
Ingat, undi anda menjadi saksi di muka pengadilan

Perhimpunan Agung Umno kali ke 59 baru sahaja melabuhkan tirainya. Masing-masing menampakkan kobaran semangat dan tekad ingin menjayakan agenda perubahan yang dicanangkan hampir di sepanjang perhimpunan tradisi tersebut. Laungan ikrar dan juga ajakan mereka bersilih ganti memeterai janji untuk membawa perubahan bermula dari akar tunjangnya yang berselut sehinggalah kepada pucuk rantingnya yang bercabang-cabang.
Entahkan apa yang mahu diubahnya. Entah bagaimana corak perubahan itu. Agaknya, bagaimanakah rupanya ruh perubahan itu. Seandainya didengar dari apa yang keluar melalui laungan-laungan perubahan pimpinan tertinggi parti penguncup umat Melayu itu, jelas bahawa negara akan dilanda satu tsunami transformasi yang cukup hebat. Jika dinilai semata-mata dari ucapan-ucapan berdentang-dentum yang berbaur sandiwara itu, boleh dikatakan akan terlahirnya sebuah umat terbaik di bawah era kepimpinan baru Dato' Seri Najib Razak dalam jajahan Melayu ini.
Ya, sememangnya transformasi ke arah kebaikan dan keamanan negara yang sebenar akan dapat semua rakyat jelata kecapi jika segala ucapan, ikrar janji, pengakuan, serta kata-kata manis yang keluar dari mulut mereka itu merupakan suatu yang jujur, ikhlas, dan bukan bersifat udang di sebalik batu. Tetapi bagaimana agaknya sekiranya semua itu adalah lakonan semata? Hanya sandiwara untuk memujuk hati rakyat dan menyihir pemikiran mereka?
Masa yang berlalu seringkali membuktikan bahawa kata-kata manis yang tersembul dari mulut berbibir mungil kemerah-merahan jasad bernama Umno itu tidak boleh dipakai. Apatah lagi untuk dipercayai. Jauh sekali untuk diimani. Mereka hanya bersandiwara untuk memancing si bilis bebal yang terpedaya dengan umpan yang tampaknya hidup berseri-seri. Sebenarnya, ia hanyalah plastik, dan juga retorik politik.
Lebih teruk dari itu, mereka rela menggunakan agama dalam skrip sandiwara itu. Nama-nama para pejuang Islam, para syuhada mereka jajakan. Kitab suci Al-Quran mereka sanggup perdagangkan demi ingin meraih keuntungan politik. Kerana, ya, pabila mereka berkuasa dalam politik yang maha jelek itu, mereka dengan mudahnya akan dapat mengaut apa juga bentuk kekayaan dunia.
Untuk itu, pimpinan mereka ada yang berucap di depan mashaf Al-Quran sebagai bukti kata-katanya adalah benar. Kononnya, mereka akan menerima laknat Al-Quran jika kata-kata mereka itu suatu pembohongan. Mereka pergunakan Al-Quran. Sedangkan peribadi mereka tidak sedikit pun mengikut suruhan yang terkandung di dalam Al-Quran di hadapan mereka itu.
Pakaian mereka langsung bertentangan dengan kemahuan Al-Quran itu sendiri. Dengan fesyen rambut dan pakaian yang 'membodi', mereka seolahnya bertelanjang di depan khalayak, di hadap kitab suci yang menyimpan kalam Tuhan. Itu kata Nabi, bukan satu tuduhan. Inikah sifat agen perubah?
Pada sudut yang lain pula, seorang pimpinan mereka (yang juga seorang perempuan) sedang memberi kenyataan dan dikelilingi oleh puluhan orang serta wartawan. Pakaian beliau tidak jauh bezanya dengan pimpinan pertama yang disebutkan di atas. Katanya, perjuangan mereka mengambil roh juang serikandi Islam terdahulu. Nama-nama seperti Khadijah, Asiah, Balqis, dan beberapa serikandi Islam diguna pakai.
