangkit kita memancung semua tangan-tangan rakus penuh kezaliman.

Ayuh di bulan yang dijanjikan dengan seribu kerahmatan ini kita mengorak langkah. Sama-sama kita membina tekad. Jangan disiakan peluang yang hanya datang setahun sekali ini untuk kita cuba berusaha agar diri kita termasuk di kalangan hamba-Nya yang terpilih. Terpilih untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai. Terpilih juga untuk menjadi hamba yang akrab dengan-Nya. Dan terpilih menjadi pejuang serta srikandi yang membawa risalah kebenaran peninggalan Nabi.

Inilah masa dan ketikanya. Semua amal kebajikan dilipat-ganda pembalasannya. Setiap tutur doa yang dipinta dengan penuh keikhlasan pasti diarak dan diaminkan oleh jutaan Malaikat.

Hidupkan Ramadhan kita dengan penuh sifat kehambaan. Pertingkatkan ibadat. Biasakan diri kita dengan setiap gerak-laku sehari semalam (24 jam) hanya kerana Allah SWT. Banyakkan berdoa. Hidupkan malamnya dengan solat terawih, bertadarrus & bertadabur. Ruangkan sedikit masa kita untuk berzikir membilang keagungan-Nya, dan bermunajat memohon segala anugerah kurniaan-Nya.

Semoga Ramadhan yang dilalui dengan penuh keimanan dan penyerahan ini menatijahkan sejuta kemanfaatan. Bukan untuk sesiapa, bahkan ia adalah semata-mata untuk diri kita sendiri jua.

Ini Adalah Iklan Hiburan :)




Mari kawan kita berhimpun
Mari teman kita berkumpul

Tinggalkan segala kelalaian amalan
Malam ini kita berpangkalan

Memaknakan diri
Peranan kita usuli

Dalam berhibur kita bermunajat
Bertafakkr di malam seribu darjat.


Sindrom MudaMudi

Ditulis untuk M&M Event Management.


Dewasa ini kita melihat masalah kebejatan akhlak ataupun sinonim kini dengan istilah gejala sosial semakin teruk dan membarah. Peratusan tertinggi yang terjebak dalam ‘sindrom’ tersebut adalah di kalangan remaja, golongan yang akan mewarisi tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang.

Jika kita perhatikan pada isi-isi berita sama ada di kaca tv mahupun di dada-dada akhbar, pasti kita akan dapati bahawa hampir setiap hari, malah memang di setiap hari pun akan terpampangnya berita-berita yang amat menakutkan kita. Setiap hari berlakunya kes-kes jenayah dan juga kes yang berkait dengan kerosakan akhlak. Hampir keseluruhan kes-kes tersebut melibatkan golongan muda dan remaja.

Tiada lagi keamanan ataupun ketenteraman dapat kita rasai. Keluar sahaja dari rumah, pelbagai ancaman melingkari bayang-bayang kita. Di sekeliling kita barangkali ada saja mata-mata yang memandang penuh curiga, hanya menunggu tika waktu yang sesuai untuk menerkam.

Masyarakat kita khususnya para remaja sekarang ini sentiasa dihidangkan dengan program-program dan acara-acara hiburan yang melampau. Hiburan-hiburan yang bingit dengan pemujaan nafsu dunia yang kesetanan. Yang sepi dan sunyi dari nilai-nilai murni yang bisa membawa diri ke negeri akhirat. Dengan santapan-santapan melalaikan yang terhidang itu, pastinya akan hanyutkan lagi para remaja kita semakin jauh ke tengah lautan noda yang tidak mengenal erti puas. Jauh dan kian jauh dari Tuhan. Agama hanya tinggal pada nama dan keturunan sahaja.

Mari renungkan wahai adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, dan sahabat-sahabat remajaku sekalian. Apa gamaknya yang akan terjadi seandainya tatkala kita berada di tengah-tengah lautan bernoda itu, sedang kita keasyikan berdakapan mesra dengan susuk nafsu itu, datangnya ribut taufan beserta dengan gelombang yang maha dahsyat yang dibawa oleh Malaikat Maut, si pencabut nyawa itu? Dan tatkala itu juga bahtera yang kita layari dengan limpahan keseronokkan dunia itu karam, lalu menguburkan kita di dasar lautan.

