Salam sejahtera, dan salam Ramadhan Mubarak buat semua.
Lama benar rasanya jemari ini kelu, tidak menutur kata bagai dulu-dulu. Sudah kurang lebih tiga bulan barangkalinya.
Awalnya, masih belum terlewat lagi untuk aku ucapkan ‘Selamat ber-Ramadhan’ buat kalian semua. Selamat menunaikan ibadah rukun Islam yang keempat jika mengikut turutannya. Selamat melalui bulan ‘pemulihan’, bulan ‘tarbiah’ dan bulan ‘bersih’. Selamat beribadah dan bersatu dengan alam, makhluk seluruhnya. Selamat ‘berkhalwat’ dan bermunajat, bersujud di hadap zat yang maha Mulia. Selamat membersihkan diri kita daripada selain-Nya untuk mengecap kurniaan rahmat, maghfirah, serta pembebasan seperti yang dijanjikan.
Bermula pada bulan yang penuh dengan barakah ini, aku ujudkan satu ruangan yang aku namakan ‘Kalam Anak Muda’. Seterusnya aku menadah tangan mendongak ke hujung langit, bermohon kepada Ilah agar diberikan kekuatan untuk sentiasa melakarkan sesuatu di ruangan ini. Demi kemanfaatan bersama, insya-Allahu Taala.
Memang, apabila disebutkan saja ‘pemuda’ atau ‘pemudi’, ia menggambarkan kepada kita satu susuk tubuh yang melewati waktu usia seputar 20 hinggalah ke usia 40 tahun. Satu susuk tubuh yang kuat bertenaga. Segak bergaya. Cantik mempesona. Berfikiran terbuka dan segar mencetus idea. Berwawasan serta berpandangan jauh merentasi masa. Menjadi tonggak kekuatan sesebuah kaum dan ummah. Begitulah kebiasaan adatnya.
Tapi kali ini, bersempena posting pertama di bulan Ramadhan ini, bukan perkara tersebut yang mahu aku utarakan. Barangkali nanti akan dibicarakan pada posting-posting yang akan datang. Dengan seizin-Nya jua.
____________________________________________
Kali ini, aku ingin ‘berdiskus’ mengenai tajuk di atas, Pemuda, Ramadhan, & Perjuangan.
Semua makhuk Tuhan yang berhamba di muka alam ini penuh gembira tatkala menyambut kedatangan Ramadhan. Masing-masing sibuk menjalankan tugas mereka. Langit-langit dihiasi dengan penuh seri. Cakrawala semakin bergemerlapan memancarkan sinar hakiki. Persiapan mereka seolah-olah ada seseorang yang akan datang melamar sang bidadari Syurga. Begitu meriah sambutannya. Mereka mengusung segunung kerahmatan Tuhan untuk dibawa ke dalam diri sang teruna yang bernama Ramadhan.
Amatlah rugi dan malang andai masih ada lagi mereka yang keras hatinya lalu tidak mengendahkan kedatangan bulan yang penuh kemuliaan ini. Sedangkan peluang yang tidak ternilai itu hanya muncul hanya sekali dalam setahun. Jika kali ini kita abaikannya, belum pasti kita akan berkesempatan menemuinya lagi pada tahun-tahun yang akan datang.
Sepertimana yang termaklum, Ramadhan diibaratkan sebagai bulan tarbiah. Seolah-olah sebuah madrasah bagi mendidik dan mengasuh diri untuk lebih mesra dengan Al-Khalik. Untuk menjadikan diri ini kian dekat dengan ehwal perihal makhluk. Agar ruh insani kita lebih kuat untuk menghadapi perjuangan dalam dunia yang semakin mencabar.
Perlu kita akui bahawa dunia sekarang makin hari kian jauh menapak ke alam akhir zaman. Suatu hari dahulu Baginda Nabi SAW pernah mengingatkan kita ummatnya bahawa di akhir zaman, sesiapa yang cuba mengamalkan sunnah perjuangan Baginda seolah-olah dia menggenggam bara api. Membawa maksud, teramat sukar dan payah, malah terlalu perit untuk melakukannya. Ia memerlukan satu naluri, tekad keazaman dan semangat yang jitu.
Perjuangan yang dipusakakan Nabi buat kita ummatnya bukanlah sesuatu yang mudah. Ia tidak semata-mata tertakluk kepada ramainya keanggotaan kumpulan atau keahlian jamaah kita. Ia bukan semata-mata bergantung kepada melimpahnya wang ringgit serta segala keberadaan kita.