Justeru, untuk mengkhabarkan kepada dunia dan seisinya bahawa, beliaulah seorang pejuang sejati. Mungkin kepada sesiapa yang tersedar semasa menyaksikan episod sandiwara itu akan terloya tekaknya. Akan terjenggil matanya. Kerana, bersepakatkah jalan perjuangan para serikandi Islam yang disebutkan itu dengan dirinya? Dengan juak-juak serta kuncu-kuncunya yang berseragam merah itu?
Perjuangan keris bogel itu
Tidak. Percayalah, tidak akan ada seorang pun yang berani membuktikan bahawa perjuangan mereka adalah sama. Memang lain benar dan tidak serupa sedikit pun. Justeru, pada fikiran dangkal kita, kenapakah isu para serikandi Islam ini diketengahkan dalam (kononnya) jalan pendekatan mereka? Benar, mereka hanya ingin meraih sokongan. Mereka bersandiwara lagi. Inikah sifat agen perubah?
Dalam siri-siri seterusnya sepanjang perhimpunan itu kita dapat menyaksikan ucapan berkobar-kobar pimpinan atasan mereka dalam memperjuangkan bangsa, negara, dan agama.
Apakah yang diharapkan dari perjuangan membela bangsa oleh parti berlambangkan keris bogel itu? Umat Melayu sekarang sudah kehilangan solidaritinya. Kedaulatannya acap kali diperbodohkan. Raja-raja Melayu dicabut keperkasaannya. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga bagai dialas-kakikan oleh mereka. Pendidikan anak-anak Melayu?
Isu terbaru berkaitan PPSMI pun mereka membutakan mata. Memekakkan telinga. Sehinggakan anak-anak ini tercorot dalam pembelajaran. Mereka beria mengejar markah A, tetapi dalam sembunyi-sembunyi rupanya A itu pun sudah tiada kualitinya lagi. Kata Pak Samad, mereka ini bertelinga satu, berlidah dua.
Sungguh, mereka penipu anak bangsa. Institusi pendidikan bagai diperdagangkan. Lihat, betapa sukarnya si miskin untuk mengaji satu ilmu. Sedangkan negara ini kaya raya. Kemewahan berlimpah ruah. Bukankah menuntut ilmu itu wajib hukumnya sebagaimana sembahyang? Justeru, membantu dan memudahkan mereka untuk mempelajari ilmu juga adalah wajib hukumnya.
Apa pula yang mereka perjuangkan untuk negara? Sekarang seluruh dunia gempar mengatakan kita akan dipimpin oleh seorang penjenayah. Betulkan? Kalau salah, segera sangkalkan. Jangan biar masyarakat dunia sewenangnya memfitnah negara kita. Pepatah Melayu ada menyebut, 'berani kerana benar, takut kerana salah'. Atau, mereka ini sudah tidak mengenal lagi pepatah Melayu? Hanya petah berbahasa Mat Saleh? Atau, mungkin mereka tertarik dengan lenggok bahasa si penyair Monggol.
Agama? Ahh, jauh panggang dari api. Bagai langit dengan bumi. Ibarat isi tertanggal kukunya. Tengoklah kepada media-media perdana. Hiburan disajikan kepada umat. Terutamanya si muda remaja. Menjauhkan ruh anak muda dari nilai tauhidik. Disajikan jasadnya dengan hidangan melalaikan.
Mari, siapa yang berani katakan bahawa semua itu di luar kawalan mereka, para pembesar negara? Itu adalah amanah. Ia juga disebut tanggungjawab. Nanti kalau kita gagal menjawab persoalan tanggungjawab semasa hidup di muka bumi ini, bergelegaklah kawah jahannam, asap hitam akan berkepulan menjulang, bahang kemerah-merahan menyengat-nyengat, saat itu, jasad kita yang lemah lagi hina itu akan dihumban ke dasarnya. - azm