SILA SKROL KE BAWAH UNTUK ARTIKEL TERKINI

Ma'al Hijrah: Apakah Peranan Kita?

Baru sahaja dunia melangkah ke tahun baru Hijrah (sedikit lagi akan ke tahun baru Masihi pula). Pastinya pelbagai sambutan, aktiviti, dan upacara akan diadakan. Ianya sudah menjadi rutin tahunan masyarakat kita. Tahukah kalian tema Ma'al Hijrah pada kali ini?

Sebelum kalian menjawab soalan tersebut, suka saya bertanyakan satu soalan yang lain. Untuk apakah Ma'al Hijrah diperingati? Untuk membawa kalian ke jalur yang lebih jauh lagi, mari sama-sama kita membelek sejarah dengan satu lagi soalan, apakah itu Ma'al Hijrah?

Ma'al Hijrah disambut adalah untuk memperingati permulaan bermulanya perkiraan tahun Hijrah. Satu detik sejarah yang agung buat penganut agama Islam.

Sememangnya ini merupakan suatu yang berantaian. Maksudnya, tiada Ma'al Hijrah tanpa berlakunya hijrah. Dan tiada hijrah seandainya Rasulullah SAW tidak berhijrah dari Mekah ke Kota Madinah. Persoalan besarnya ialah, kenapa Nabi Muhammad SAW, rasul nan agung itu sanggup bersusah-perit untuk berhijrah? Mengapa?

Ya, jawapannya adalah kerana Rasulullah SAW ingin menyempurnakan ajaran Tauhid yang dibawa oleh Baginda. Pasti sesiapa yang pernah mendengar akan sirahnya akan dapat menjawab persoalan itu dengan baik.

Sempurnakan ajaran? Apa tidak sempurna lagikah ajaran Islam sewaktu di Mekah dahulu? Para pembesar Musyrikin Mekah pernah menghantar rombongan menghadap Rasulullah SAW dengan membawa pelbagai barangan bernilai ditambah pula dengan tawaran jawatan sebagai pembesar Mekah agar Rasulullah SAW dan kaum Muslimin pada ketika itu hanya tinggal diam beribadat di masjid-masjid. Tinggalkan semua ajakan kepada cahaya Islam buat umat.

Namun, sepertimana yang terkisah di lipatan sejarah, Rasulullah SAW dengan tegas dan penuh keyakinan mengungkapkan satu ucapan masyhur:


"Seandainya diletakkan matahari di tangan kananku, dan diletakkan bulan di tangan kiriku, untuk aku meninggalkan urusan ini (dakwah), sesekali tidak akan ku tinggalkan"


Melalui kisah ringkas ini kita sudah dapat mengerti bahawa dengan hanya melakukan ibadat asas dalam ajaran Islam, belum lagi dikira sebagai sempurna. Islam meliputi seluruhnya termasuk amal ibadat, muamalat, munakahat, politik, pemerintahan, kemasyarakatan, sosial, dan segala apa yang ada hubung-kaitnya dengan kehidupan. Dunia dan akhirat. Semuanya perlu berlandaskan ataupun mengikut ketetapan yang telah diwartakan oleh Allah SWT, Pencipta segala yang ada.

Lalu, dapat disimpulkan bahawa perkara yang paling penting dan aula dalam peristiwa hijrah ialah keutamaan menyebarkan ajaran Islam kepada seluruh umat manusia. Bukan setakat menyuruh masyarakat ke arah kebaikan, bahkan juga berusaha dengan apa saja daya yang ada untuk mencegah mereka dari melakukan perkara maksiat dan kemungkaran kepada Allah SWT. Hal ini dipertanggungjawabkan kepada semua pihak.

Daripada yang bergelar individu, ibubapa, para pendidik, penulis, blogger, masyarakat setempat, ketua masyarakat, kerajaan negeri, pemerintah di peringkat pusat dan negara, serta seluruhnya. Ya, serulah dengan konsep 'amar makruf, nahi mungkar' melalui bidang kuasa masing-masing kerana semua pihak akan dihitung pada setiap amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

"Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin akan dipersoal tentang kepimpinannya"
- Maksud Al-Hadis

Justeru, usah menuding jari kepada sesiapa lagi. Tiada guna salahkan pihak ketiga ketika berlakunya kebobrokan sosial (YA, hari ini ia kian membusuk). Cuma jalankan tugas masing-masing. INGAT! Tugas tersebut adalah AMANAH daripada Tuhan semesta. Tetapi AWAS! Sekiranya kita satu pihak sahaja yang berhempas-pulas mengislahkan umat (anak muda khususnya), manakala satu pihak lagi dengan penuh tawa menjamu nafsu mereka sepuas-puasnya, maka kita harus menentang pihak itu atas kemungkaran yang dilakukan. Tidak kira siapa pun yang mewakili pihak itu.

Kalaulah anak muda yang 'bersosial' itu kita misalkan mendapat 10 dosa atas kelakuan jijik mereka, selayaknyalah kita katakan bahawa pihak yang membentangkan permaidani kepada mereka untuk satu keburukan akan mendapat sejuta dosa.

Mungkinkah begitu? Sama-samalah kita fikirkannya.

Salam Ma'al Hijrah.

1431H


Mulakan Hari Baru di Tahun Baru . . .