Ya, kita tentunya sama-sama meyakini bahawa kematian bukanlah sebagai garis penamat perjalanan kita. Ia bukanlah titik noktah kepada permusafiran kita sebagai hamba Tuhan. Malah, ia boleh saja dianggap sebagai satu langkah permulaan ke sebuah alam kehidupan yang kekal abadi. Alam yang bergemerlapan, penuh dengan kenikmatan buat hamba-Nya yang akur. Dan ia juga menjadi sebuah alam gelap yang penuh kesengsaraan bagi hamba-Nya yang ingkar dan yang bermaksiatan.

Lalu, apa persediaan yang kita sediakan untuk itu? Ke mana mahu kita tuju selepas itu? Inginkah kita terus di dalam kegelapan dan menerima pula kesengsaraan dek azab yang ngeri bersangatan? Atau, kita mahukan kelangsungan hidup di alam penuh gemerlapan, dengan curahan nikmat yang tiada kesudahan? Itulah yang pastinya bukan? Untuk itu, haruslah kita mulakannya dari sekarang, dari hari ini, dan dari saat ini kita harus mulakan perubahan. Bukan untuk sesiapa, bahkan ia untuk kita seadanya. Tanyakan pada diri sendiri, apakah tujuan aku diciptakan? Dan, apakah peranan aku di dunia ini? Pasti bukan sembarangan.

Bagaimana mungkin dengan nilai syahsiah diri yang semakin jauh tersasar dari makna amal serta pengertian iman mampu melahirkan generasi yang bakal membawa negara dan anak bangsa ke arah tuju masa depan yang murni. Jangan sesekali disisihkan mereka. Usah dipandang serong kepada mereka. Sebaliknya mereka harus dibentuk dan dipimpin kepada roh tauhidik yang mengenal Tuhan dan juga agama. Melalui pelbagai cara dan uslub yang disenangi mereka.

Dedikasi Buat Tersayang



Kelmarin si suami ceritakan kepada isterinya bahawa seorang sahabat telah meminta kepadanya buatkan bait-bait 'berbunga' sempana ulang tahun perkahwinan sahabat tersebut, lalu si suami mengarang beberapa baris kata-kata indah buat sahabatnya itu. Lalu sang isteri bertanya kenapa si suami rela buatkan kata-kata puitis buat orang lain sedangkan tidak pernah pun si suami buatkan seumpama itu kepadanya. Si suami hanya mampu tersenyum.

Sesungguhnya bukan si suami tidak sudi karangkan bait-bait puitis buat sang isteri, tetapi tiada ungkapan indah yang mampu menyaingi pengorbanan sang isteri.

Lagu puisi di atas setulusnya si suami dedikasikan buat sang isteri sempena ulang tahun kelahirannya yang ke 22. Terimalah. Hanya untukmu duhai isteriku. Hayati dan mengerti :)

Reunion & Pemilihan AJK Ex-Yaman Negeri T’ganu

- Dipetik dari www.permaya.org


Oleh:
Ahmad Yamani

Alhamdulillah. Hanya itu lafaz termulia yang layak saya ungkapkan setelah program yang dirancang sekian lama dapat dilangsungkan dengan jayanya. Nampak ringkas, namun ia tidak akan terlaksana tanpa sokongan serta kerjasama daripada sahabat-sahabat yang sedia meluangkan masa dan tenaga tanpa pinta dibalasi.

Majlis Berbuka Puasa & Ukhuwah lepasan pelajar Malaysia Yaman yang diadakan pada 09 Zulhijjah 1431H baru-baru ini dihadiri seramai 35 orang x-Yaman dari pelbagai latar belakang kerjaya - disebabkan tarikh bertukar pada saat-saat akhir, maka ramai yang tidak dapat menghadirkan diri. Saya mewakili Adhoc program memohon kemaafan di atas kesilapan teknikal yang berlaku - Majlis tersebut dilangsungkan di negeri Terengganu Darul Iman.

Program reunion yang diadakan pada kali ini sedikit berlainan jika dibanding dengan perjumpaan-perjumpaan yang lepas. Pertamanya dari sudut pengisian, ia dipenuhi dengan slot-slot ilmiah seperti tazkirah, iftor, dan ucapan daripada pimpinan. Kedua, pada pertengahan majlis diadakan pula pemilihan Jawatankuasa Pelaksana Alumni x-Yaman Peringkat Negeri Terengganu. Sebetulnya, ini merupakan program reunion x-Yaman yang sulung dan julungkalinya diadakan di Terengganu secara rasmi.