Contohnya mudah; peperangan agung kali pertama dalam sejarah Islam yang pernah menentukan jatuh bangkitnya perjuangan Islam di muka bumi ini ialah peperangan Badar yang berlaku di bulan Ramadhan pada tahun kedua Hijrah. Jamaah Islam yang berpusat di negara Islam Madinah mampu menewaskan pasukan musuh yang bilangannya tiga kali ganda bilangan jamaah Islam ketika itu. Mereka mampu menewaskan pihak musuh yang berganda-ganda lebih kuat dari segi peralatan dan kemewahan. Tiada siapa dapat menafikan kebenaran fakta ini.
Di dalam Al-Quran pula ada menegaskan bahawa sudah berapa banyak golongan yang sedikit mampu menewaskan golongan yang bilangan dan kekuatan meterial mereka lebih berganda. Seperti mana yang disebutkan Tuhan pada ayat 249 dalam surah al-Baqarah, ayat yang memperihalkan kisah pasukan tentera Tolut menentang tentera Jalut itu.
Terlalu banyak lagi kalau mahu dihitung-kira contoh-contoh dari sebutan sejarah yang membuktikan bahawa kekuatan yang dimiliki oleh jamaah Islam di sepanjang lembaran zaman kegemilangannya bukanlah berpasakkan kepada kekuatan lahiriah semata, bahkan ia bergantung penuh kepada kekuatan jiwa, dan juga penyerahan diri yang mutlak kepada Tuhan yang maha Kuasa.
Untuk memiliki kekuatan ruhiyyah sebagai mana yang ada pada generasi pejuang terdahulu bukanlah sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi dalam keadaan kita yang berada di tengah-tengah kehidupan yang kian berentakan dari sosio-budayanya, akhlaknya, ekonominya, kekeluargaannya, pemerintahannya, dan segala macam cabang kehidupan.
Jelas, ia sangat memerlukan semangat mujahadah yang begitu tinggi. Benar, perjuangan untuk memiliki kekuatan tersebut bagai menggenggam bara api yang membahang. Kerana itu, bukan calang-calang orang yang mampu menghadapi rintangan itu. Mereka hanyalah orang-orang yang terpilih sahaja daripada jutaan hamba-Nya di muka bumi ini.
Justeru wahai anak muda, marilah sama-sama kita bangkit. Bangkit dari mimpi yang membuai. Bangkit dari lena yang panjang. Bangkit dari khayalan kehidupan. Bangkit dari keselesaan hidup yang menekan. Bangkit dari keseronokan hidup yang tiada berpanjangan. Bangkit dari segala macam kedustaan. Bangkit kita memancung semua tangan-tangan rakus penuh kezaliman.
Ayuh di bulan yang dijanjikan dengan seribu kerahmatan ini kita mengorak langkah. Sama-sama kita membina tekad. Jangan disiakan peluang yang hanya datang setahun sekali ini untuk kita cuba berusaha agar diri kita termasuk di kalangan hamba-Nya yang terpilih. Terpilih untuk menjadi hamba-Nya yang diredhai. Terpilih juga untuk menjadi hamba yang akrab dengan-Nya. Dan terpilih menjadi pejuang serta srikandi yang membawa risalah kebenaran peninggalan Nabi.
Inilah masa dan ketikanya. Semua amal kebajikan dilipat-ganda pembalasannya. Setiap tutur doa yang dipinta dengan penuh keikhlasan pasti diarak dan diaminkan oleh jutaan Malaikat.
Hidupkan Ramadhan kita dengan penuh sifat kehambaan. Pertingkatkan ibadat. Biasakan diri kita dengan setiap gerak-laku sehari semalam (24 jam) hanya kerana Allah SWT. Banyakkan berdoa. Hidupkan malamnya dengan solat terawih, bertadarrus & bertadabur. Ruangkan sedikit masa kita untuk berzikir membilang keagungan-Nya, dan bermunajat memohon segala anugerah kurniaan-Nya.
Semoga Ramadhan yang dilalui dengan penuh keimanan dan penyerahan ini menatijahkan sejuta kemanfaatan. Bukan untuk sesiapa, bahkan ia adalah semata-mata untuk diri kita sendiri jua.
0 comments:
Post a Comment