Berusahalah dengan seribu kekuatan,
usah berdalih dengan seribu alasan

Tawakkal, sabar, & redha dengan segala ketentuan

Berimanlah!
Sesungguhnya Tuhan maha Berkehendak

Aturan dan segala kesudahan-Nya
adalah terbaik bagi setiap hamba


Salam-selawat buat Junjungan
Nabi Muhammad SAW & keluarganya


"Salam Ma'al Hijrah - 1431 -

Sembang Rakyat Terengganu

Di bawah ini sedikit sedutan 'sembang rakyat' yang aku kumpul dari kes peraduan kira seluar dalam wanita. (kalau rajin, kira je bulu kat dalam sekali)

Tak percaya? klik -di sini-
_________________________________


"Eh, manusia sekarang ni dah tak ada segan dan silu ke?"


"Aku ingat lagi dulu waktu kecik...akak aku suruh belikan 'mende' tu kat kedai...makcik kedai tu siap bungkus dengan surat khabar dulu, barulah masukkan dalam plastik".

"Orang dulu-dulu lain. Jangankan nak buat, sebut 'mende-mende' camtu pun tak. Aib. Sebab tu la kalau kita renung-renung, orang dulu tak seteruk orang zaman sekarang".

"Ni semua bahana kemodenan ke apa pun aku tak tahu. Memang bala".

"Ye la...kita susah-susah duk didik anak-anak. Tub-tub, ada apa-apa hal, kita jugak yang ditudingnya".

"Cuba tengok iklan kat tv tu...alamak ai, kekadang tu segan nak tengok. Kadang-kadang leh terangsang pulak aku dibuatnya". <<- dialog ini diselangi sedikit gelak kecil.

"Iklan 'ubat' ketiak kena eksploitasi awek-awek seksi (cun tak setara mana pun). Habis ditunjuknya segala gunung-ganang dan lurah-lurah".

"Malu (maruah) sekarang dah jadi sampah di tepi jalan. Bersepah-sepah. Disepak-sepak".

"Siapa yang salah? Mereka? Keluarga mereka?"

"Ntah, payah nak jawab".


"Usah tuding sapa-sapa la. Wal hasilnya tadak pun".


"Kalau masing-masing memain peranan, insya-Allah semua dapat setel".


"Takkan bapak mufti leh diheret ke mahkamah kes takde tauliah, tapi budak-budak spara bogel yang berkeliaran jantan betina melayan nafsu tu takleh nak jamah sedikit pun".


"Hellooo...jangan jadi dayus la. Kuasa dah ada sebesar petala langit".


"Roadblock tu, jangan saman orang tadak lesen je...yang berkepit berpeluk atas motor dalam kereta tu saman jugak. Susah sangat ke?"

"Alaa, cakap banyak takde guna jugak kalau depa ni pekak dan membuta".

"Buat penat mak bapak didik kat rumah...buat letih cikgu ajar kat sekolah. Akhir sekali, bila keluar dari rumah, bila keluar dari sekolah, semua bebas. Sepatah pun orang tak berani nak tegur".

"Aduhai ummahku. Aduhai bangsaku. Aduhai negaraku".

Satu Malam Di Bandaraya Pesisir Air


30 Oktober 2009, 11PM



Malam ini aku keluar ronda-ronda seorang diri. Malam ini malam Sabtu. Masih dikira malam minggu buat warga Bandaraya Kuala Terengganu. Bandaraya? Apa yang ada pada batang tubuh bandaraya ini? Kenapa ia dibangga-bangga serta dikejar-kejar oleh segolongan manusia?



Biasanya malam-malam begini aku akan keluar bersama tim partner aku, Ady & Apits. Berbincang-bincang apa-apa yang patut untuk mencipta kemajuan diri. Tapi malam ini mereka tiada. Mereka ke Kemaman, menyertai program anjuran pemuda.



Malam ini aku hanya bertemankan mini komputer punyaan Apits. Nawaituku hanya untuk menyiapkan sebahagian dari tulisan yang masih terbengkalai. Namun niatku itu terbengkalai juga. Belum pun sampai setengah muka aku mengarang, aku berhenti. Kerana, terpanggil untuk membuat tulisan ini.



Sambil menaip dan menggali idea, aku dihiburkan dengan dendangan muzik dari corong suara headphone yang ku kepit di kepala. Jam baru menunjukkan pukul 11:27 minit malam. Ya, barangkali malam masih muda. Bukan padaku, tetapi kebarangkalian itu mungkin bagi diri anak-anak muda yang sedang melata itu. Aku sekarang berada di Taman Pesisir Air. Berhampiran hotel Felda, Kuala Terengganu.



Sebentar tadi hujan turun renyai-renyai. Mereka yang berkeliaran di taman ini masing-masing mengangkat kaki. Takut benar kepada basah. Sekarang cuaca cerah kembali. Mereka yang lain pula seorang demi seorang datang menghiasi panorama taman ini. Ada yang menaiki motosikal dan ada juga yang berkereta. Lelaki dan perempuan, itu satu kepastian.



Antara mereka ada yang memancing. Ada yang berkepit-kepit (membikin ‘air’) kat atas motor. Ada yang lepak-lepak di wakaf-wakaf taman yang terbina cantik. Oh ya, tidak berapa jauh dari tempat aku melabuhkan kereta, ada sekumpulan anak muda-mudi bersuka-ria menyambut hari ulang tahun (barangkali: kerana mereka sedang menunggu untuk memotong kek yang ada di sisi mereka).



