- Dirembat dari laman PERMAYA Online
Pekan Dairy. Tengah hari tadi, selepas menunaikan solat Jumaat aku menyertai rakan-rakan dari Unit IT PERMAYA Sesi 2006/2007 untuk bersama-sama mereka menghadiri ‘kenduri’ di rumah PERMAYA. Kenduri ini julung-julung kalinya diadakan bagi sesi 2006/2007. Pantas juga disebut sebagai ‘jamuan perpisahan’, fikirku.
“Kita buat majlis makan-makan pada hari ni adalah sebagai tanda penghargaan kepada para petugas PERMAYA Online tahun ini”, ujar Mat Amin dengan tutur pelat Kelantan pabila aku bertanya objektif utama majlis ini diadakan.
Sahabatku Mat Amin, atau nama sebenarnya Muhamad Amin Ismail itu merupakan Timbalan Presiden PERMAYA Sesi 2006/2007. Juga merangkap Pengarah bagi sidang PERMAYA Online pada sesi ini.
Tahun ini aku tidak tersenarai di carta sidang Unit IT. Kerna serasa sudah tak kuasa lagi menguruskan amanah lainnya yang menggunung. Di PERMAYA Online, aku hanya bergerak ‘di bawah meja’. Hulurkan bantuan sekadar termampu di sebalik tabir. Berkongsi secangkir pengalaman yang ada.
Walaupun aku tidak lagi memikul apa-apa jawatan dalam jawatankuasa PERMAYA Online pada sesi ini, tapi mereka turut menjemputku. JazakumulLah khair aku ucapkan buat kalian.
Tadi hanyalah majlis makan-makan. Tiada agenda selain makan-makan. Sambil berbual kosong, kami yang seramai 14 orang jumlahnya hanya makan-makan. Dengan nasi putih berhidangkan lauk-pauk ala selera kampung menjadi juadah untuk kami makan-makan. Pelbagai aneka lauk berulam air Teh-O ais yang memenuhi ruang meja itulah sebagai mangsa pelepasan ‘nafsu liar’ makan-makan kami. Abang Lah yang tersohor dengan jolokan ‘chef power’ oleh sebilangan ahli PERMAYA itu pula menjadi tukang masak bagi majlis makan-makan kami siang tadi.
Di penghujung majlis tersebut, kami dikejutkan dengan satu tragedi mencuit hati. Prraaakk. Seorang rakan yang juga tetamu jemputan seperti aku gedebuk jatuh terjelupuk ke dada bumi. Rupanya satu dari empat batang kaki kerusi yang dia landing tu terpatah. Langsung menyembam ke tanah.
Apa lagi, aksi stunt daripada rakanku itu terus kami sambut dengan hilai tawa. Si ‘mangsa’ pula hanya tersengih selamba. Mungkin tak berapa malu kerana kami dah teramat biasa antara satu sama lain. Roh ukhuwwah sudah meresap sedaging dengan liang naluri dalam persahabatan kami di perantauan ini. Jangan marah yer. Aku bercerita sekadar untuk melahirkan humor kita dalam berukhuwwah.
Walaupun masing-masing terbuai dengan keasyikan penangan menu kampung itu, kami masih lagi berkesempatan untuk bergambar. Hanya sebagai kenangan bersama. Gambar-gambar tersebut ada disemadikan kat bawah entri ini (klik sini untuk lihat gambar).
Di sini aku mencuri sedikit peluang untuk minta ampunan kemaafan daripada rakan-rakan seperjuangan terhadap salah-silap dan apa jua kekuranganku dalam gerak kerja PERMAYA Online. Selama kurang-lebih tiga tahun aku mengikat ‘kontrak’ bersama Unit IT itu. Juga buat sahabatku al-akh Ayub dan Bob yang melangkah seiringan denganku di persada PERMAYA dot org. Syukran atas kerjasama serta bantuan berharga kalian.
Kepada generasi mendatang yang akan merentak perjalanan PERMAYA Online, berhikmah dan bijaksanalah dalam usaha antum meneruskan nawaitu utama tertubuhnya laman rasmi PERMAYA ini. Dakwah Islamiah di ruangan maya bukanlah semudah sangkaan minda. Tidak juga segampang yang terjangka. Justeru, setiap tapak yang dilangkahi itu haruslah sentiasa berjaga-jaga.
Salam perjuangan daripadaku buat semua...
- anTusufi,
11.30 pm,
Jumaat, 22 Jun ‘07,
Republik Yaman.
Dunia
10 years ago