Saya mendengar dari bawaan angin bahawa ada yang berdesas-desus bertanya mengapa kerap benar reunion diadakan di negeri Terengganu. Di kesempatan ini ingin saya menjelaskan kepada sahabat-sahabat semua bahawa kebanyakkan program yang telah terlaksana sebelum ini dicetus dan diusahakan oleh mereka yang berada di Terengganu. Justeru itu, lokasi yang dipilih semestinyalah di tempat sendiri iaitu negeri Terengganu. Kerana ianya lebih mudah untuk dikendalikan. Itu sahaja. Tiada sebarang agenda lain yang tersembunyi.

Andai ada keluangan, kami juga teringin untuk mengadakan ataupun menyertai reunion di negeri-negeri lain. Jadi, diharap kepada sahabat-sahabat agar usah berwasangka yang bukan-bukan.

Semoga ukhuwah yang dibina sewaktu di bumi Yaman dahulu akan tetap tersemai subur sesama kita dalam mengatur langkah memperjuangan kalimatulLah. Insya-Allah.

Terima kasih yang tidak terhingga buat sahabat-sahabat yang hadir dan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Moga Tuhan membalasi kalian dengan seribu kebaikkan dunia akhirat.

Di bawah ini saya senaraikan 5 orang jawatankuasa x-Yaman peringkat negeri Terengganu yang terpilih (secara undian) di dalam majlis tersebut:

1) Syed Mohd Azwan b. Syed Yahya
2) Zulkifli b. Nara
3) Ahmad Buniyamin b. Razimi
4) Abdullah Basri b. Abu Bakar
5) Syed Ahmad b. Syed Mohamad



"Bersama Membentuk Hawariyyun"

Siri Seru 1Kaabah: Dua Sahabat

Debuan dihembus,
Bagai terpukau,
Mata dan hati,
Jasad dan nafsi.

Mereka melangkah..
berdua,
Menggalas segunung amanah..
berdua,
Getir diburu pedang dan tombak..
berdua,
Jangan gentar usah takut..
Walau berdua, Tuhan bersama.

Itu amar suruhan wahyu,
Kisah Hijrah peristiwa agung,
Dari Makkah ke Kota Madinah,
Hadapi peritan pelbagai mehnah,
Demi Islam, demi umat.

Ya, untuk kita,
Mereka berjuang,
Terus berjuang,
Berdua, juga bersama sahabat setia,
Hingga Islam kini bak pancaran mentari,
Menyinari zulumat dunia.

Nah, apakah pula tugas kita?!



- Ahmad Yamani
12 Ramadhan 1431H
Madinah al-Munawwarah

Siri Seru 1Kaabah: Merpati Fatimah

Riang berterbangan,
Di celahan sergam bangunan,
Di pundak ubun, ribuan insan.

Bebas,
tiada halangan,
Bebas,
tanpa sekatan,
Bebas,
semahu tak terkatakan.

Itu merpati pendamping Kaabah,
Peluru hidup simpanan Ilah,
Terbang berzikir,
mengagungkan Allah,
Pesaka jagaan,
puteri Rasulullah.

Pastikan keriangan,
Sepanjang zaman.



-Ahmad Yamani
10 Ramadhan 1431H
Makkah al-Mukarramah

Siri Seru 1Kaabah: Tetamu Tuhan II

Langkah tergamam,
Terpacak bagai tertanam,
Tangan melambai,
Tanda ucap salam tahiyyat,
Hati menggumam,
Gembira hamba berbaur sendu,
Bibir bergetar,
Menzikir tahmid melaung takbir,
Mata terpukau,
Pandangan sulung melihat kagum,
Antar realiti ataupun fantasi.

Syiar berpadu indah tersergam,
Umat bersatu kiblat nan satu,
Dialah Kaabah berselimut hitam.



- Ahmad Yamani
10 Ramadhan 1431H
Makkah al-Mukarramah

Siri Seru 1Kaabah: Tetamu Tuhan I

Hati terasakkan,

Debar bergetaran,

Minda berlamunan.


Kaki ku hayun,

Batu-batu jalan ku langkah,

Melalui lorong-lorong,

Melintasi kedai-kedai,

Membahui manusia-manusia.


Untuk apa aku di sini?

Beberapa minggu lalu,

tidak pun ku terfikir untuk ke sini.

Kerana aku lemah,

dan sememangnya sifat ku lemah,

maka aku tercampak di sini.

Ya, dengan susun-atur-Mu jua.


Tuhan, terima kasih.

Syukur ku panjat.

Dengan iradah-Mu,

Ku tiba di sini sebagai tetamu,

Bersama isteri dan ibu,

Menjadi tetamu-Mu Tuhan,

Di gersang berdebu Tanah Haram.



- Ahmad Yamani,

06 Ramadhan 1431H

Hotel Sofwah,

Makkah al-Mukarramah