Sekejap lagi aku mahu ke Pantai Batu Burok pula. Melihat apa yang terhidang di sana. Tetapi tulisan ini aku akan selesaikan di sini kerana bateri mini komputer ini sudah lemah. Sudah tidak mengizinkan lagi untuk berlengah-lengah.



Sejenak terfikir; kepada siapakah mahu dipersalahkan dengan keadaan yang sedang ku saksikan ini? Atau ianya bukan lagi suatu kesalahan? Alah bisa, tegal biasa kan? Sudah tidak terasa apa-apa lagi. Puas si Iblis puas dengan gelagat anak Adam dan kelakuan anak Hawa ini. Puncak nafsu mengatasi segalanya.



Aku tidak suka menyalahkan mereka itu. Kerana apa? Kerana itulah naluri mereka. Mereka mungkin jauh dari didikan. Didikan diri. Didikan ibubapa. Didikan kaum keluarga. Didikan sanak saudara. Didikan sahabat handai. Didikan masyarakat. Didikan pemerintah.



Aku sudah bosan dengan keadaan begini. Mana tanggungjawab mereka yang aku sebutkan di atas. Tanggungjawab tersebut harus dipikul bersama. Ia sangat tidak berkesan dan membazir jika hanya diusahakan oleh sesetengah pihak sahaja. Lakukan tanggungjawab mengikut kemampuan masing-masing.



Mereka yang berilmu pun mampu disekat memasuki masjid apabila tiadanya tauliah kan? Takkanlah anak muda kita yang berkepit-kepit, berfoya-foya di taman, yang berpakaian bagai mahu terjeluak buah dada, dan yang bagai nak tersembul lurah di celah peha tidak mampu kalian cegahkannya?



Itu semua tidak mengganggu-gugat takhta kamu bukan? Ya, itulah sebabnya. Usah banyak berdalih lagi. Setiap dosa dan noda yang mereka anak muda ciptakan itu kalianlah yang menanggungnya. Ya, kalianlah penanggungnya tanpa berkurangan sedikit pun dosa mereka itu.



Keterlaluan? Habis, bagaimana lagi harus aku meluahkannya?


Jam sekarang sudah menunjukkan pukul 12 malam.

Mabruk: Pernikahan Sahabat


Dipetik dari: PERMAYA Online
Diceritakan oleh: ||dragon-ba||
Penokok-tambah: antusufi


Alhamdulillah, Suasana pagi makin berseri-seri bilamana matahari mula menjenguk diri dan memancarkan cahayanya untuk menyinari bumi ini, terlukislah keindahan dalam keharmonian, maka terpamerlah akan kekuasaan Ar-Rahman...Allahu Akhbar!!!

Jam 07 pagi: Kami (aku, ma abah, dan siti) mula bertolak. Destinasi pada kali ini adalah Kg. Wakaf Beruas, Kuala Terengganu.

Kami ke sana adalah untuk menghadiri upacara majlis akad nikah salah seorang daripada sahabat baik ku yaitu Ust. Zulkhairi Ngah, yang juga mantan presiden PERMAYA. Dalam pada masa yang sama juga, bakal pak mertuanya adalah kenalan ku ketika berada di Tanah Suci Mekah pada tahun 2004 yaitu Ust. Mad Ali. Bakal abang iparnya pula adalah Apit (bekas webmaster www.permaya.org), dan birasnya pula adalah Ust. Rafizal (Lepasan Jamiah Ulum, Sana'a). Jadi, kali ini ku tiada rasa 'kekok' bilamana bertemu dengan ahli keluarga sebelah pengantin perempuan (Ust. Mad Ali).

Tepat jam 10:10 pagi, tibalah pengantin lelaki yang dinanti-nantikan. Ehems-ehems...Begitu bergaya dengan stail 'keMELAYUan'nya. Pada waktu yang sama, di dalam bilik pengantin, si mempelai perempuan semakin tersipu-sipu dan berkembangan bunga keayuannya.

Sejurus selepas masuk ke rumah. Majlis ijab dan qabul dilangsungkan. Ianya dimulai dengan penerangan ringkas dari juru nikah, khutbah nikah, dan diakhiri dengan bacaan doa selamat sejahtera. Moga Tuhan merahmati kehidupan kedua mempelai dalam melayari bahtera rumahtangga dan diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan al-haq di muka bumi ini.

Di antara bekas pelajar Yaman yang hadir pada upacara majlis akad nikah tersebut ialah akhi Syed Ahmad dan juga Ust. Ismail.

Oh ya, di kesempatan ini ingin juga kami (aku & antusufi) ucapkan alfu mabruk buat akhi Zamir kita yang juga telah mengakhiri zaman bujang beliau pada awal bulan Syawwal baru-baru ini. Moga Tuhan memberkati kehidupan kalian hingga ke akhirnya.

"Maaf Mir, kami tak berkesempatan nak ke walimah kamu. Jauh sangat :)"

Ah...sebelum pembaca boring dengan tulisan ini, baik aku stop dulu. Jom kita pakat tengok gambar yang sempat aku 'perintahkan' antusufi abadikannya di dalam kamera digital ku.


Layari: AminbLog

Kutipan Dana PERMAYA di Malaysia

Akhirnya apa yang dirancang kurang lebih dua minggu yang lepas dapat dilaksanakan dengan lancarnya. Ia sangat berjaya.

