Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun.
Ampun tuanku beribu ampun, izinkan patik mengucap kata,
menyingkap durja terbungkam di dada.
Pohon patik jangan dimurka.
07 Mac 2009 - 6pm
Waktu patik memulakan bicara ini hari sudah beransur menginjak senja. Pun begitu, kelihatan langit yang memayungi tanah jajahan di negeri iman yang dinaungi oleh putera comel tuanku ini masih lagi terang disinar mentari petang. Suka patik khabarkan bahawa pada tika sekarang negeri ini berada dalam suasana aman tenteram. Rakyat jelata sudah bersusun-susun berkereta di jalanan. Pulang ke kediaman dari mencari sesuap nafkah tugasan harian.
Tapi pada waktu sekarang juga, maksud patik di awal petang tadi di ibu kota, terjadinya keadaan kurang tenteram. Begitu khabarnya yang sampai ke pendengaran patik. Ibu kota tempat pusat pemerintahan serata ceruk jajahan tuanku seMalaysia ini dengarnya sudah berlaku kekecohan. Dengarnya lagi, rakyat jelata seMalaysia telah sepakat bangun mohon menghadap baginda tuanku di balai rong istana kota. Mereka memohon untuk menghadap tuanku hanya kerana satu tujuan. Hanya dengan satu kecintaan. Dan demi satu ketaatan. Adalah untuk memartabatkan semula bahasa ibunda, bahasa tuanku dan juga bahasa rakyat jelata dari terus terkubur dan dijadikan pengalas kaki oleh juak-juak memanda-memanda menteri tuanku yang sudah biru anak matanya. Yang sudah membarat akal pemikiran mereka. Sungguh, pada firasat patik, tuanku maklum sudah akan hal ini.
Nah, sekarang terbukti sudah kemahuan rakyat. Ratusan ribu yang telah turun berarak memperjuangkan agar bahasa ibunda dikembalikan ke makamnya yang asal. Supaya anak-anak kita tidak terus kecundang dalam pengajian. Supaya tidak terjadi pada suatu hari nanti umat Melayu sudah tidak mengenal manakah rupa agamanya. Tuanku sendiri dapat menyaksikan dengan penglihatan hati tuanku bahawa rakyat tetap dan masih lagi dan selamanya dengan izin Allah akan terus bersama tuanku demi agama, bangsa, serta negara yang kita cintai ini. Kami tidak akan sesekali mendurhakai tuanku dan raja-raja Melayu selagi ketaatan kepada Tuhan yang kita imani tidak diganggu-gugat. Kami bersama tuanku demi agama dan anak bangsa.
Pada telahan tuanku, siapakah yang lebih durhaka? Kami rakyat jelatakah, ataupun siapa? Patik yakin, tuanku lebih bijak menyimpulkannya daripada segolongan memanda-memanda menteri dan penjilatnya yang bagaikan hilang kewarasan itu. Benarkan tuanku?
Ampunkan patik kerana patik tidak turut bersama dalam perarakan bahasa yang penuh sejarah dan nostalgia itu. Bukan tidak mahu. Bukan hilang kecintaan. Tetapi masyaqqah yang menjadi alasan penghalang patik. Namun begitu, jiwa patik tidak pernah sepi dari memperjuangkan kebenaran ini. Patik berbuat sekadar yang termampu termasuklah sembah kata yang sedang tuanku baca ini.
Dengarnya lagi tuanku, beberapa hari yang lepas sudah keluar kebenaran dari istana, daripada tuanku sendiri yang memperkenankan rakyat jelata para pejuang bahasa menyerahkan apa yang mereka gelar memorandum itu kepada baginda tuanku. Maksud patik, menghantarkannya ke istana. Betul, memang istana telah membuka seluasnya gerbang istana kepada para pejuang bahasa. Mereka bukan datang untuk membuat onar kepada istana. Mereka bukan datang untuk menghuru-harakan negeri. Justeru, lantaran tuanku sendiri yang memperkenankannya, pada perkiraan dangkal patik ini mereka sudah menjadi tetamu istana. Ya, mereka tetamu istana. Tetamu tuanku sultan. Mereka harus dipersilakan dengan penuh adab keislaman dan kemelayuan.
Betul, bapak sasterawan negara yang masyhur itu telah berjaya memasuki istana lalu menyerahkan memorandum. Tetapi, jalan menuju ke istana yang sepatutnya berkeadaan damai tenteram telah dicemarkan oleh pengawal keselamatan dengan penuh kebiadaban. Jalanannya penuh rintangan, halangan yang memerlukan kekuatan yang tidak sembarangan. Mereka selayaknya digelarkan pengawal perusuhan. Kerana mereka yang merusuh. Merekalah yang membikin angkara. Menghuru-harakan keamanan. Mereka siap bersenjata berdepan dengan rakyat jelata yang hanya bersenjatakan memorandum menjulang maruah bangsa. Mereka Pengawal DiRaja SeMalaysia. Tetapi mereka bukan berkawal untuk keselamatan istana. Tuanku tahu, mereka berkawal untuk menjaga keselamatan memanda-memanda menteri yang haprak itulah. Mereka patutnya digelarkan Pengawal Menteri SeMalaysia.
Serangan yang mencetuskan huru-hara di istana tuanku dan di sekitarnya itu memang dimulai dengan Pengawal DiRaja itu. Tanyalah sesiapa pun (kecuali juak-juak memanda-memanda menteri), pasti mereka akan mengiakan kata-kata patik ini. Dan semestinya, tindakan buas mereka itu terjadi bermulakan dengan arahan pihak-pihak tertentu yang bebal lagi membebalkan. Tidak sedarkah mereka bahawa semua orang-orang yang diserangnya itu adalah pejuang bahasa. Mereka adalah pendaulat bangsa. Benar, mereka benar-benar mengundang celaka tuanku. Mereka berani menanggung tulah DiRaja dengan menzalimi para tetamu tuanku.
Jelas sekarang, bukan kami yang derhaka. Bukan rakyat jelata yang mahukan keadilan ini yang menderhaka. Tetapi, merekalah yang derhaka. Merekalah yang mencetus onar dalam negara. Dari utara hingga selatan. Dari timur hingga ke barat. Negeri tergugat, agama tergadai. Ya, semua itu angkara mereka.
Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik harap diampun.
Ampun tuanku beribu ampun, sembah patik jangan dimurka.
0 comments:
Post a Comment