Pada malam dua minggu yang lepas Fakhrurazi (Koji) memanggil kami untuk berbincang-bincang. Kami bertemu di kedai lampu milik ayahnya, di hujung pinggiran Bandaraya Kuala Terengganu. Kami beberapa orang, Koji, saya, Hadi, Apits, Zulkhairi, dan Aiman. Semuanya bekasan pelajar Malaysia yang pernah bermain debu Yaman dalam mencari segeluk ilmu Tuhan yang luas. Kecuali Koji seorang. Beliau belum lagi ‘bekasan’ seperti kami kerana beliau sedang ber’utlah dan akan kembali ke Yaman pada bulan Oktober ini, menyudahkan pengajian beliau.

Isu perbincangan kami pada malam tersebut ialah seputar Yaman. Mengenai sahabat-sahabat di sana. Juga mengenai PERMAYA, satu-satunya persatuan pelajar Malaysia yang ‘halal’ di Republik Yaman. Koji menyarankan agar diadakan satu kutipan derma bagi menjana ekonomi persatuan kesayangan kami itu. Tapi bagaimana?

Disebabkan Koji merupakan salah seorang imam solat terawih yang bertugas di Masjid Pengadang Baru KT, kami sebulat suara dan bersetuju untuk mengadakan kutipan derma di masjid tersebut. Paling kurang, di masjid tersebut kami mempunyai tiga kelebihan.

Pertama, masjid tersebut memang sebuah masjid yang aktif dan dihadiri oleh para jemaah yang ramai pada setiap waktu. Kedua, Koji sendiri memainkan peranan yang besar kerana beliau adalah imam jemputan di masjid tersebut sepanjang Ramadhan ini. Dan ketiga, sekarang adalah bulan Ramadhan, bulan orang menjadi baik hati serta pemurah.

Koji sedang mempengerusikan majlis



Bak kata Koji, “Kalau boleh, kita kena buat program ni (kutipan derma) dalam bulan Ramadhan ni jugak. Barulah dapat lebih.”



Kutipan dana



Pada hari Selasa, 15 September baru-baru ini bersamaan dengan 25 Ramadhan 1430H, kami telah berjaya mengadakan program kutipan dana untuk PERMAYA di Masjid Pengadang Baru, KT. Alhamdulillah, program ringkas tersebut berjalan dengan jayanya. Tuhan telah permudahkan gerak-usaha kami. Dia maha Pemurah lagi maha Pengasih.

Program bermula dengan solat Isyak berjemaah, solat terawih, tazkirah, dan diakhiri dengan solat witir. Pada malam tersebut solat terawih hanya dilakukan sebanyak lapan rakaat. Empat rakaat pertama diimami oleh Koji sendiri dan empat rakaat akhir diimami oleh pasangan imamnya. Di pertengahan solat terawih pula diadakan tazkirah khas bertajuk ‘Ibadah Puasa Dari Perspektif Al-Quran & Sains’ yang disampaikan oleh YM Ustaz Syed Norhisyam, pendakwah bebas yang berasal dari Kampung Paloh, KT.



Sebelum slot tazkirah dimulakan, Koji selaku Pengerusi majlis terlebih dahulu menerangkan kepada para jemaah tujuan program tersebut diadakan. Beliau turut memperkenalkan PERMAYA dan latar belakang kehidupan pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Republik Yaman. Kemudian barulah beliau menjemput al-fadhil ustaz bagi menyampaikan tazkirahnya.


YM Ustaz Syed Norhisyam sedang menyampaikan tazkirah



Permulaan tazkirah yang disampaikan membincangkan mengenai tanda-tanda kerasulan pada rasul-rasul yang terdahulu sebelum nabi Muhammad SAW seperti nabi Nuh, Musa, serta nabi Isa alaihimussalam. Tanda-tanda kerasulan itu juga dikenali sebagai mukjizat.

Pentazkirah yang juga mantan Presiden PERMAYA awal tahun 2000 itu seterusnya menyampaikan inti utama tajuk yang diamanahkan kepadanya dengan membincangkan mukjizat nabi Muhammad SAW yang antaranya masih kekal sehingga sekarang, iaitulah Al-Quran.



Turut dibincangkan ialah mengenai pelaksanaan ibadah puasa yang diperintahkan di dalam Al-Quran. Jelas bahawa tuntutan ibadah berpuasa selain menjadi bukti kehambaan kita kepada Allah SWT, ia juga mempunyai faedah yang sangat besar kepada pengamalnya. Terutamanya dari sudut kesihatan. Ia terbukti dan diperakui oleh kajian-kajian saintifik klinikal.

Akhirnya, pentazkirah sekali lagi menjelaskan kepada jemaah objektif kutipan dana ini diadakan. Beliau sempat mengimbau kembali bagaimana bantuan daripada dana pendidikan negeri Terengganu yang disalurkan kepada anak Terengganu di Yaman dari tahun 2001 – 2003 telah ditarik balik oleh kerajaan negeri tanpa alasan yang munasabah.

Para jemaah memenuhi ruang masjid


“Kepada mereka yang bersama merancana kemenangan kerajaan negeri pada Mac 2004 yang lalu harus bertaubat, pintu taubat sentiasa terbuka buat kalian.” Seru Ustaz Syed di akhir ucapan beliau.

Ya, mereka harus bertaubat dan mohon keampunan kerana telah menarik (baca: merompak) hak kami tanpa memberi sebarang alasan yang bertepatan dengan agama. Ingat, di hari pengadilan esok tiada seorang pun yang akan terlepas dari pandangan-Nya.

Kepada semua yang terlibat dengan program ini terutamanya pihak Masjid Pengadang Baru KT yang sedia menghulurkan kerjasama, diucapkan setinggi penghargaan. Usaha kita ini pasti akan mendapat ganjaran kebaikkan yang berlipat ganda daripada-Nya yang maha Pemurah dan maha Pengampun.



Untuk makluman semua, kutipan dana PERMAYA pada malam tersebut hampir mencecah RM10,000. Terima kasih Tuhan. Ku pulangkan segala kesyukuran ke hadrat-Mu yang maha Kaya lagi Pemurah. Salam-selawat buat rasul akhir pilihan-Mu, Muhammad SAW.




Terkini: Kutipan keseluruhan pada lima hari akhir di bulan Ramadhan hampir-hampir RM15,000.


Nota: PERMAYA = Persatuan Pelajar Malaysia Yaman


Mansuh ISA, Karnival Terengganu, & Perhimpunan Halal Haram



Sama ada berjaya ataupun tidak, ucapan terima kasih dan setinggi tahniah harus dirakamkan kepada para pejuang kebenaran dan keadilan yang begitu kental semangatnya berhadapan dengan pelbagai tektik menggagalkan daripada 'bala tentera' kerajaan Barisan Nasional. Mereka dengan tiada belas kasihan dan berperi kemanusiaan telah bertindak ganas terhadap rakyat yang hanya mahu berhimpun secara aman menyatakan isi hati mereka terhadap pelaksanaan ISA yang bagi mereka sudah tidak relevan lagi kini. Dan...jelas ia amat bercanggah dengan undang-undang Islam.

Ada yang mengatakan bahawa perhimpunan itu gagal. Ya, memang perhimpunan tersebut gagal jika contoh mudah yang akan saya bawakan di bawah ini juga disebut 'GAGAL'.

Ada seorang pelajar yang akan menduduki ujian SPM pada akhir tahun ini. Pelajar itu memasang azam dan semangat agar diskornya A pada ujian besar tersebut. Dia tidak mahukan keGAGALan. Namun, disebalik usaha, semangat, dan keazamannya itu, dia terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan juga halangan.

Ibubapanya, awal-awal lagi tidak memberi sokongan dan semangat yang sepatutnya. Bila di rumah, dia disuruh membuat itu dan ini. Dia diarah membuat kerja-kerja rumah sehingga tak menang tangan. Dia dihalang untuk ke sekolah selagi kerja-kerja rumah tidak disiapkan. Kelas tambahan pula usah ditanya. Memang tidak berpeluang. Keinginannya untuk bersama-sama rakan ke kelas tuisyen telah di'roadblock' dari rumah lagi. Percaya atau tidak, hingga beg kepunyaannya pun digeledah ibubapanya. Jika ada buku berkait dengat SPM, pasti akan dirampas.

Pelik bukan? Tapi itulah kenyataan dunia hari ini. Terutamanya di negara kita ini. Jadi, usah dipertikai logikalnya. Memang kisah ini hanya rekaan semata-mata. Pelajar tadi, akhirnya selepas menduduki ujian SPM dan mendapat keputusannya, target yang diidamkan tidak dapat digapai. Ada juga A yang kecundang. Di samping, masih ada A yang tetap ditentukan Tuhan menjadi miliknya.

Gagalkah pelajar tersebut untuk meraih A keseluruhan? Gagal ataupun tidak berpeluang? Ia adalah perkara yang berlainan. Ha, fikir-fikirlah sendiri.


Perhimpunan Haram Halal


Ada yang lebih melucukan. Perkara ini sudah sering kali sebenarnya terjadi. Setiap kali adanya pihak-pihak yang tak sebulu dengan kerajaan ingin membuat perhimpunan, pasti keluar pelbagai kenyataan menyokong (baca: mengampu) dikeluarkan.

"Pihak berwajib harus mengambil tindakan tegas kepada perhimpunan haram yang akan diadakan nanti"

"Perhimpunan haram akan mencetuskan keadaan huru-hara. Menyusahkan banyak pihak"

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengikut perhimpunan haram. Ia salah di sisi undang-undang"

Itu...itulah antara kebiasaannya kita dapat dengar reaksi media yang dikeluarkan oleh orang-orang yang 'ada nama' di dalam kelompok masyarakat.

Tetapi saya pelik, banyak perhimpunan yang jelas haram di mata agama dihalalkan pula oleh kerajaan ini. Lagi memualkan, tiada lagi kedengaran kenyataan orang-orang tadi mempertikaikan perhimpunan 'halal' tersebut. Eh, tidak beragamakah mereka ini? Atau bagaimana?

Kalau di Terengganu sekarang, pelbagai karnival telah berlarutan sejak berbulan-bulan yang lalu. Di setiap karnival, wajib akan diadakan persembahan hiburan kekuningan yang mengikut acuan Barat. Waktu itu, anak-anak muda akan berhimpun dan berbuat beraneka perangai yang jelas tidak mengikut lunas Islam.

Pergaulan diHALALkan sebebas-bebasnya. Aurat diHALALkan pendedahan semahu-mahunya. Dengan bahasa jijiknya lagi, nafsu diHALALkan menjadi hidangan generasi muda dengan percuma. Masakan tidak, para pemudi pelbagai lapisan umur sudah tidak rasa bersalah mendedahkan badan. Buah dada ditonjolkan menjadi tontonan umum. Hatta di celah kelangkang dan punggung pun kita dah dapat congak berapa saiznya. Kadang-kadang, seluar kecik juga kita dapat tahu bagaimana corak dan warnanya. Tidakkah itu akan membangkitkan syahwat sesiapa sahaja? Tidakkah itu dapat menjahanamkan negara? Maaf kerana menulis begini. Inilah saja gambaran yang dapat saya terjemahkan.

Itu baru bercakap mengenai negeri Terengganu. Kalau di Kuala Lumpur, memang tak terkejarlah kita. Sudah bermacam-macam aktiviti HARAM telah diHALALkan. Tengok saja pada sambutan kemerdekaan negara penghujung Ogos nanti (tapi aku doakan agar trend kuning itu diubah Najib).

Hah, mana hilangnya mereka yang kononnya mahukan keamanan dalam negara? Mana pembela golongan pelajar? Mana hilangnya jurucakap agama? Mana suara lantang ahli politik? Ke mana dicampak sensitiviti Islam mereka? Kenapa tiada kedengaran kenyataan yang mempertikaikan perhimpunan HARAM yang diHALALkan itu? Kalau mereka kata penganjur yang menganjurkan perhimpunan seperti Bantah ISA itu bermotifkan politik, mereka pula bermotifkan apa? keharmonian negara? Kepatuhan agama? Kesusilaan adab dan sopan? Tidak, tidak sama sekali. Mereka hanya bermotifkan pangkat, darjat, dan temolok nasi.

"Kalau nak terus berkuasa pun agak-agak la, takkan sampai nak hancurkan masa depan anak muda kita"

Airbus: Yemenia Air Terhempas


RONI 30 Jun -
Sebuah kapal terbang Airbus A310 Yemeni Air terhempas di Kepulauan Comoros, Lautan Hindi hari ini dan dikhuatiri kesemua 153 penumpang dan krew dalam pesawat Airbus terbunuh.

Pihak berkuasa penerbangan awam Yemen menyatakan bahawa tiga mayat telah berjaya dikesan di lokasi nahas udara pesawat Yemenia Air di perairan Kepulauan Comoros, Lautan Hindi.



GAMBAR yang diedarkan oleh Industri Airbus, pesawat Airbus A310, jenis sama yang terhempas di Lautan India, hari ini. Kapal terbang Yemenia Air berlepas dari Semenanjung Yaman, Arab untuk ke pulau negara Comoros terhempas awal pagi ini, jurucakap pegawai lapangan terbang Yaman berkata. Berita awal menyebut lebih 100 penumpangnya dipercayai maut.

Gambar bawah: Saudara-mara dan rakan penumpang penerbangan Airbus A310-300 yang terhempas dari Yaman, kelihatan sedih setiba di Lapangan Terbang, Charles de Gaulle, Paris. - Foto AFP/Reuters.




"Mayat dilihat terapung di permukaan air dan tumpahan minyak juga dikesan kira-kira 16 atau 17 batu nautika dari Moroni," kata pegawai kanan penerbangan awam, Mohammad Abdel Kader kepada pemberita.



Bangkai dan serpihan pesawat itu berjaya dikesan dekat bandar utama kepulauan tersebut, Moroni, kata pegawai penerbangan. Satu operasi menyelamat telah dilancarkan dan baru seorang mangsa yang ditemui terselamat, seorang kanak-kanak.



Penerbangan itu membawa 142 penumpang dan 11 krew dari Paris awal semalam dan telah berhenti di Marseille, Sanaa dan Djibouti, kata seorang pegawai syarikat penerbangan tersebut.



Menteri Pengangkutan Perancis, Dominique Bussereau berkata, Yemenia Air adalah syarikat 'di bawah pemantauan' dan pesawat itu dilaporkan mengalami 'beberapa kerosakan'.



Pengarah Lapangan Terbang Antarabangsa Moroni, Hadji Ali berkata, menara kawalan terputus hubungan dengan Penerbangan IY 626 sejurus sebelum ia dijadual mendarat dan mengesahkan berlaku cuaca buruk.



Pegawai penerbangan awam Perancis menyatakan, seramai 66 rakyat Perancis adalah antara penumpang pesawat itu, termasuk tiga bayi.



Perancis menghantar dua kapal tentera laut dan sebuah pesawat dari wilayah terdekat dengan Lautan Hindi untuk menghulurkan bantuan.



Ia merupakan nahas udara terbaru melibatkan Airbus, selepas insiden pesawat Air France terjunam ke dalam Lautan Atlantik kira-kira sebulan lalu dengan 228 penumpang berada di dalamnya. - AFP

Kebobrokan Realiti Tivi di Malaysia


Salam blogawan.


Sudah agak lama kiranya aku tidak membuat sebarang
posting di sini. Tapi kesepian ini mungkin tidak menggusarkan sesiapa pun kerana (bak kata sahabatku, BudakGemok) aku bukanlah seorang yang boleh dianggap sebagai 'somebody' yang mana blognya mahupun tulisannya dinanti-nantikan oleh para warga maya. Namun begitu, aku tetap puas apabila setiap kali melihat posting terbaru disiarkan oleh aku sendiri di dalam blog ini. Ya, aku begitu puas.

Kali ini, aku akan siarkan satu artikel yang sangat aku tertarik selepas membacanya. Penulisnya pun aku anggap sebagai seniorku dalam hal tulis-menulis ni (namun, beliau entah kenal aku ke tidak, hehehe).

Malam semalam, sedang aku menunggu hidangan makan malam di dapur, aku sempat menjeling rancangan tivi yang sedang ditonton anak-anak saudaraku. Ketika itu rancangan yang tersiar ialah Pilih Kasih, satu rancangan realiti huburan tivi (yang tak berapa real).

Ntah apa-apa. Itulah komen aku. Terkinja-kinja. Terlalak-lalak antara lelaki dan perempuan. Pakaian sendat pengacara menambahkan kemualan aku. Sudahlah bodi tu berlapis-lapis. Nasib tak termuntah je. Rasa bagai dah tak ada kata yang dapat aku ungkapkan dengan lagak dan gaya kejahiliyahan mereka itu.

Aku mengeluarkan arahan kepada budak-budak yang sedang asyik menikmati rancangan yang tiada langsung ruh kesenian itu agar menukar siaran lain. Kalau tidak, tutup saja tivi. Perintah itu mereka turuti.

Aku berkata kepada umi yang berada di dapur, "Huh, rancangan yang merosakkan. hanya melahirkan orang yang glamer dan kaya-raya dengan duit. Tapi, muflis dengan jiwa dan jauh dari erti 'seni' yang sebenar."

Ok, marilah nikmati sajian fikrah yang aku kopi-pes dari blog Faisal Tehrani ini.


________________________________________________


Anak Wayang Dan Pilih Kasih


Maafkan saya, kalau berasa rimas dengan budaya pop murahan; khusus mencari bintang-bintang menerusi rancangan realiti di kaca televisyen. Ada produk rancangan tersebut kini, ajaib sekali, telah menjerat sahabat saya sendiri. Ia memang murah. Ia mendorong penonton menghabiskan masa yang disebut oleh Allah sebagai mereka yang rugi. Kerana tunjang rancangan murahan itu tidak ada keimanan kepada Allah, tidak ada amal soleh, sambil tidak pula berpesan dengan kebenaran dan kesabaran.

Adakah saya anti rancangan realiti di televisyen?

Tidak. Kalau ia berguna.

Mari saya beri cadangan yang lebih bermaruah dan mendatangkan manfaat buat ummah.

Pernahkah anda mendengar Star of Science (Bintang Sains: klik
sini
)?

Ia adalah sebuah rancangan realiti televisyen anjuran Qatar Foundation for Education, Science and Community Development. Ia dihoskan oleh Khalid Al-Jumaily, dari Qatar. Program ini berlangsung dari 29 Mei sehingga 26 Jun lalu. Terdapat 5 episod waktu perdana dengan durasi masa 90 minit. 20 episod harian, dari hari ahad ke hari khamis. Rancangan ini dirakam di Doha, Tunis, Kaherah dan Beirut. Ia ditayangkan di 15 buah negara khusus negara yang bertutur dalam bahasa Arab.

Ia tentang apa?

Setiap hari penonton akan menyaksikan 16 peserta berusia antara 21 hingga 31 tahun (dari 11 negara) menerokai pelbagai bidang sains untuk mencipta pelbagai alatan yang berguna bagi kegunaan orang awam. Bidang sains tersebut melibatkan bidang fizik, kimia, kejuruteraan dan lain-lain. Mereka diberi kemudahan makmal dan bengkel. Dibantu dengan krew yang tangkas. Peserta kebanyakannya adalah pelajar sains. Mereka akan memberi penjelasan saintifik dan menunjukkan bagaimana alat yang mereka cipta itu dapat digunakan. Dalam masa yang sama, syarikat yang berminat boleh membida produk sains tersebut. Justeru mereka berpeluang memasarkan hasil ciptaan ke dunia luar. Terdapat beberapa wanita dalam kalangan peserta. Ini begitu membanggakan. Pemenang yang berjaya mendapat USD 300,000 dan barangannya tentu akan diberi perhatian oleh pelbagai firma atau syarikat yang berkenaan dengan bidang sains yang mereka terokai.

Penonton bukan sahaja bertambah pandai, peserta juga didedahkan dengan interaksi bersama saintis terkemuka yang akan menjadi juri. Antaranya ialah Dr. Sadeg M. Faris (dari Libya), Dr William Sawaya (dari Lubnan), dan tokoh pemasaran produk, iaitu Dr. Mona Zaki (dari Mesir).

Di akhir penonton akan memilih menerusi sms, di mana penonton akan memilih barangan manakah yang paling munasabah dan praktis mereka gunakan dalam kehidupan seharian. Jadi, pemilihan sms bukan berdasarkan nafsu kerana muka si peserta itu jelita atau jambu.

Dua peserta terakhir ialah Bassam Jel'a berumur 22 tahun, seorang pelajar kejuruteraan robotik dari Lubnan yang mencipa alat elektronik yang berguna memainkan semua instrumen muzik Arab. Ciptaan atau inovasi kedua datang daripada Mohammad Othman Farah berusia 26 tahun, dan berasal dari Sudan. Beliau mencipta sejenis alat memeriksa kualiti minyak masak dengan menggunakan laser. Alat tersebut tentu sahaja murah dan boleh digunakan oleh tukang masak atau chef di restoran.

Pemenangnya ialah Bassam.

Mengapakah kita masih mencari lagi bintang-bintang murahan untuk memeriahi dunia pop dan hedonisme kita yang sudah cukup bobrok? Mengapakah kita kekal bangkrap idea, dan muflis kreativiti? Bagaimana ilmuan kita boleh terheret sama?

Tidakkah boleh kita mencari bintang yang membawa hasil untuk masyarakat? Dengan rancangan seperti 'Bintang Sains' tadi adik Nik Nur Madiha yang bijak misalnya dapat menunjukkan kebolehan mencipta sesuatu.

Argh, mengapakah kita yang mahu mengejar wawasan 2020 (ada sedekad lagi), masih mencari bakat anak wayang dan pilih kasih untuk membintangi filem murahan tentang mat rempit, pelacur, bohsia dan samseng?

Tidakkah menyedihkan nilai masyarakat kita hari ini?


Isabella Kembali ‘Halal’ Ke Terengganu Selepas Bertemu Tok Guru?


“Malam ni kita mesti pergi,” aku mencadang kepada Hadi.




Cadangan itu penuh pengharapan. Mana taknya, aku takleh pergi berseorangan sebab lesen motosikal masih belum hidup-hidup lagi, sudah expire. Abang-abang polis pula ramai yang berkeliaran, memberi cabaran kepada mat-minah rempit yang keluar dengan agak agresif pada malam itu sejak dari petang lagi. Yang paling utama, ada sesuatu yang membuatkan aku berhajat sangat mahu melihatnya. Hadi bersetuju dengan cadangan aku itu.




Sebelah malamnya, usai solat Maghrib dengan zaujah tersayang, aku bersiap-siap untuk keluar. Seperti yang dijanjikan, Hadi sudah pun menunggu di luar dengan motosikal elsinya. Kami juga sudah berjanji-temu dengan Apit apabila sampai di sana nanti.




On the way ke Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah Kuala Terengganu, kami singgah di Surau Ladang. Bersihkan hati sekejab mendengar kuliah berceloteh daripada Ustaz Azhar Idrus, ustaz yang diminati ramai anak muda itu.




Tepat jam 9 malam kami gerak ke stadium, tempat berlangsungnya Konsert Penghargaan Search ‘Di Awan Biru’. Itulah destinasi kami. Konsert jelajah ke seluruh negara tersebut ditaja tunggal oleh Celcom Blue. Dengan harga tiket serendah RM 38, ia memang ‘berbaloi-baloi’, seperti kata Amy di dalam iklan.




Di depan pintu masuk, Saudara Isma Halil Hamzah sudah menanti para hadirin dengan celoteh ‘hidup’nya di booth Celcom Blue, berhampiran pintu masuk stadium. Suasana kelihatan tenteram. Tiada lagi ‘ekstremis’ agama yang menghalang kelancarannya sebagaimana yang telah berlaku kira-kira 21 tahun dahulu. Aku lepak di atas motosikal berhampiran pintu masuk stadium, menyaksikan gelagat umat manusia yang rindukan ‘penangan’ daripada Search. Kali terakhir kumpulan yang akan menjadi lagenda rock Malaysia itu beraksi di Terengganu ialah pada tahun 1988. Memang begitu lama.




Tepat jam sebelas malam, lagu Isabella berkumandang mengisi ruang angkasa Bandaraya Kuala Terengganu. Suara mantap daripada Amy membuatkan para hadirin terpukau. Memang tidak ubah kemerduannya seperti ketika lagu tersebut dihambat keluar dari bumi Terengganu 21 tahun yang lalu.




Terfikir pula kenapa pada tahun 1988 dahulu satu demonstrasi dan bantahan besar-besaran diadakan terhadap kumpulan Search apabila mereka ingin mengadakan persembahan mereka di Terengganu. Sedangkan hari ini, konsert mereka berjalan selancarnya dalam keadaan tenteram. Sepengetahuan aku, tiada sepatah pun kenyataan yang bernadakan bantahan yang keluar daripada pimpinan PAS terutama sayap pemudanya yang terkenal dengan kelantangan mereka.




Adakah waktu dan suasana yang menyebabkan Search dihalalkan semula kembali menghiburkan warga Terengganu? Mungkinkah bantahan tidak dibuat kerana ingin memikat hati dan jiwa raga para pengundi muda khususnya? Adakah ia adalah bahana dari kemasukan golongan ‘profesional’ yang lebih ‘menghormati pihak lain’ ke dalam PAS? Mungkin juga mereka terlepas pandang akan isu ini kerana sedang sibuk dengan pemilihan pada muktamar yang bakal menjelang? Atau ulama sudah hilang kredibilitinya? Atau isu bantahan ini hanya relevan untuk artis luar sahaja, bukan tempatan? Kenapa ya?




Kawan aku cakap, “Alaa, kan Amy dah cium tangan Tok Guru. Takleh kacau la dia.”




Tetapi, aku tak fikir yang Tok Guru merestuinya. Kerana, kelantan sudah pun membatalkan permit kebenaran konsert jelajah Malaysia itu menjejakkan kaki ke dalam negeri tersebut. Tahniah kepada Tok Guru dan warga Kelantan.




Namun Terengganu apa cerita? Mana komen bakal Ketua Dewan Ulama yang baru? Mana respon daripada Ketua Dewan Pemuda Terengganu yang baru? Mananya keluhan ibu oleh Ketua Dewan Muslimat Terengganu yang baru? Mananya statement ‘ahli profesional’ PAS di Batu Buruk? Semuanya di-masyghul-kan dengan pemilihankah?



EHEM:
Ini hanya luahan daripada akal aku yang terbatas. Bukan berniat menggugat sesiapa. Dan sebetulnya, memang tiada sesiapa yang akan tergugat dangan tulisan picasan aku ini, hehehe.